Penganjur pesta dagangan berpengalaman dalam pasaran Melayu terkesan dengan pembatalan saat-saat akhir acara Trifecta Fest di Singapore Expo, antara 12 hingga 14 Julai, dan merasakan perkara ini boleh dielakkan dengan perancangan awal lagi teliti.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), mereka berkata pesta dagangan berskala besar dengan penyertaan ratusan peniaga yang menyewa reruai memerlukan persiapan berbulan lamanya kerana ia meliputi perancangan bajet dan kewangan yang mantap serta permohonan permit.
Tambahan pula, peniaga yang memberi komitmen pada acara ini tidak seharusnya terbiar ‘terkandas’ sehari dua sebelum acara dianjurkan kerana ia boleh membawa pada kerugian besar perniagaan mereka.
Sebagaimana yang dilaporkan Berita Minggu (BM) pada 14 Julai, lebih 150 peniaga Singapura dan Malaysia termasuk usahawan selebriti ‘terkandas’ dan tidak tentu arah setelah Trifecta Fest dibatalkan pada saat-saat akhir kerana penganjur kali pertama, Enigma Collective, difahamkan tidak dapat meneruskannya kerana isu kewangan dan pelesenan.
Dalam video tular di media sosial, sebahagian peniaga ini dilihat berkumpul di Singapore Expo untuk meluahkan kemarahan serta keprihatinan mengenai bayaran penuh serta deposit yang telah diserahkan pada lewat petang 12 Julai.
Seramai 20 peniaga kemudian meneruskan perniagaan mereka di Istana Ballroom, sementara penganjur dikatakan telah diberkas polis kerana gagal hadir ke mahkamah atas dakwaan kesalahan awal.
Mengulas isu ini, Pengarah dan pemilik bersama MakBesar Pte Ltd, Cik Haryani Othman, yang berpengalaman menganjurkan beberapa pesta dagangan berskala besar berkata penganjur diharap “belajar dari kesilapan, sedaya upaya membuat bayaran balik kepada peniaga yang terjejas”, dan “jangan buat seolah-olah macam tidak ada apa-apa yang berlaku”.
Menurut beliau, beberapa peniaga memberitahunya bahawa masih terdapat kemarahan yang teramat dalam kalangan peniaga kerana Enigma Collective kelihatan berseronok di luar dalam rakaman wadah media sosial.
Menurut laman Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra), Enigma Collective, yang terletak di 60 Marine Drive, tersenarai sebagai syarikat berdaftar dan berlesen.
“Sebagai penganjur baru, langkah pertama ialah untuk mendapatkan modal kerana penganjur tidak boleh menunggu bayaran peniaga untuk memberi wang pendahuluan kontraktor atau tempat.
“Modal yang mencukupi sebelum memulakan projek dapat mengelak daripada kesilapan biasa yang dilakukan iaitu pembiayaan yang tidak mencukupi.
“Selain modal, penganjur perlu membiasakan diri dengan pelan lantai, strategi jualan, pemasaran, logistik, operasi, tugas pentadbiran, keperluan tenaga kerja dan keperluan undang-undang, terutamanya untuk peniaga luar negara,” kata Cik Haryani.
Cik Haryani turut menekankan bahawa penganjuran pameran perdagangan di Singapura memerlukan beberapa permit utama termasuk insurans, lesen hiburan awam dan lesen untuk menjual makanan.
Penganjur El Evento Co Logistics, Cik Nooradilah Omar, pula berpendapat bahawa penganjur seharusnya mengetahui lebih lanjut tentang urusan pelesenan dan surat keizinan terlebih dahulu.
Cik Nooradilah yang pernah membantu mengurus OLG Fest dan Rocket Fest berkata penganjur baru sepatutnya mengambil kontraktor yang kosnya lebih berpatutan dan rendah, sesuai dengan kemampuannya.
Seperti Cik Haryani, Cik Nooradilah turut menekankan beberapa kali tentang kepentingan menjalankan perancangan dan persediaan awal kerana “lain acara, lain keperluannya dengan pelbagai dokumen, lesen dan surat keizinan diperlukan”.
“Jika acara lebih kompleks, ia akan mengambil tempoh lebih lama untuk diluluskan”,” ujarnya.
Cik Haryani dan Cik Nooradilah akui bahawa kesilapan pasti akan berlaku untuk penganjur baru tetapi jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg