Masjid Alkaff Kampung Melayu terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh pembangunan fizikal dan kerohanian masyarakat melalui daya usaha, Projek Umrah Program Peningkatan Masjid (MUP).
Projek Umrah MUP itu akan bermula pada 2026 dan merupakan kerjasama antara Masjid Alkaff Kampung Melayu dengan firma pelancongan setempat, AK Tours & Travels Pte Ltd.
Ia menawarkan pakej umrah 12 hari, lengkap dengan penginapan, pengangkutan, lawatan, dan tiket kereta api laju, Haramain.
Projek itu bukan sekadar perjalanan ibadah semata-mata, bahkan satu bentuk sumbangan kepada pembangunan masjid tersebut.
Projek Umrah MUP adalah daya usaha julung-julung kali diadakan oleh Masjid Alkaff Kampung Melayu dalam usaha mengumpul dana bagi Projek Peningkatan Masjid.
Ia menggabungkan unsur ibadah dan infak, dengan setiap peserta bukan sahaja menunaikan ibadah umrah, malah turut menyumbang kepada pembangunan masjid melalui keuntungan projek.
Umrah pertama di bawah projek itu dijadual berlangsung dari 16 hingga 27 Jun 2026.
Apa yang membezakan Projek Umrah MUP daripada pakej umrah biasa adalah konsepnya yang menggabungkan amal ibadah dan sumbangan.
Setiap anggota jemaah bukan sahaja memperoleh ganjaran ibadah, malah pahala sedekah kerana sebahagian daripada keuntungan projek akan disalur terus kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu.
Selain itu, dana itu akan digunakan untuk menampung kos pembinaan lif, peluasan ruang solat, dan penambahbaikan prasarana, termasuk laluan mesra golongan kurang upaya bagi memastikan kemudahan dan keselamatan semua jemaah.
Projek itu terbuka kepada semua peringkat umur, termasuk orang dewasa dan kanak-kanak.
Harga pakej bagi setiap seorang ditetapkan seperti berikut mengikut perkongsian bilik:
* Orang dewasa dua orang: $4,688
* Orang dewasa tiga orang: $4,388
* Orang dewasa empat orang: $4,188
* Kanak-kanak dengan katil: $3,288; tanpa katil: $2,488
Penyertaan tertakluk kepada syarat perjalanan seperti dokumen sah, vaksinasi lengkap, dan jumlah minimum anggota jemaah dalam kumpulan.
Masjid Alkaff Kampung Melayu turut memastikan jemaah mendapat bimbingan kerohanian dan amali sepenuhnya.
Mereka akan dibimbing oleh asatizah Masjid Alkaff Kampung Melayu serta pegawai dan mutawif daripada AK Tours.
Bimbingan itu meliputi kursus umrah, persiapan keberangkatan, tatacara, adab dan ibadah di tanah suci, dan panduan semasa perjalanan pulang.
Langkah itu bagi memastikan pengalaman umrah setiap peserta berjalan lancar, bermakna, dan penuh keberkatan.
Lebih daripada sekadar ibadah, Projek Umrah MUP diharap dapat memupuk semangat kebersamaan dan cinta kepada masjid dalam kalangan masyarakat.
Pihak kami menyeru kepada masyarakat supaya melihat Projek Umrah MUP ini bukan hanya sebagai ibadah peribadi, malah sokongan terhadap pembangunan masjid.
Melalui penyertaan ini, kita bukan sahaja menunaikan tanggungjawab kepada Allah, bahkan membantu memperkukuh institusi masjid yang menjadi pusat perpaduan ummah.
Dengan semangat, ‘Ibadah Disertai Infak’, Projek Umrah MUP menjadi lambang perpaduan dan kesungguhan masyarakat Islam dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu, dan kebajikan.
Daya usaha itu bukan sekadar satu perjalanan ke tanah suci, malah perjalanan jiwa menyatukan niat suci untuk beribadah dan beramal demi kemaslahatan bersama.
Penulis merupakan Pengurus Masjid di Masjid Alkaff Kampung Melayu.
Penyertaan Projek Umrah MUP:
1. Bagi mereka yang berminat, pendaftaran boleh dibuat secara langsung di pejabat, AK Tours & Travels Pte Ltd, di 10 Ubi Crescent, Ubi Techpark Lobby D, #06-59, Singapura 408564.
2. Atau melalui talian 9754-7494, e-mel kepada hello@aktours.sg, dan lungsuri laman web, www.aktours.sg.
Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 2 petang hingga 6 petang.
* Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.
* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg