Satu tender telah dibuka bagi membangunkan sebuah sistem yang membolehkan pihak berkuasa menjejak operasi pesawat tanpa pemandu (UA) pada masa nyata dan membantu mengelakkan konflik antara penerbangan pesawat biasa dengan UA.
Sistem pengurusan trafik pesawat tanpa pemandu (UTMS) itu juga akan berfungsi sebagai portal sehenti untuk pengguna UA mendaftarkan pesawat mereka serta memohon permit dan lesen berkaitan.
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) menjemput tender tersebut pada 12 Disember, lapor The Straits Times (ST).
Pihak berminat dan mempunyai kepakaran dalam sistem pengurusan trafik udara, serta pembangunan dan pelaksanaan sistem penerbangan kompleks boleh mengemukakan cadangan mereka kepada CAAS sebelum 31 Januari 2025.
Sistem itu, dijangka menjadi yang pertama seumpamanya, akan menjejak UA komersial dan riadah serta menyediakan maklumat masa nyata kepada pengguna mengenai keberadaan UA lain di kawasan yang digunakan mereka, menurut CAAS.
UTMS itu juga dijangka memudahkan penguatkuasaan lebih berkesan ke atas pengendali UA yang melanggar peraturan, seperti menerbangkan UA di luar kawasan yang diluluskan.
Menurut CAAS, penubuhan portal sehenti untuk menyelaraskan proses permohonan bagi pengguna UA itu akan membolehkan agensi pemerintah mengakses dan menilai permohonan mereka secara serentak.
Agensi itu termasuk CAAS, Pasukan Polis Singapura (SPF), Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), agensi air nasional PUB, dan Lembaga Taman Negara (NParks).
Buat masa ini, setiap agensi tersebut menggunakan sistem berasingan.
Penyepaduan sistem itu ke dalam satu platform tunggal – UTMS – akan menyelaraskan proses permohonan dan mempercepatkan kelulusannya oleh pihak berkuasa, tambah CAAS.
Ia juga akan membolehkan agensi-agensi tersebut berkongsi maklumat mengenai ketersediaan ruang udara dan pelaksanaan sekatan, seperti zon larangan terbang.
“Penggunaan ruang udara kita boleh dioptimumkan lagi sambil memastikan keselamatan awam dan penerbangan serta keselamatan negara terjamin,” ujar CAAS.
CAAS turut menjelaskan data yang dikumpul oleh UTMS akan membantu agensi-agensi tersebut mengenal pasti lokasi berisiko rendah di mana kelulusan boleh diberikan dengan lebih cepat, sekali gus memendekkan masa pemprosesan bagi permohonan kurang kompleks.
Ketua Pengarah CAAS, Encik Han Kok Juan, berkata pihak pengawal selia “komited memanfaatkan teknologi untuk menyokong pertumbuhan sektor UA dengan cara yang menjamin keselamatan dan sekuriti penerbangan serta orang ramai”.
Beliau menambah bahawa sistem baru itu akan “meningkatkan keupayaan pengawalseliaan kami sambil mengurangkan beban (agensi) pengawal selia dan mempertingkat pengalaman pengguna”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg