Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naik taraf masjid beri cabaran baru: Iftar dihadkan, sukarelawan diperkasa

Mar 14, 2025 | 5:30 AM
Dewan solat utama Masjid Alkaff Kampung Melayu dipenuhi jemaah, khususnya pada Ramadan ini.
Dewan solat utama Masjid Alkaff Kampung Melayu dipenuhi jemaah, khususnya pada Ramadan ini. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Ramadan sudah pun masuk minggu kedua. Masjid-masjid bertambah rancak melaksanakan kegiatan seperti biasa. Bagi Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ramadan kali ini adalah yang agak mencabar memandangkan masjid ini sedang sibuk berkemas untuk menjalani kerja naik taraf (MUP). Sebahagian kawasan masjid juga terpaksa ditutup dan ada yang diubah suai untuk dijadikan tempat simpanan sementara.

Sehubungan itu, kekangan ini memberi kesan secara langsung terhadap pelaksanaan kegiatan seperti iftar/buka puasa dan solat tarawih sepanjang Ramadan.

Pegawai Eksekutif Sumber Manusia di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah Khairun Nisa Yusni, berkata:

“Memandangkan Masjid Alkaff Kampung Melayu akan menjalani naik taraf, kami kini dalam persiapan penutupan masjid Fasa 1.

“Tempat-tempat yang akan ditutup termasuk tempat meletak kereta, dewan serba guna dan bilik darjah. Banyak ruang ditutup untuk menyimpan barang-barang masjid. Ruang beriftar sangat terhad dan tidak dapat menampung ramai jemaah. Iftar di masjid dihadkan untuk 300 hingga 400 jemaah sahaja. Sebanyak 400 bungkus bubur masjid disiapkan dan diagihkan sesudah solat asar.”

Sebagai pegawai yang bertanggungjawab bagi projek Ramadan 2025, tugas Ustazah Khairun Nisa merangkumi pengurusan jadual kerja kakitangan demi melancarkan pengagihan bubur masjid, iftar dan solat tarawih, terutama sekali pada hujung minggu.

Beliau berkata:

“Mengurus jadual kerja bagi kakitangan, memang amat mencabar. Waktu kerja kami dipanjangkan hingga lewat malam. Kami mengamalkan sistem giliran, memastikan perancangan awal yang teratur dan sentiasa berkomunikasi agar segala yang kami atur berjalan lancar.”

Memandangkan beban kerja semakin berat pada Ramadan kali ini, bantuan sukarelawan daripada penduduk setempat dan dalam kalangan pekerja migran amat dialu-alukan.

”Setiap hari, sekitar 20 hingga 30 sukarelawan yang terdiri daripada pekerja migran serta penduduk tempatan tampil membantu. Mereka membantu mengagih bubur, menguruskan susunan jemaah untuk iftar, atau membantu membersihkan ruang selepas solat tarawih. Mereka banyak meringankan tugas kami. Tanpa bantuan mereka, sukar bagi kami melaksanakan segalanya,” kata Ustazah Khairun Nisa.

Setiap masjid di Singapura menyediakan bubur masjid dan hidangan iftar. Masjid Alkaff Kampung Melayu tidak terkecuali. Namun, Masjid Alkaff Kampung Melayu memastikan mutu dan jumlah bubur serta hidangan iftar sentiasa terjaga setiap hari melalui perancangan rapi dan pemantauan berterusan.

Ustazah Khairun Nisa berkata:

“Kami sentiasa berkomunikasi dengan pembekal bubur dan hidangan iftar demi memastikan jumlah hidangan mencukupi serta bermutu tinggi. Kerjasama yang erat ini sangat penting bagi mengelakkan jemaah terlepas menikmati bubur dan juadah iftar yang disediakan.”

Peningkatan jumlah jemaah yang datang untuk beriftar memberi kesan ketara kepada bajet Masjid Alkaff Kampung Melayu, khususnya dari segi peruntukan makanan dan pengurusan logistik harian.

Ustazah Khairun Nisa menjelaskan:

“Walaupun jumlah jemaah tahun 2025 ini tidak seramai tahun-tahun sebelumnya, bajet dan perbelanjaan Masjid Alkaff Kampung Melayu tetap diperuntukkan bagi menampung kos makanan dan minuman, logistik dan operasi, serta pembersihan dan penyelenggaraan. Kami masih memerlukan dana ‘Infaq Ramadan’ bagi memastikan kelangsungan penyediaan iftar dan perkhidmatan sepanjang bulan Ramadan.

Sumbangan boleh dilakukan di masjid atau dengan menghubungi talian 6242-7244 untuk perincian selanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg