Meskipun berada ribuan kilometer jauh dari tanah air, Encik Salifian Sulaiman, giat memikirkan cara untuk menabur bakti kepada masyarakat.
Salah satu inisiatif yang diusahakan penerima Biasiswa Rhodes itu baru-baru ini adalah dalam bentuk kerjasama dengan rakannya yang mengikuti pengajian di Universiti Cambridge, Encik Abdul Mateen Kamal.
Secara khusus, mereka sedang membangunkan sebuah laman web yang menawarkan panduan permohonan possiswazah dan biasiswa bagi universiti terkemuka seperti Oxford, Cambridge dan Harvard.
“Ramai yang sering bertanya kepada saya bagaimana cara memohon, dan saya perasan terdapat kekurangan maklumat yang mudah diakses.
“Jadi, saya bekerjasama dengan beliau untuk membangunkan projek ini.
“Insya-Allah tahun depan (2026) kita akan ada laman web yang dikemas kini yang menawarkan maklumat ini,” ujar Encik Salifian, 26 tahun.
Anak ketiga dalam empat beradik itu baru sahaja memulakan pengajian ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Kajian Antropologi dan Penghijrahan di Universiti Oxford di Britain pada Oktober 2025.
Sebelum ini, beliau menerima anugerah Lee Kuan Yew-Quantedge dan Biasiswa Possiswazah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) bagi pengajian sarjana antropologi sosial di Universiti Cambridge.
Menurut Encik Salifian, keputusannya untuk menceburi kajian antropologi tercetus daripada minatnya untuk menyelami bagaimana penghijrahan, agama dan pendidikan boleh mempengaruhi mobiliti sosial.
“Saya ingin memahami bagaimana individu, termasuk mereka daripada masyarakat Melayu/Islam, boleh maju dalam kehidupan mereka dan menghapuskan halangan sosioekonomi.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk melihat bukan hanya mengapa sesetengah orang keciciran, tetapi juga bagaimana mereka yang berjaya mencapai impian mereka,” ujar anak seorang pemandu penghantaran dan suri rumah itu.
Encik Salifian selesai pengajian pada 2024 dengan Kepujian (Kecemerlangan Tertinggi) dalam program Sarjana Muda dalam Sejarah daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan meraih Gred Mata Purata (GPA) 4.58 mata dan ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Liberal daripada Universiti Waseda di Tokyo, Jepun dengan GPA 3.84 mata.
Ini selain disertakan dalam Senarai Dekan di Universiti Waseda sebanyak dua kali.
Pada 11 Oktober, Encik Salifian diiktiraf dengan Anugerah Cemerlang Mendaki dan Anugerah Gemilang Mendaki semasa majlis penyampaian Anugerah Mendaki 2025 di Pusat Budaya Universiti Nasional Singapura (UCC).
Anugerah Cemerlang Mendaki diberikan kepada lulusan kepujian kelas pertama manakala Anugerah Gemilang Mendaki mengiktiraf individu teladan dari segi perwatakan, kecekapan dan kewarganegaraan.
Bagi Encik Salifian, anugerah itu mendorongnya untuk memperuntuk lebih banyak masa dan idea melalui kajiannya bagi manfaat masyarakat Melayu/Islam di Singapura.
“Saya amat gembira apabila menerima anugerah ini kerana ia adalah impian yang saya tidak sangka boleh saya capai dahulu.
“Alhamdulillah dengan sokongan ibu bapa dan kawan-kawan saya, semua ini tercapai.
“Sokongan yang diberikan oleh masyarakat telah membolehkan saya menerima Biasiswa Rhodes dan melanjutkan pengajian saya di Oxford.
“Saya ingin menyumbang semula kepada masyarakat dan adalah impian saya juga untuk menyumbang kepada usaha berterusan (dalam) membangunkan masyarakat Melayu/Islam, terutamanya generasi muda kita,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg