Butiran perhubungan ramai pegawai awam dalam direktori dalam talian telah dikeluarkan sebagai langkah untuk mengurangkan risiko penipuan.

Direktori Pemerintah Singapura sebelum ini memuatkan nama, alamat e-mel dan nombor telefon pejabat bagi sebilangan besar pegawai awam.

Sejak 1 Julai, direktori tersebut telah “diperkemas” dan kini hanya menyenaraikan maklumat hubungan bagi pemegang jawatan politik, pemegang jawatan kehakiman, pengurusan kanan serta pegawai peringkat pengarah atau setaraf dan ke atas – termasuk ketua jabatan – menurut kenyataan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 4 Ogos.

MDDI menyatakan bahawa langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk melindungi maklumat hubungan pegawai awam dengan lebih baik, memandangkan peningkatan risiko penipuan yang melibatkan pihak yang menyamar sebagai pegawai kerajaan serta serangan pancingan data.

“Ia juga akan memberikan pengalaman yang lebih konsisten dan mesra pengguna kepada orang ramai melalui senarai yang lebih jelas dan diperkemas, serta saluran hubungan rasmi yang lebih menyerlah,” tambah kementerian itu.

Kementerian turut memaklumkan bahawa ia telah menjadikan saluran rasmi bagi maklum balas dan pengurus perkhidmatan berkualiti agensi pemerintah lebih mudah dilihat dalam direktori tersebut.

Langkah ini bertujuan memastikan orang ramai mempunyai saluran hubungan yang lebih jelas untuk pertanyaan dan maklum balas, serta membolehkan mereka menghubungi agensi berkaitan melalui senarai yang terdapat dalam direktori itu, tambah kementerian berkenaan.

Pada 2025, jumlah kes penipuan yang melibatkan pihak menyamar sebagai pegawai kementerian melonjak kepada 3,363 kes, berbanding 1,504 kes pada tahun 2024.

Kes-kes ini termasuk penipu yang menyamar sebagai kakitangan Pasukan Polis Singapura (SPF), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta Kementerian Undang-Undang (MinLaw).

Dalam taktik penipuan sebegini, penipu akan menghubungi bakal mangsa dan mendakwa, sebagai contoh, terdapat transaksi mencurigakan pada kad kredit mereka.

Panggilan itu kemudian disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai pemerintah, yang menuduh mangsa melakukan kesalahan seperti pengubahan wang haram.

Mangsa kemudian diarahkan untuk memindahkan wang ke akaun yang tidak dikenali, atau menyerahkan wang tunai mahupun barang berharga lain, dengan alasan ia diperlukan untuk tujuan siasatan.