Kucing sering dianggap sekadar haiwan peliharaan manja dan menghiburkan. Namun, dalam Islam, kedudukannya jauh lebih tinggi. Ia antara makhluk ciptaan Allah yang mendapat perhatian khusus daripada Rasulullah saw serta para sahabat. Malah, sejarah Islam menunjukkan bahawa kasih sayang terhadap kucing mencerminkan akhlak mulia yang dituntut dalam kehidupan harian seorang Muslim.
Rasulullah saw dikenali sebagai seorang insan yang penuh sifat rahmat. Baginda saw bersifat penyayang bukan terhadap manusia sahaja, malah haiwan. Kisah Rasulullah saw membiarkan kucing tidur di lengan jubah Baginda hingga Baginda sanggup memotong bahagian pakaiannya itu agar tidak mengganggu tidur haiwan itu jelas menunjukkan akhlak terpuji Baginda. Tindakan sedemikian terhadap makhluk yang kecil menggambarkan betapa besarnya sifat ihsan Baginda terhadap semua makhluk Allah swt.
Kecintaan dan rasa belas Baginda terhadap kucing turut dicontohi para sahabat. Seorang sahabat Nabi saw, Abdurrahman bin Sakhr, umpamanya, lebih dikenali dengan gelaran Abu Hurairah, yang bermaksud ‘Bapa Si Kucing’, kerana kasihnya yang mendalam terhadap haiwan tersebut. Gelaran yang begitu sinonim dengan dirinya itu menjadi bukti bahawa menyayangi kucing bukan sekadar hobi, tetapi satu sunah yang diwarisi daripada Rasulullah saw.
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah saw mengingatkan tentang seorang wanita yang diazab kerana mengurung seekor kucing hingga mati. Wanita itu tidak memberi haiwan itu makan dan minum, tetapi tidak melepaskannya untuk mencari rezeki sendiri. (Riwayat Al-Bukhari & Muslim).
Kisah ini menjadi peringatan tegas bahawa menzalimi haiwan adalah satu dosa besar, dan Islam menekankan belas kasihan sebagai asas setiap perbuatan.
Hadis ini seiring dengan prinsip ihsan dalam Islam: Berbuat baik bukan kepada manusia sahaja, bahkan semua makhluk. Maka, menyayangi kucing bukan satu hal remeh, tetapi antara cara menghidupkan sunah Nabi Muhammad saw. Ia mendidik manusia untuk berlembut hati, bertanggungjawab, serta peka terhadap keperluan makhluk lain, yang juga berhak menikmati kehidupan.
Di luar nilai agama, kucing turut memberi manfaat dari segi emosi dan kesihatan. Kajian moden menunjukkan bahawa memelihara kucing dapat membantu meredakan tekanan, menenangkan jiwa, malah menurunkan kadar tekanan darah. Kehadiran kucing dalam rumah boleh menjadi penawar kesunyian, penghibur kala penat, dan sumber kasih sayang yang tulus.
Bagi umat Islam, manfaat ini menjadi pelengkap pahala yang dijanjikan Tuhan apabila seseorang berbuat baik kepada haiwan. Apabila kita menyayangi kucing dengan ikhlas, kita sebenarnya bukan menjaga makhluk Allah sahaja, malah mendidik diri untuk lebih bersabar dan menyayangi.
Masjid Alkaff Kampung Melayu menjemput orang ramai menjayakan acara istimewa Purrsa Malam 2025 anjurannya di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 11 hingga 12 Oktober, dari 3 petang hingga 10 malam.
Di acara itu, pengunjung dapat menikmati pelbagai kegiatan menarik, termasuk merakam kenangan bersama keluarga, rakan, dan tentunya kucing kesayangan di reruai foto khas. Selain itu, pengunjung berpeluang menyumbang kepada Projek Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu melalui jualan amal dan derma ikhlas.
Acara ini bukan sekadar tentang kucing, tetapi satu usaha memperkukuh nilai kasih sayang dalam masyarakat serta menghidupkan sunah Rasulullah saw dalam kehidupan moden. Kehadiran anda bukan akan menyemarakkan suasana sahaja, bahkan menyumbang kepada pembangunan rumah Allah yang bakal memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat tempatan dan umat Islam amnya.
Kucing mengajar kita tentang kelembutan, kesetiaan dan kasih tanpa syarat. Rasulullah saw menekankan bahawa setiap kebaikan yang dilakukan, terhadap seekor haiwan sekalipun, akan dibalas dengan ganjaran.
Justeru, mari kita mengambil inspirasi daripada Abu Hurairah ra, seorang sahabat Nabi saw yang dikenang hingga hari ini kerana cintanya terhadap kucing. Jadikan kasih kepada haiwan ini sebagai satu jalan mendekatkan diri kepada sunah Rasulullah saw, sambil menanam nilai ihsan dalam diri kita.
Purrsa Malam 2025 adalah peluang untuk kita meraikan haiwan itu dengan kegembiraan dan pengisian kerohanian. Datanglah bersama keluarga, raikan cinta kucing, hidupkan sunah, sambil menyumbang untuk masa depan Masjid Alkaff Kampung Melayu.
Penulis Eksekutif Marcom di Masjid Alkaff Kampung Melayu.
DERMA KEPADA MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:
– Pindahan bank OCBC: 581-608668-001
Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar (screenshot) transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
– Melalui cek kepada: LPM ALKAFF KG MELAYU
Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada, Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
– Paynow UEN: S94MQ0017D
Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
– Datang ke Masjid Alkaff Kampung Melayu
Datang ke pejabat masjid pada waktu pejabat: Isnin hingga Khamis, dari 9 pagi hingga 5.30 petang, dan Jumaat, dari 9 pagi hingga 5 petang.
Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.
Ikutilah Masjid Alkaff Kampung Melayu di Tik Tok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg