Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah akan terus wujudkan pekerjaan, peluang baik untuk rakyat S’pura

PM Wong: Usaha transformasi industri, pantau daya saing kos diteruskan meski sekitaran global tidak tentu
Feb 28, 2025 | 6:19 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berucap di Parlimen.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berucap di Parlimen. - Foto MDDI

Di tengah-tengah persekitaran global yang tidak menentu, persaingan lebih sengit dan realiti ekonomi, pemerintah akan terus mewujudkan pekerjaan dan peluang baik untuk rakyat Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Pada masa sama, negara ini akan meneruskan usaha transformasi industri dan memantau daya saing kos, tambah beliau.

Menggulung perbahasan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 28 Februari, Encik Wong berkata sistem global sedang berubah, dengan negara-negara memberi tumpuan lebih kepada persaingan daripada kerjasama.

Meskipun negara kuasa besar telah menyatakan mereka tidak mahu konflik, mereka bagaimanapun sedang bersiap sedia untuk konflik dan menyedari bahawa pangkalan perindustrian yang kukuh diperlukan bagi mana-mana usaha perang, tambah beliau.

“Sememangnya terdapat percubaan besar untuk membina semula industri pengilangan di Amerika Syarikat dan Eropah, dan itu sebabnya persaingan bagi pelaburan hanya akan meningkat.

“Oleh itu, kita perlu bersedia bagi persaingan lebih sengit dan melakukan apa yang kita mampu untuk kekal berdaya saing,” kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Akan terdapat juga penelitian dipertingkat terhadap kegiatan teknologi tinggi yang dilakukan di luar Singapura, kata beliau, sambil menambah bahawa negara yang merupakan sumber utama teknologi kini prihatin tentang kebocoran dan mahu memastikan teknologi proprietari (hak milik) dikawal ketat.

Meskipun Singapura tidak menguatkuasakan kawalan eksport unilateral yang dikenakan mana-mana negara, ia akan berusaha menangani keprihatinan ini dan memberikan bantuan jika sesuai.

Ini demi memastikan negara ini kekal sebagai rakan dagang yang boleh dipercayai, kata beliau.

Encik Wong berkata beberapa Anggota Parlimen (AP) bimbang tentang kos perniagaan yang tinggi.

Pemerintah akan memantau daya saing kos, dengan syarikat akan mendapat bantuan jangka pendek di mana perlu, tanpa menghalang insentif syarikat untuk melakukan penyusunan semula, tambah beliau.

Pemerintah juga akan menyokong syarikat dalam bidang kawal selia dengan menyemak proses dan mengurangkan kos pematuhan.

Menyedari bahawa sesetengah peruncit bimbang tentang impak Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, Encik Wong berkata dengan e-dagang, persaingan sudah pun berlaku, dan sedang berlaku di seluruh dunia hari ini.

Encik Wong menggesa peruncit supaya menyesuaikan diri dan memikirkan semula model perniagaan mereka.

Contohnya, syarikat bekalan membuat kek dan kuih, Phoon Huat, yang bermula sebagai sebuah kedai pada 1947, kini mempunyai kemudahan pembuatannya sendiri, pusat pengedaran dan 20 kedai runcit, selain platform e-dagang.

Pemerintah akan menyokong syarikat dengan tiga inisiatif baru – Geran Pembangunan Tenaga Kerja SkillsFuture, Kredit Perusahaan SkillsFuture (diperbaharui) dan Inisiatif Pengkomputeran Perusahaan.

Sekiranya penggunaan skim tersebut lebih tinggi daripada jangkaan dan lebih banyak pembiayaan diperlukan, Kementerian Kewangan (MOF) sedia menyediakan sumber tambahan, kata Encik Wong.

Beliau juga mengakui kebimbangan tentang pekerjaan, terutama gangguan dek kemajuan teknologi dan keperluan memahami sebab-sebabnya tanpa menyalahkan pekerja asing.

“Namun, kita perlu memahami sebab asasnya dan mengelak daripada menyalahkan warga asing,” kata beliau.

“Kita boleh lihat ini berlaku di banyak negara lain, di mana perbincangan awam akhirnya meruncing ke arah yang sangat negatif, toksik dan xenofobia (tidak suka atau prejudis).

“Itu bukan apa yang kami perjuangkan di Singapura,” tambah beliau.

Encik Wong berkata pekerja asing dialu-alukan untuk bekerja di sini, tetapi kemasukan mereka dikawal dan bertujuan membantu melengkapi rakyat Singapura.

Encik Wong juga menekankan pentingnya membangunkan bakat tempatan, terutama melalui pelbagai skim SkillsFuture yang disasarkan kepada pekerja pertengahan kerjaya dan mereka yang sedang mencari pekerjaan.

Lebih banyak dana akan disalurkan untuk memperkukuh sistem SkillsFuture dalam tahun-tahun mendatang.

“Kami tidak dapat selamatkan semua pekerjaan, tapi kami akan menyokong setiap pekerja di Singapura.

“Kami akan mewujudkan lebih banyak peluang, serta pekerjaan lebih baik untuk semua rakyat Singapura,” kata beliau.

“Kami tidak dapat selamatkan semua pekerjaan, tapi kami akan menyokong setiap pekerja di Singapura.  Kami akan mewujudkan lebih banyak peluang, serta pekerjaan lebih baik untuk semua rakyat Singapura.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg