Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 generasi, 3 hari di chalet: Sambut malam Raya, 1 Syawal bersama

Perhimpunan penuh istimewa, pererat hubungan kekeluargaan
Apr 6, 2025 | 5:30 AM
Lebih 50 anggota keluarga daripada empat generasi berkumpul di chalet di daerah Loyang selama tiga hari bermula dari malam Raya untuk menyambut ketibaan Syawal bersama-sama.
Lebih 50 anggota keluarga daripada empat generasi berkumpul di chalet di daerah Loyang selama tiga hari bermula dari malam Raya untuk menyambut ketibaan Syawal bersama-sama. - Foto ihsan NUR HIDAYAH JAZULI

Bayangkan betapa meriahnya suasana apabila lebih 50 anggota keluarga daripada empat generasi berkumpul di chalet selama tiga hari bermula dari malam Raya untuk menyambut ketibaan Syawal bersama-sama.

Keluarga besar Cik Nur Hidayah Jazuli telah menyewa dua unit chalet di daerah Loyang bagi menganjurkan perjumpaan Hari Raya tahunan mereka yang sebelum 2025 biasa diadakan di rumah anggota keluarga yang ‘senior’.

Tetapi memandangkan bilangan anggota keluarga besar itu telah bertambah dan lebih ramai juga yang sudah meningkat umur, mereka mengubah sedikit tradisi yang telah berterusan sejak puluhan tahun itu.

“Tradisi ini bermula dengan ibu saya dan enam adik-beradiknya. Mereka berasal dari Pulau Tekong dan sangat rapat dengan satu sama lain. Bagi saya, ketika membesar, saudara-mara saya seperti adik-beradik sendiri. Setiap Hari Raya, kami akan berkumpul dan tradisi ini telah diteruskan merentas generasi,” kata Cik Nur Hidayah, 39 tahun.

“Perhimpunan ini sangat istimewa untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Walaupun ada di antara kami hanya berjumpa setahun sekali, wujud keakraban yang tidak dapat dinafikan kerana kami semua telah meluangkan begitu banyak masa bersama semasa kecil dahulu, bermalam di rumah satu sama lain, melancong dan bermain bersama.

“Apabila kami bersatu semula, rasa seperti masa tidak berlalu... hubungan kami kekal mesra seperti biasa,” tambahnya.

Selain memudahkan, lokasi yang dipilih tahun ini juga menawarkan beberapa tarikan untuk setiap lapisan umur.

Sambutan Hari Raya tidak lengkap tanpa sesi permohonanan maaf antara anggota keluarga daripada generasi berbeza.
Sambutan Hari Raya tidak lengkap tanpa sesi permohonanan maaf antara anggota keluarga daripada generasi berbeza. - Foto ihsan NUR HIDAYAH JAZULI

Kanak-kanak dapat bermain di kolam renang di kawasan chalet itu, dan orang dewasa mempunyai banyak ruang berhawa dingin untuk duduk bersembang dengan satu sama lain. Taman Pasir Ris juga terletak tidak jauh dari chalet itu untuk mereka yang mahu menenangkan fikiran.

Persiapan bagi majlis perjumpaan itu dilakukan secara berpasukan dengan setiap anggota keluarga mengambil bahagian sama ada dalam menyediakan makanan atau menyiapkan ruang.

Bagi makanan, setiap keluarga membawa satu hidangan sama ada lauk-pauk atau kuih-muih.

Sekumpulan ahli keluarga pula menyandang tugas menghias.

“Kami berkumpul dan memikirkan bagaimana kami boleh membuat ruang chalet itu menjadi lebih meriah. Kami ke Giant Hypermart di Tampines dan membeli beberapa pelita LED dan hiasan lain. Kami juga memesan tirai latar besar untuk digunakan bagi mengambil gambar dari Shopee,” kata pendidik itu.

Di majlis perjumpaan pada 31 Mac, pelbagai juadah Raya disediakan seperti ayam masak merah, lodeh, rendang dan ketupat yang disumbang oleh setiap keluarga dan dibuat menggunakan resipi turun-temurun.

Selain menjamu selera dan bersembang, keluarga itu turut bermain beberapa permainan.

Sementara orang dewasa bersembang, kanak-kanak dalam keluarga Cik Nur Hidayah bermain di kolam renang dan bermain permainan mengumpul duit syiling $1. 
Sementara orang dewasa bersembang, kanak-kanak dalam keluarga Cik Nur Hidayah bermain di kolam renang dan bermain permainan mengumpul duit syiling $1.  - Foto ihsan NUR HIDAYAH JAZULI

Satu daripadanya ialah permainan mengumpul duit syiling $1.

“Pak Long kami suka mengumpul duit syiling $1 sepanjang tahun. Pada Hari Raya pertama, kami semua akan cuba mengambil seberapa banyak duit syiling daripada pasu besar dengan mulut yang kecil.

“Selalunya kanak-kanak yang dapat mengambil lebih banyak duit syiling kerana tangan mereka lebih kecil dan boleh menyeluk ke dalam pasu itu. Permainan ini sebenarnya tidak mudah tetapi ia sangat menyeronokkan. Kami boleh mengumpul sekitar 80 hingga 100 duit syiling daripada beberapa pusingan dan semua orang daripada kanak-kanak kepada orang dewasa muda akan mengambil bahagian,” kongsi Cik Nur Hidayah.

Melihat keutuhan ikatan keluarganya membuat semua persiapan bagi menganjurkan majlis besar-besaran itu berbaloi, katanya.

“Ibu bapa kami telah menunjukkan contoh perpaduan dan ia adalah sesuatu yang kami mahu terus pegang lebih-lebih lagi memandangkan kami semakin dewasa.

“Kami berharap generasi lebih muda akan memahami pentingnya memperuntukkan masa setiap tahun untuk menghargai usaha ibu bapa kami untuk memastikan keluarga kami kekal erat,” kata Cik Nur Hidayah.

“Kami juga berharap lebih ramai orang mengadakan perhimpunan di ruang besar seperti chalet dan dewan serbaguna. Ia lebih senang dan memudahkan berbanding mengunjungi rumah satu-persatu,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg