Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Relawan belia jayakan sesi berbuka di kejiranan

Mar 11, 2025 | 6:03 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (tengah), bersama anggota jawatankuasa kumpulan sukarelawan di sesi iftar Rangkaian Sukarela Imran (IMVNSG) untuk penduduk kejiranan Marsiling pada 8 Mac.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (tengah), bersama anggota jawatankuasa kumpulan sukarelawan di sesi iftar Rangkaian Sukarela Imran (IMVNSG) untuk penduduk kejiranan Marsiling pada 8 Mac. - Foto RANGKAIAN SUKARELA IMRAN

Amanah yang dijalankan sekumpulan sukarelawan sempena Ramadan mulia ini bukan sahaja dalam menaja sesi berbuka puasa buat golongan kurang berkemampuan.

Anggota rangkaian sukarela, Rangkaian Sukarela Imran atau IM Volunteers Network SG (IMVNSG), bahkan membawa penduduk kejiranan Marsiling, Cheng San, dan Woodlands ke kelab eksklusif, The Swiss Club Singapore, di Bukit Timah, dengan menaiki bas yang ditempah khas bagi menikmati sajian pembuka selera.

Lebih 500 penduduk berpeluang menghadiri dua sesi berbuka puasa pada 22 Mac dan 29 Mac, menyusuli sesi iftar pertama pada 8 Mac, yang melibatkan 75 penduduk dari kejiranan Marsiling.

Turut hadir pada sesi iftar pertama itu ialah tetamu terhormat, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Dalam kata-kata aluannya, Encik Zaqy mengingatkan tentang kepentingan menyambut kedatangan Ramadan bersama masyarakat sekeliling.

Beliau berbesar hati ramai sukarelawan yang hadir di samping sokongan badan korporat seperti kelab eksklusif, The Swiss Club Singapore.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 8 Mac, pengasas dan penyelaras utama IMVNSG, Encik Muhammad Imran Mean, menjelaskan segala usaha yang digerakkan itu dibiayai sepenuhnya oleh belia yang menganggotai rangkaian sukarela tersebut.

Penolong Penyelaras Utama, Encik Danial Iskandar Azeman, pula menambah matlamat pihaknya adalah untuk memberi bantuan dan sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah dengan menyediakan juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan.

Acara ini, jelasnya, turut mengiktiraf usaha rakan kongsi masyarakat yang telah menyokong perjalanan IMVNSG selama empat tahun berturut-turut.

“Kami awalnya mengalami beberapa masalah seperti mencari tempat sesuai untuk majlis iftar ini.

“Sebagai pilihan terakhir, pasukan kami mempertimbangkan untuk menggunakan dana kami sendiri untuk menempah kemudahan, walaupun ini mampu dilakukan untuk satu sesi iftar sahaja pada mulanya,” kata Encik Danial.

Bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan kehadiran The Swiss Club Singapore yang dengan murah hati menaja dewan mereka untuk 8 Mac dan 22 Mac agar acara murni itu dapat diteruskan melibatkan penduduk dari kejiranan lain pula.

Sesi iftar pada 29 Mac diadakan di Pavilion Sukan Woodlands.

“Satu perkara penting yang kami pelajari daripada mengusahakan sesi iftar ini adalah perlunya rasa syukur yang mendalam di sebalik kegetiran hidup dan di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.

“Kami menyedari betapa sulit ujian yang dihadapi, ada lagi orang yang lebih dihimpit kesukaran hidup,” tambah Encik Danial.

Selain berbakti kepada masyarakat di Singapura, buat julung-julung kalinya, kumpulan sukarelawan itu juga akan menaja iftar buat individu gelandangan di Johor Bahru, dengan sokongan kumpulan sukarelawan dari seberang Tambak, Southern Volunteers, dan beberapa kelompok rakan kerjasama dalam kalangan masyarakat Johor pada 15 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg