Pengalaman menjalani latihan amali selama enam bulan di Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) pada 2024 mengubah perjalanan hidup Cik Alifah Ilyana Jamal.
Meskipun tempoh latihan tersebut singkat, Cik Alifah, 21 tahun, yang ketika itu berada dalam pengajian tahun kedua kursus Diploma Bioteknologi Perubatan di Politeknik Temasek (TP), cukup yakin sains dapat menjadi wadah penting buatnya memperjuangkan kesihatan wanita melalui penyelidikan bioperubatan.
“Daripada pengalaman itu, saya akur bidang penyelidikan dapat dijadikan wadah menyumbang kepada golongan rentan, khususnya wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Semangat itu membuahkan hasil apabila beliau menamatkan pengajian di TP pada Mei 2025 dengan keputusan cemerlang. Beliau memperolehi Gred Mata Purata (GPA) sebanyak 3.96, dan muncul sebagai antara pelajar terbaik kohortnya dalam kursus Diploma Bioteknologi Perubatan di TP.
Berbekalkan pengalaman dan asas kukuh dalam penyelidikan, beliau kini melanjutkan pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan Perubatan.
Di situ, beliau menyumbang kepada Projek W.E. (Women Empowerment) atau ‘Pemerkasaan Wanita’, satu inisiatif di bawah Persatuan Perubatan NUS, yang memberi tumpuan kepada advokasi kesihatan wanita.
Ini termasuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu seperti endometriosis dan penjagaan kesihatan reproduktif wanita melalui sesi perkongsian dan program mendekati masyarakat.
“Ilmu yang kita pelajari tak sepatutnya terhenti di dewan kuliah. Saya mahu gunakan pengetahuan saya melalui latihan amali saya sebelum ini demi membantu orang lain, terutama wanita,” ujarnya.
Hasil usaha dan semangat beliau menjadi satu teladan dan cerminan nilai yang membawa pada pengiktirafan di majlis penyampaian Anugerah Mendaki 2025, di Auditorium Ho Bee, Pusat Budaya Universiti Nasional Singapura (UCC) pada 11 Oktober.
Cik Alifah, anak bongsu dalam empat beradik, diiktiraf dengan Anugerah Mendaki, Anugerah Gemilang Mendaki dan Anugerah Pencapaian Akademik.
Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung, hadir selaku tetamu terhormat di acara tersebut.
Turut hadir ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki.
Anugerah Mendaki 2025 mengiktiraf seramai 529 pelajar Melayu/Islam yang mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan nasional atau memperoleh kepujian kelas pertama di universiti terkemuka sama ada di dalam atau luar negara.
Anugerah Gemilang Mendaki pula mengiktiraf individu teladan dari segi perwatakan, kecekapan dan kewarganegaraan.
Setiap Anugerah Mendaki disertakan dengan sijil dan ganjaran wang tunai.
Bagi Cik Alifah, pengiktirafan ini menandakan kepercayaan masyarakat terhadap potensi anak muda sepertinya.
“Anugerah ini menjadi motivasi untuk saya terus maju. Saya berharap pencapaian ini dapat menjadi inspirasi kepada pelajar Melayu lain yang ingin ceburi bidang perubatan dan penyelidikan.
“Saya memang menghargai kepercayaan dan semangat yang diberikan daripada orang sekeliling kerana ia menjadi dorongan agar terus gigih dalam pelajaran saya,” ujarnya.
Tambahnya, pengiktirafan ini lebih bermakna kerana beliau telah memilih untuk menukar haluan ke politeknik setelah setahun menuntut di Maktab Rendah St Andrew (SAJC) pada 2021.
Katanya, gaya pembelajaran teori semata-mata yang sering dikaitkan dengan pembelajaran di maktab rendah, tidak sesuai untuk dirinya yang lebih gemar unsur pelajaran praktikal.
Namun, beliau akur keputusan itu tidak dilakukan dengan mudah kerana ia disertai dengan rasa tanggungjawab untuk membalas pengorbanan ibu bapanya.
Bapanya, Encik Jamal Abubakar, 61 tahun, merupakan pemandu lori, manakala ibunya, Cik Rohaya Othman, 56 tahun, merupakan suri rumah.
“Sebagai anak bongsu, saya rasa tanggungjawab saya apabila dewasa adalah untuk membanggakan mak dan ayah. Sejak kecil, saya dapat lihat sendiri pengorbanan mereka agar saya dan adik-beradik saya dapat melanjutkan pengajian sejauh mungkin. Sebab itu, saya mahu buktikan segala usaha dan doa mereka tidak sia-sia,” kata Cik Alifah.
Mujur, pengalaman beliau ketika di TP bukan sahaja memperkukuh minatnya terhadap sains, malah meluaskan pandangan tentang peranan penyelidikan dalam bidang perubatan.
Dengan menanam cita-cita memperolehi ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan berkhidmat sebagai saintis kilinisian, Cik Alifah bertekad memanfaatkan sains demi memperbaiki mutu kehidupan pesakit wanita.
“Pencapaian saya selama ini merupakan hasil kepercayaan keluarga serta sokongan orang sekeliling. Saya cuma harap dapat gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg