Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sunah Nabi bukan ibadah ‘besar’ saja; amalan kecil, rutin besar nilainya

Masjid Alkaff Kampung Melayu galak belia buat sunah dengan langkah kecil, mudah diamal setiap hari
Oct 25, 2025 | 5:30 AM
Ustaz Ammar Mohammad Bahrul-Ulum (empat dari kanan) bersama belia dan sukarelawan Masjid Alkaff Kampung Melayu, berganding bahu dalam menyemarakkan pelbagai kegiatan bermanfaat buat masyarakat.
Ustaz Ammar Mohammad Bahrul-Ulum (empat dari kanan) bersama belia dan sukarelawan Masjid Alkaff Kampung Melayu, berganding bahu dalam menyemarakkan pelbagai kegiatan bermanfaat buat masyarakat. - Foto-foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Apabila kita sebut tentang amalan sunah, ramai orang terus membayangkan amalan ‘besar’ seperti solat malam, puasa sunat atau membaca Al-Quran setiap hari. Namun, hakikatnya ialah ibadah sunah itu jauh lebih luas daripada yang kita sangka. Ia bukan sekadar ibadah besar, sebaliknya merangkumi juga nilai dan akhlak harian yang mencerminkan keperibadian seorang Muslim cemerlang.

Antara amalan ‘kecil’ yang ramai orang mungkin sering tinggalkan ialah senyum, menjaga kebersihan dan, yang sangat penting, menepati masa. Semua itu juga merupakan sunah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. Amalan-amalan kecil ini sebenarnya membentuk hati dan jiwa seorang mukmin sejati.

Sunah dalam kehidupan belia moden

Kehidupan belia hari ini penuh dengan belajar, bekerja, bersosial dan dunia digital. Kadangkala amalan sunah nampak jauh daripada realiti moden, namun sebenarnya ia sangat relevan dan dekat dengan rutin harian kita.

Contohnya, di sekolah atau di tempat kerja, menunaikan amanah dalam tugasan serta menghormati guru dan rakan sekerja adalah antara amalan sunah yang mudah diamalkan. Dalam persahabatan pula, memberi salam, memaafkan kesalahan dan ringan tangan, iaitu suka menolong orang dalam kesusahan atau cepat membuat kerja adalah cerminan akhlak Rasulullah saw.

Malah, dalam dunia digital hari ini, menahan marah ketika mendapat komen negatif, mengelak daripada menyebar fitnah, dan berkongsi perkara bermanfaat juga termasuk dalam amalan sunah yang sangat besar ganjarannya.

Amalan sunah bukan sekadar di masjid atau majlis ilmu. Ia boleh dihidupkan di mana sahaja, baik di dalam kelas mahupun tempat kerja dan di media sosial. Yang penting, mulakan melakukan amalan sunah dengan langkah-langkah kecil yang mudah diamalkan setiap hari.

Amalan sunah mudah untuk belia

Untuk menghidupkan sunah Nabi Muhammad saw, kita tidak perlu menunggu untuk melakukan perkara besar. Kadangkala, amalan kecil pun dapat memberi makna besar. Contohnya, mulakan hari kita dengan doa bangun tidur dan senyuman, tanda kesyukuran kerana Allah masih memberi kita peluang hidup, bernafas, dan terus melakukan kebaikan.

Apabila berdepan situasi yang boleh buat kita marah pula, terutamanya di media sosial, cuba tahan marah dan pilih untuk berdiam atau membalas secara baik.

Rasulullah saw bersabda: “Orang kuat bukanlah yang menang ketika berlawan, tetapi yang berdaya menahan marahnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, jangan lupa menjaga kebersihan dan penampilan diri. Ia nampak remeh, tapi hakikatnya ia sebahagian daripada iman. Apabila kita menjaga diri dan tampil kemas, bukan keyakinan diri kita sahaja meningkat, malah kita turut mencerminkan imej positif dan keindahan seorang Muslim berdisiplin dan berakhlak mulia.

Istiqamah lebih penting daripada sempurna

Ramai orang berasa berat untuk mengamalkan sunah kerana takut tidak upaya melakukannya dengan sempurna. Sebenarnya, Allah swt lebih menyukai amalan kecil tetapi dilakukan secara konsisten.

Nabi Muhammad saw bersabda: “Amalan paling dicintai Allah ialah amalan berterusan walaupun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi, tidak mengapa jika kita bermula dengan satu amalan kecil. Yang penting ialah ia dilakukan secara istiqamah, yang bermaksud melakukan sesuatu suruhan, termasuk suruhan agama, secara terus-menerus. Ini bermakna melakukan sesuatu amalan dengan hati ikhlas dan menjadikannya sebahagian daripada rutin hidup kita.

Menghidupkan sunah bukan soal siapa paling banyak beramal, tetapi siapa paling tekun mencontohi akhlak dan amalan Rasulullah saw dalam kehidupan harian.

Akhir kata, semoga setiap langkah dan usaha kita, walau sekecil mana, sentiasa diberkati dan dipermudahkan oleh-Nya. Ini kerana amalan kecil, apabila dilakukan dengan ikhlas dan secara istiqamah, menjadi besar di sisi Allah, dan menjadi bekal berharga buat dunia dan akhirat.

Penulis adalah Pegawai Pembangunan Belia di Masjid Alkaff Kampung Melayu.

CARA DERMA BAGI DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

– Pindahan bank OCBC: 581-608668-001

Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar (screenshot) transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

– Hantarkan cek kepada: LPM ALKAFF KG MELAYU

Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek, dan kirimkannya kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

– Paynow UEN: S94MQ0017D

Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

– Sampaikan derma langsung kepada masjid

Kunjungi pejabat masjid antara Isnin hingga Khamis, antara 9 pagi hingga 5.30 petang, atau pada Jumaat, antara 9 pagi hingga 5 petang.

Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.

Ikutilah Masjid Alkaff Kampung Melayu di Tik Tok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg