Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Butik’ keperluan Raya terpakai di bazar bantu golongan memerlukan

MudaSG buka peluang relawan belia interaksi dengan keluarga berpendapatan rendah di Bazaar Bestari 
Mar 11, 2025 | 7:37 PM
Para sukarelawan MudaSG menyelaras bantuan buat penerima pakaian baju Raya terpakai.
Para sukarelawan MudaSG menyelaras bantuan buat penerima pakaian baju Raya terpakai. - Foto SXTY3.VISUALS/SAFIR FARHAN RAMLI

Walaupun projek memberi dan menerima pakaian Hari Raya preloved atau terpakai semakin biasa dikendalikan di Singapura sempena Ramadan, mempamerkan busana itu di reruai bazar persis butik adalah sesuatu yang unik.

Melalui usaha murni Cik Farah Ashirin Sahrin dan Cik Nur Farah Dhabitah Abu Samah, kededuanya 20 tahun, keluarga memerlukan berpeluang singgah dan meninjau ke reruai mereka yang dibuka di Bazaar Bestari @ West di kolong flat sewa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Teck Whye Crescent.

Bazar itu dianjurkan secara bersama oleh sukarelawan belia Melayu/Islam, MudaSG, dari 7 hingga 9 Mac.

Dengan sokongan M Kuasa Tiga (M³) di Chua Chu Kang, mereka bersyukur dapat mendekati keluarga berpendapatan rendah di kawasan barat Singapura, meliputi kejiranan Bukit Batok (7 Mac); Teck Whye Crescent (8 Mac); dan Choa Chu Kang (9 Mac).

Sebelum ini, program itu hanya dikendalikan di bahagian Timur Singapura selama empat tahun (2020-2024).

Giliran Bazaar Bestari diadakan di kawasan Timur pula ialah antara 15 dengan 16 Mac serta 22 dan 23 Mac di lokasi yang masih lagi dalam perbincangan.

Selaku ketua bersama projek itu, Cik Farah dan Cik Nur Farah, yang merupakan lulusan Institut Millennia, gembira dapat membuka ruang bazar itu untuk penerima bantuan meninjau pakaian dan keperluan Hari Raya terpakai dan mengambil bubur pemberian Masjid Al-Khair.

Dalam pada itu, pelajar daripada 13 sekolah turut dilibatkan dalam satu kempen kutipan pakaian dan barangan terpakai untuk menyokong inisiatif MudaSG.

Melalui usaha itu, lebih 2,000 barangan yang masih baru dapat dikumpulkan.

Kesemua barangan tersebut telah melalui pemeriksaan mutu yang teliti oleh pelajar dan sukarelawan MudaSG dalam memastikan ia dalam keadaan terbaik untuk diberi kepada penerima bantuan.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Farah Ashirin meluahkan kegembiraannya dapat berbakti kepada penduduk kejiranan yang memerlukan.

“Beberapa penduduk juga sanggup menunggu akan tibanya baju-baju untuk dibawa ke lokasi bazar supaya mereka mempunyai lebih banyak pilihan yang mengikuti cita rasa mereka.

“Selepas kami mendapat maklum balas terdapat kekurangan pilihan dari tahun lalu (2024), kami mengusahakan untuk kumpul lebih banyak baju Raya bagi memenuhi permintaan penerima bantuan.”

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, juga membuat lawatan singkat ke bazar berkenaan pada 8 Mac, dan berinteraksi dengan sukarelawan MudaSG mengenai projek yang dikendalikan.

Kehadirannya juga diiringi ahli jawatankuasa Kelab Masyarakat Chua Chu Kang, seperti Cik Chua Wei-Shan, dan pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Chua Chu Kang, Cik Tina Selamat.

Semangat sukarelawan belia itu tidak pudar meskipun mereka diuji dengan hujan lebat yang menyebabkan air turut tempias serta membasahi kolong blok dan pakaian yang dipamerkan.

Cik Nur Farah berkata:

“Disebabkan angin kencang, kami terpaksa menyusun semula rak-rak pakaian yang telah kami siapkan sejak 10 pagi.

“Namun, kami percaya bahawa segala cabaran yang kami hadapi dapat kami jadikan iktibar dalam menyempurnakan acara ini pada masa hadapan.”

Segala penat lelah berhasil apabila hampir separuh barangan terpakai itu dapat diberikan kepada golongan memerlukan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga Pengasas bersama MudaSG, Cik Sherlita Almeyra Sherhan, menyifatkan acara itu dapat menambah ceria golongan memerlukan menjelang Lebaran.

“Acara ini juga menggalak sukarelawan belia berinteraksi bersama keluarga berpendapatan rendah, membina hubungan bermakna sambil memberi khidmat kepada masyarakat,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg