Pindaan Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) akan membolehkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyalurkan pembiayaan kepada Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) daripada dana masyarakat yang diuruskannya, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Ini termasuk zakat, wakaf serta Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), tertakluk kepada syarat berkaitan yang mengawal selia dana tersebut.

Walau Encik Zaqy akur dana itu turut menyokong keperluan masyarakat, ia tidak akan menjejas peruntukan yang sedia ada untuk tujuan berkenaan.

“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa penubuhan SCIS tidak akan menjejas sokongan kepada masjid, madrasah dan penerima bantuan zakat.

“Tadbir urus yang kukuh akan memastikan dana masyarakat diuruskan dengan amanah sambil memelihara autonomi akademik SCIS,” kata Encik Zaqy.

Beliau berkata demikian semasa bacaan kedua pindaan Rang Undang-Undang Amla di Parlimen pada 3 November.

Sesuai dengan itu, Encik Zaqy menambah pemerintah juga akan membiayai sebahagian besar komponen bukan agama SCIS.

Ini termasuk modul sains kemasyarakatan dan prasarana kampusnya, selaras dengan pendekatan pemerintah dalam menyokong pendidikan di Singapura.

“SCIS tidak boleh bergantung semata-mata kepada dana masyarakat.

“Ia juga perlu membangunkan sumber-sumber pembiayaan mampan yang lain, termasuk usaha mengumpul dana bagi menyokong pembangunan jangka panjangnya,” ujarnya.

SCIS, yang kali pertama diumumkan pada 2024, merupakan institusi pengajian tinggi Islam khusus yang pertama di Singapura.

Ia bertujuan melahirkan asatizah dan pemimpin masyarakat masa depan menerusi program antara disiplin yang menggabungkan pengajian Islam dengan bidang lain seperti sains kemasyarakatan.

Dijangka dibuka pada 2028 dengan kohort pertama yang terdiri daripada kira-kira 60 pelajar, ia akan beroperasi dari kampus pembelajaran MUIS di Bencoolen Street, sebelum berpindah ke kampus baharunya di Rochor.

Sementara itu, pindaan itu juga bertujuan untuk mewujudkan rangka kerja tadbir urus dan pengawasan baharu bagi SCIS.

MUIS akan diberi kuasa pengawasan terhadap misi SCIS untuk membangunkan bakat dalam bidang keagamaan, selari dengan tanggungjawabnya dalam mentadbir hal ehwal agama Islam dan membangunkan asatizah, kata Encik Zaqy.

Selain itu, pindaan kepada Amla juga akan memberikan pengiktirafan undang-undang kepada SCIS dan membolehkannya menganugerahkan ijazah, diploma, dan sijil dalam pendidikan tinggi agama, termasuk ijazah sarjana muda dalam pengajian Islam.

“Perkara berkaitan ilmu agama akan terus dipandu oleh Mufti Negara Singapura.

“SCIS akan ditubuhkan sebagai sebuah entiti bebas, dengan autonomi ke atas strategi, pentadbiran dan dasar akademiknya.

“Lembaga Pengelola akan mengawasi hal ehwal kurikulum, piawaian akademik serta operasi harian,” kata Encik Zaqy.

Perubahan lain terhadap Amla termasuk memberikan kuasa kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam untuk menyelia perkara pentadbiran dan kewangan tertentu.

Ini termasuk rangka kebertanggungjawapan dan jaminan mutu, akses kepada rekod kewangan, pelantikan utama Lembaga serta keputusan besar seperti perubahan pada perlembagaan kolej.

Kolej itu juga akan disokong oleh sebuah Panel Penasihat yang terdiri daripada sarjana terkemuka dan pemimpin daripada institusi Islam antarabangsa serta universiti tempatan, termasuk Universiti Al-Azhar di Mesir, Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

“Panel pelbagai disiplin ini akan memberi nasihat mengenai aliran pendidikan global serta peluang-peluang penyelidikan,” ujar Encik Zaqy.

Beliau menambah: “Kita mesti mencapai keseimbangan yang tepat ini. SCIS memerlukan kebebasan untuk membina keilmuan yang kukuh dan piawaian akademik yang tinggi.

“Pada masa yang sama, ia mesti bertanggungjawab terhadap dana awam dan masyarakat yang diamanahkan kepadanya.”

Antara usul dan soalan yang diketengahkan Anggota Parlimen (AP) adalah keperluan memastikan agihan dana masyarakat dipantau rapi agar pembiayaan SCIS tidak menjejas keperluan asas lain dan pertanyaan tentang langkah bagi memastikan perakaunan yang telus dan pengagihan dana yang saksama seperti yang dibentangkan oleh Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh).

AP Parti Pekerja (WP), Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang), turut menarik perhatian bahawa Rang Undang-Undang tersebut tidak menetapkan sebarang had mengenai jumlah yang boleh disalurkan daripada dana masyarakat, dan bertanya sama ada terdapat had siling atau sama ada semakan berhubung perkara itu akan dilaksanakan.

Ini selain saranan memperluas pengambilan pelajar madrasah secara berperingkat dan menyemak skim gaji pendidik bagi memastikan aliran bakat ke SCIS sentiasa kukuh dan mampan, seperti yang diusul oleh Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Azhar Othman.

Selain itu, Encik Zaqy turut membentangkan pindaan Amla mengenai perkahwinan dan perceraian Islam, serta mengutamakan kebajikan anak-anak.

“Matlamat kita bukan untuk memudahkan perceraian, tetapi untuk memastikan mereka yang terpaksa melalui proses ini mendapat penyelesaian yang lebih jelas, adil dan tidak berlarutan,” katanya.

Ini termasuk mengurangkan kesulitan dalam proses perceraian antaranya talak tafwidh – iaitu apabila suami menyerahkan kuasa talak kepada isteri – di mana pasangan tidak lagi perlu melantik hakam, sekali gus memendekkan prosiding.

Bagi permohonan fasakh pula, Mahkamah Syariah (SYC) boleh mengecualikan keperluan dua saksi sekiranya bukti lain mencukupi, kata Encik Zaqy.

Tambahan itu, pasangan yang bercerai di luar negara pula boleh menyelesaikan urusan kewangan dan penjagaan anak di Mahkamah Syariah tanpa melalui tiga mahkamah berbeza.

Pindaan tersebut turut mengutamakan kebajikan anak-anak dan SYC juga diberi kuasa untuk membenarkan atau menghalang seseorang anak di bawah perintah jagaan daripada dibawa berpindah atau keluar dari Singapura.

Seramai enam AP membentangkan usulan dan persoalan mengenai pindaan kepada Amla di sidang Parlimen.

Perbahasan diteruskan pada 4 November.

“

“Saya menyokong penegasan bahawa kebajikan anak merupakan pertimbangan utama Mahkamah Syariah (SYC). Prinsip ini sudah berakar dalam hukum Islam dan amalan SYC, selaras dengan semangat ‘Maqasid Al-Shariah’ dalam melindungi kesejahteraan generasi akan datang. Bagaimanakah pandangan anak didengar mengikut usia dan kematangan mereka, serta sokongan diteruskan bersama agensi masyarakat selepas prosiding selesai? Anak-anak juga tidak seharusnya merasakan bahawa mereka dipaksa memilih antara ibu atau bapa ketika pandangan mereka didengar.”
Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh).

“

“Kejayaan SCIS (Kolej Pengajian Islam Singapura) tidak seharusnya diukur hanya melalui jumlah pelajar yang ia terima. Kejayaan sebenar bukan sekadar pada ilmu dan ijazah yang mereka perolehi, tetapi bagaimana ilmu itu dapat dimanfaatkan untuk berbakti dan memajukan masyarakat kita serta membuka peluang kerjaya yang bermakna. Tidak kurang penting juga, ia membolehkan asatizah kita membina masa depan yang lebih baik serta menyara keluarga.... namun, peluang pekerjaan mesti dirancang sejak awal (dan) bukan hanya difikirkan selepas pelajar tamat pengajian.”
Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi).