Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Burger niaga jadi roti amal buat pekerja hijrahan

Jul 22, 2024 | 8:53 PM
Encik Muhamad Iqbal Abdul Razak menjadikan pengalaman acara kontroversi, Trifecta Fest, sebagai satu motivasi bagi acara selanjutnya di Malaysia Expo yang seharusnya bermula 25 Julai.
Encik Muhamad Iqbal Abdul Razak menjadikan pengalaman acara kontroversi, Trifecta Fest, sebagai satu motivasi bagi acara selanjutnya di Malaysia Expo yang seharusnya bermula 25 Julai. - Foto: MOHD KHALID BABA

Daripada terbazir lebih 1,000 roti burger dek sebuah pesta perdagangan dibatalkan pada saat-saat akhir, seorang peniaga mengagihkan kesemuanya kepada pekerja hijrahan.

Dan Encik Muhamad Iqbal Abdul Razak gembira apabila melihat pemberiannya begitu dihargai mereka.

“Daripada terbuang, baik saya agihkan. Saya juga berbesar hati pekerja ini sudi menerimanya dan ada yang terus beli bahan sapuan atau sambal, dan minuman. Terus mereka makan depan saya sambil ucapkan terima kasih, pada hal setakat roti kosong saja.

“Bagi saya, ini mengurangkan pembaziran dan saya menganggapnya sebagai sedekah,” ujar beliau, 36 tahun.

Encik Muhamad Iqbal, yang lebih dikenali dengan nama TikTok Danny One Star, adalah antara lebih 150 peniaga Singapura dan Malaysia yang terjejas setelah pesta perdagangan Trifecta Fest, yang sepatutnya diadakan di Singapore Expo dari 12 hingga 14 Julai, dibatalkan pada saat-saat akhir disebabkan isu pelesenan dan kewangan penganjurnya, Enigma Collective.

Itu sepatutnya menjadi kali pertama beliau berniaga di sebuah pesta perdagangan.

Beliau kemudian memutuskan mengagihkan kesemua roti burger yang dibelinya untuk membuat burger bagi dijual di pesta perdagangan itu kepada pekerja hijrahan di Toh Guan.

Ketika ditemui Berita Harian baru-baru ini, Encik Muhamad Iqbal berkata beliau melaburkan sekitar $12,000 untuk kos bahan masakan, sewa, gaji dan pengangkutan bagi perniagaannya itu.

“Ini adalah pesta dagangan pertama yang kami sertai. Saya dah rancang untuk adakan ‘live’ di TikTok bagi pengikut saya, untuk memasarkan perniagaan ‘Berserak Burger’ ini. Sayangnya, acara tidak jadi.

“Saya bahkan sudah menyediakan sekitar 160 kilogram daging dan sekitar 50 kilogram daging ayam bagi hidangan ‘Berserak Burger’, tetapi terpaksa mencari tempat untuk membekukan daging itu.

“Saya minta bantuan rakan yang dapat sediakan ruang penyejuk beku agar saya dapat selamatkan bahan-bahan itu. Tapi roti burger tak dapat disimpan lama. Justeru, saya ambil keputusan agihkannya kepada pekerja hijrahan,” kata beliau, yang mempunyai 32,000 pengikut TikTok.

Dalam sebuah video TikTok, Encik Muhamad Iqbal dilihat mengagihkan roti itu kepada pekerja hijrahan tersebut.

Beliau mengusahakan perniagaan tersebut bersama isterinya Cik Siti Hafifah Senin, 32 tahun. Mereka juga berniaga di bazar Ramadan pada 2023 apabila ada pelabur yang tampil menyokong mereka.

Mengenai perkembangan terkini saga Trifecta Fest, rakan kerjasama pemasaran acara tersebut, Encik Mohamad Hussin Said, yang juga dikenali sebagai Tauke Mango Bossku, berkata beliau dalam perbincangan dengan Enigma Collective untuk mendapatkan semula wang pendahuluan peniaga terjejas.

“Enigma Collective menjelaskan mereka dalam perbincangan dengan Singapore Expo untuk mendapatkan kembali wang pendahuluan itu untuk dikembalikan kepada peniaga.

“Tetapi, kerana acara dibatalkan, mereka akan dikenakan denda. Mereka kini sedang berusaha menghuraikan situasi ini dan berharap dapat menyelesaikannya pada awal September,” ujarnya.

Encik Muhammad Iqbal pula menganggap peristiwa itu sebagai satu pelajaran bagi acara selanjutnya beliau.

“Apabila dapat tahu acara itu dibatalkan, hati (saya) dah berkata, ini bukan rezeki saya. Tapi masih ada peluang lain dan ini cara saya belajar selok-belok acara seperti ini supaya lebih bersedia pada masa depan,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg