Dua saudara lelaki kelahiran Singapura menjalankan misi mencari sejenis spesies katak yang jarang ditemui.
Sepanjang sedekad mereka telah berusaha memburu spesies katak tersebut.
Kulit katak itu menyamai kulit pokok, seakan menghasilkan selimut ‘halimunan’ bagi mengelakkannya daripada dikesan oleh pemangsa.
Bagaimanapun, misi dua siswazah Zoologi, Encik Law Ing Sind dan Encik Law Ingg Thong, berbeza daripada yang dilakukan oleh pemburu haram.
Matlamat sebenar mereka ialah mencari bunyi suara katak itu yang tidak pernah dirakam.
Spesies katak ‘thorny bush’ atau Theloderma horridum – yang boleh ditemui di Indonesia, Malaysia dan Thailand – merupakan antara tujuh jenis spesies katak yang terancam pupus di Singapura.
Bunyi suara katak jenis tersebut belum digolongkan bersama bunyi katak menguak yang lain di dalam perpustakaan terbuka kelolaan dua beradik berkenaan.
Perpustakaan tersebut telah digunakan oleh para saintis tempatan dan juga luar negara dalam kajian dan usaha mereka memulihara katak yang semakin pupus akibat perbuatan manusia yang merosakkan habitat haiwan amfibia ini.
Setiap bunyi yang dikeluarkan oleh katak adalah unik kepada spesies masing-masing dan ia merupakan cara berkomunikasi yang hanya dapat difahami oleh spesies tersebut.
Encik Law Ingg Thong, 26 tahun, berkata: “Bunyi suara katak boleh dimanfaatkan untuk dipelajari dengan lebih mendalam lagi, ataupun untuk mengenal pasti spesies katak yang ada di kawasan terbuka.”
Sempena Hari Katak Sedunia pada 20 Mac, akhbar The Straits Times telah meneliti usaha dua beradik tersebut dalam menyelamatkan katak-katak melalui bunyi suara yang dihasilkan.
Walaupun suara amfibia ini lebih kuat, ia sukar dikesan disebabkan saiz dan pergerakannya.
Encik Law Ing Sind, 27 tahun, berkata: “Dengan adanya koleksi bunyi suara amfibia ini, ia dapat membantu para penyelidik dan saintis mengumpulkan maklumat mengenai katak yang unik dan hampir pupus, terutama apabila meneliti dan membuat penilaian ke atas biodiversiti dan kajian penduduk.”
Dr Chan Kin Onn, mantan kurator herpetologi – iaitu kajian tentang reptilia dan amfibia – di Muzium Sejarah Semula Jadi Lee Kong Chian, berkata bahawa bioakustik, iaitu pengajian tentang suara haiwan, merupakan alat penting untuk membantu ahli biologi membezakan spesies haiwan yang ada.
“Kita boleh menggunakan bioakustik untuk memahami pertumbuhan spesies,” kata Dr Chan, yang kini merupakan pakar dalam kajian genetik di Institut Biodiversiti dan Muzium Sejarah Semula Jadi Universiti Kansas.
Dalam kebanyakan spesies, hanya katak jantan akan mengeluarkan bunyi untuk memikat katak betina dan pada masa yang sama, menghalau katak jantan lain.
Namun ahli biologi, Dr Ulmar Grafe, yang menubuhkan perpustakaan untuk bunyi suara katak di Borneo, berkata bahawa dalam sesetengah spesies katak, katak betina juga boleh menghasilkan bunyi.
Dalam kajian yang dibuat pada 2017, beliau mendapati katak betina jenis Limnonectes palavanensis di Borneo lebih kerap mengeluarkan bunyi berbanding katak jantan.
Dua saudara lelaki tersebut menyatakan walaupun bunyi suara memainkan peranan utama dalam mengesan katak, Singapura masih kekurangan sumber untuk membezakan bunyi suara katak, berbanding Malaysia.
Atas sebab itu, mereka telah melabur ratusan dolar membeli peralatan bunyi demi menghasilkan data audio yang bermutu tinggi.
Projek itu bermula pada 2019 di bawah naungan Persatuan Herpetologi Singapura yang dipelopori oleh teman-teman untuk mengkaji dan mendidik orang awam tentang reptilia dan amfibia.
Kini, mereka telah menyatukan bunyi 27 daripada 29 jenis spesies katak, baik yang asli mahupun yang diperkenalkan di hutan dan kawasan bandar di Singapura.
Encik Law Ingg Thong menambah:
“Ada katak yang berbunyi seperti serangga. Oleh itu, adalah penting untuk melihat secara langsung kegiatan mengesan bunyi panggilan katak ketika rakaman sedang dijalankan atau mengesan bunyi suara seekor katak untuk menyesuaikan bunyi tersebut dengan spesiesnya.”
Proses untuk mengenal pasti spesies katak memerlukan banyak kesabaran dan telah mendorong dua beradik itu ke hutan yang terdapat katak kecil yang dipanggil, Manthey’s chorus frog.
Saiz katak ini sebesar syiling 20 sen dan tinggal di hutan paya.
Memuji usaha dua beradik yang telah berkongsi hasil usaha mereka itu, Dr Chan berkata: “Data ini berguna bagi penyelidik di luar negara Singapura yang membuat kajian perbandingan.”
“Penyelidik di luar negara hanya perlu menekan butang untuk mendapatkan data yang diperlukan daripada perpustakaan dalam talian tanpa perlu berbelanja dan membazirkan masa untuk ke Singapura.”
Selain membantu para penyelidik untuk mengesan spesies katak, perpustakaan itu telah digunakan untuk kecerdasan buatan (AI) yang dapat mengawasi jenis fauna sebagai kaedah alternatif yang lebih pantas tanpa melibatkan pakar kajian.
Di kebanyakan negara, rangkaian alat pengesan bunyi telah dipasang untuk memantau hutan sepanjang masa tanpa merosakkan keadaan hutan.
Encik Law Ing Sind berkata:
“Menggunakan repositori (tempat simpanan) sebagai titik rujukan, data proses algoritma daripada alat pengesan ini dapat mengecam trend seperti kegiatan, kehadiran dan ketiadaan katak-katak.”
Perpustakaan yang diurus oleh dua beradik itu telah membantu kumpulan berasal Sepanyol dan Brazil semasa peringkat separuh akhir pertandingan, XPrize Rainforest, pada 2023.
Peserta pertandingan berkenaan telah disuruh mengkaji beberapa kawasan di Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah, kawasan simpanan semula terbesar di Singapura.
Pertandingan antarabangsa itu bertujuan memulakan teknologi pemantauan biodiversiti.
Perpustakaan yang mereka bina itu telah menarik perhatian Lembaga Taman Negara (NParks)
Menurut Pengarah Pusat Biodiversiti Negara, Cik Sophianne Araib, NParks menggunakan bioakustik untuk mengkaji dan memantau amfibia di Singapura. Kakitangan NParks telah menggunakan khidmat dan koleksi bunyi suara katak apabila berhadapan dengan bunyi suara katak yang ganjil.
Beliau berkata: “Daya usaha pemantauan ini akan membantu kami mengesan spesies amfibia yang rencam serta populasi amfibia ini dari masa ke masa dan membina strategi pengurusan secara berkesan supaya dapat mengekalkan atau meningkatkan bilangan spesies berkenaan.
Di bawah program pemulihan spesies NParks itu, katak jenis, cinnamon bush frogs (Nyctixalus pictus), telah diperkenalkan di hutan hujan di Kebun Bunga Singapura pada 2017.
Spesies nokturnal ini semakin hidup dengan subur di taman tersebut, kata Cik Sophianne.
Dengan misi yang belum selesai, dua saudara ini meneruskan pencarian spesies katak yang belum ditemui di kawasan Singapura hampir setiap minggu.
Katak jenis thorny bush telah dilihat beberapa kali di Kawasan Hutan Paya Nee Soon dan Hutan Simpanan Bukit Timah. Kali terakhir ia ditemui adalah pada 2011.
Mereka berdua hampir kehilangan peluang untuk merakam bunyi panggilan katak itu di Seremban, Malaysia.
Sambil meninjau hutan hujan tropika di Johor pada tahun 2020 , Encik Law Ing Sind terjumpa seekor katak jenis thorny bush itu di pokok. Katak ini mampu melompat setinggi tiga meter dari tanah.
“Katak itu tetap berada di situ walaupun setelah beberapa lawatan dilakukan. Oleh itu, kami berpendapat mungkin ia melindungi lubang pokok yang ada.
“Kami juga mendapati ada telur dan berudu di dalam lubang tersebut. Kami berharap dapat merakam bunyi suara menggunakan alat perakam yang dibawa,” katanya.
Semasa mereka berniat menangkap bunyi suara katak itu, pintu masuk sempadan ke Johor ditutup akibat pandemik Covid-19 yang melanda.
Sembilan bulan kemudian, apabila mereka pulang, usaha mereka tidak membuahkan hasil kerana katak itu sudah hilang.
Walaupun gagal, ini tidak mematahkan semangat mereka untuk terus memburu bunyi suara katak tersebut.
Encik Law Ingg Thong menambah: “Pasti ada rasa puas apabila kita berjaya merakam bunyi katak yang bermutu kerana kami hampir berjaya melengkapkan kompilasi bunyi suara katak dari semua spesies katak yang rencam di Singapura.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg