Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Busker’ muda ikut jejak Ayah, bangkit keyakinan hibur orang ramai di ruang awam
‘Busker’ muda ikut jejak Ayah, bangkit keyakinan hibur orang ramai di ruang awam
Siswa NTU keluar dari zon selesa, teruja apabila dapat penghargaan orang lalu-lalang
‘Busker’ muda ikut jejak Ayah, bangkit keyakinan hibur orang ramai di ruang awam
Surat pengesahan bagi membolehkannya membuat persembahan di ruang awam sebagai seniman jalanan diperoleh Irsyad Mohamed Said, daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC) terlebih dahulu.
Selepas benar-benar bersedia dan memastikan jari-jemarinya tidak kaku sewaktu memetik gitar, barulah pemuda berusia 22 tahun itu tampil yakin membuat persembahan bagi menghiburkan orang ramai sambil mencari rezeki.
Selepas mencuba pekerjaan itu, mahasiswa kursus ijazah kejuruteraan aeroangkasa di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), akhirnya menyedari dunia ‘busking’ atau seniman jalanan bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan sesiapa sahaja.
Meskipun gugup berdiri di tengah lautan orang ramai yang berpusu-pusu bergegas bagi melaksanakan urusan harian, Irsyad, anak kedua dalam empat beradik, menganggap proses itu juga satu perjalanan mencari ‘suaranya’ sendiri dalam persada seni.
Malah, dipandu oleh kepercayaan ayahnya, Mohamed Said Rahim, 52 tahun, padanya, sedikit demi sedikit beliau mula keluar daripada zon selesanya.
“Apabila ayah saya mula menjadi seniman jalanan, saya tidak pernah terbayang saya akan mengikut jejak langkahnya.
“Sejujurnya, saya tidak rasa bersedia apabila ayah saya menggalakkan saya memohon surat pengesahan daripada NAC.
“Walaupun saya gemar membuat persembahan di hadapan orang ramai, saya tidak pernah menyangka saya akan mempunyai keberanian untuk membawa bakat saya ke jalanan awam,” ujarnya kepada Berita Harian (BH).
Namun, melihat ayahnya membuat persembahan menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri Irsyad.
Beliau akan mendengar dengan penuh rasa terpesona, tatkala ayahnya menceritakan kata-kata manis yang diluahkan oleh orang yang tidak dikenalinya, tentang persembahannya.
Adakalanya juga melalui surat-surat yang ayahnya terima, apabila persembahan berakhir, ia sudah cukup membakar semangatnya untuk membuat persembahan, demi menggembirakan hati orang sekeliling.
Ditanya bagaimanakah muzik mampu menyentuh dan menggerakkan hati manusia, Irsyad berkata:
“Bagi tempoh yang lama, saya sekadar berasa kagum (dengan persembahan ayahnya) di atas pentas dan tidak pernah terfikir suatu hari nanti saya sendiri akan melangkah ke pentas itu.
“Segala yang berlaku sehingga ke hari ini adalah tentang meletakkan diri saya dalam lingkungan yang tak selesa dan cuba mencari jalan sendiri.”
Keputusan untuk menghadiri uji bakat bagi mendapatkan surat pengesahan NAC pada Januari 2025 juga dibuat dalam keadaan berdebar-debar.
Biarpun tangannya menggeletar sehingga tidak mampu memetik tali gitar dengan sempurna, semangatnya dikuatkan demi cita-cita yang terpendam.
“Ayah telah memainkan peranan paling besar dalam perjalanan seni saya.
“Semua peralatan saya – termasuk gitar, papan pedal dan penguat bunyi – adalah miliknya, sama ada pernah digunakan olehnya atau dibeli khas untuk saya,” kata Irsyad.
Pada 1990, Mohammad Said, yang ketika itu berusia 16 tahun, sudah pun menyertai jelajah muzikal di Australia bersama Band Simfoni Institut Pendidikan.
Ketika itu, beliau bermain trompet.
“Kami sedang berjalan ke sebuah restoran untuk makan tengah hari apabila buat kali pertama, saya terserempak dengan seorang seniman jalanan.
“Beliau bermain gitar elektrik sambil menyanyi di khalayak ramai, dan mereka telah menunjukkan penghargaan mereka dengan memberi ‘tip’ (wang sagu hati).
“Pada saat itulah, saya menyedari ‘busking’ adalah sesuatu yang benar-benar ingin saya lakukan suatu hari nanti,” kata Said.
Pada suatu ketika juga, Said, yang bertugas sebagai guru Sastera Inggeris di sebuah sekolah menengah, pernah digelar ‘Ed Sheeran Singapura’.
Gelaran itu muncul selepas klip video persembahannya menyanyikan lagu Photograph dendangan asal Sheeran, yang dimuat naik oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East di media sosial, menjadi tular sekitar 2016.
Kini, beliau sudah aktif menjalani hidup sebagai seniman jalanan selama hampir 12 tahun.
“Sejujurnya, saya amat menggalakkannya (Irsyad) untuk menghadiri uji bakat pada Januari 2025 kerana ketika itu, beliau sudah agak mahir bermain gitar dan mempunyai suara nyanyian yang merdu.
“Apabila beliau lulus uji bakat tersebut, saya berasa amat bangga, malah menjadi sebak apabila melihatnya membuat persembahan ‘busking’ buat kali pertama di Paya Lebar Square,” ujarnya.
Persembahan itu benar-benar menggentarkan hati Irsyad kerana ia merupakan persembahan pertamanya.
Beliau membawa kerusi untuk duduk kerana yakin kakinya akan menggeletar dan tidak mampu menahan debaran yang dirasakan ketika itu.
“Saya pernah cuba mempelajari gitar beberapa tahun sebelum mula ‘busking’, tetapi tidak pernah benar-benar mahir.
“Hanya selepas memperoleh surat pengesahan NAC itu, barulah saya mula mencurahkan lebih banyak usaha sehingga saya mampu membuat persembahan selama berjam-jam lamanya di khalayak ramai.
“Saya fikir, selagi anda berani mendorong diri sendiri, anda akan akhirnya menemui jalannya,” kata beliau.
Mengusung peralatan berat sebelum berdiri dan menyanyi selama tiga jam, sememangnya menguji ketahanan fizikalnya.
Namun, dalam beberapa sesi awal ‘busking’ di Paya Lebar – ketika menyanyikan lagu You’re Beautiful dendangan asal James Blunt – satu detik kecil telah meninggalkan kesan mendalam buat dirinya.
Seorang individu sanggup meninggalkan waktu makan tengah hari semata-mata untuk mendekatinya dan menyuarakan penghargaan terhadap persembahannya.
Detik itulah yang telah menyentuh hatinya.
Pengalaman manis itu menaikkan semangatnya untuk terus memetik gitar, sambil membawakan lagu akustik seawal era 1940-an, mahupun lagu kontemporari yang mendayu, meskipun beliau akur orang ramai sibuk dengan urusan masing-masing sambil berlalu pergi di sekelilingnya.
“Dalam dunia yang serba pantas seperti Singapura, orang jarang berhenti seketika untuk menikmati keindahan persekitaran.
“Kita terlalu dibebani tuntutan kerja dan pengajian, sehingga terlupa untuk menghargai saat yang sedang dilalui ketika itu.
“Mengetahui saya mampu mencipta hubungan kecil tetapi bermakna melalui muzik, menjadikan setiap persembahan itu berbaloi,” tambahnya dengan girang.
