Meskipun langkah menaikkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan satu keputusan yang sukar, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata ia adalah langkah yang tepat, kerana Singapura akan mengalami defisit Belanjawan dalam tahun kewangan 2024 dan 2025 – jika tidak kerana kenaikan GST itu dan kutipan cukai pendapatan korporat besar yang tidak dijangkakan.
Menggulung perbahasan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 28 Februari, beliau menambah bahawa kesan kenaikan kadar GST itu ke atas inflasi pada Januari 2023 dan Januari 2024 adalah sementara.
GST telah dinaikkan daripada 7 peratus ke 8 peratus pada Januari 2023, dan daripada 8 peratus ke 9 peratus pada Januari 2024.
“Apakah yang akan berlaku sekiranya kami memilih untuk tidak melaksanakan kenaikan GST kerana ia (pilihan) tidak popular, atau jika kami tidak menikmati kenaikan tidak dijangkakan dalam kutipan cukai pendapatan korporat, yang hanya berlaku dalam tempoh dua tahun lalu?
“Kita akan menamatkan tahun kewangan 2024 dengan defisit. Baki diunjurkan dalam tahun kewangan 2025 juga akan menjadi defisit, dan ini bermakna kurang pembiayaan bagi khidmat penting, kurang sokongan bagi warga emas, dan kurang sumber untuk melabur dalam masa depan,” kata beliau, yang juga Menteri Kewangan.
Encik Wong berkata demikian sebagai respons kepada Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, yang sebelum ini berkata kenaikan GST itu merupakan keputusan lemah yang telah memburukkan inflasi.
Encik Wong berkata pada 2022, inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI) adalah 6.1 peratus, namun perangkaan itu menyederhana kepada 4.8 peratus pada 2023 dan turun lagi kepada 2.4 peratus pada 2024, meskipun kadar GST naik 1 mata peratusan setiap tahun.
“Di manakah pemburukkannya? Lihat, saya tahu pilihan raya semakin hampir, tetapi Dewan ini bukan perhimpunan pilihan raya. Jangan kita terpengaruh dengan hiperbola (kenyataan yang keterlaluan) dan berbahas berdasarkan fakta,” kata Encik Wong.
Beliau menambah bahawa inflasi di Singapura sebahagian besarnya telah dipacu oleh faktor global, yang sudah pun menaikkan harga sebelum kenaikan GST dilaksanakan.
Lebih 50 Anggota Parlimen (AP) daripada kedua-dua parti pemerintah dan parti pembangkang telah menyertai perbahasan Belanjawan 2025 selama tiga hari dari 26 hingga 28 Februari.
Mereka telah mengutarakan soalan dan juga memberikan pelbagai saranan, termasuk tentang sokongan untuk keluarga, pekerja dan perniagaan, selain soal kenaikan GST.
Encik Wong turut menyentuh tentang isu kos sara hidup, sambil berkata bahawa Parti Pekerja (WP) dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) nampaknya mencadangkan bahawa pemerintah bergantung hanya pada baucar untuk membantu rakyat Singapura menangani isu tersebut.
Ini bagaimanapun bukan halnya, kata Encik Wong, yang menambah bahawa baucar tersebut hanyalah langkah-langkah sementara dan bukan huraian jangka panjang.
Bahkan, langkah sokongan untuk menangani kos sara hidup dan baucar SG60 hingga $800 yang diumumkan, hanya membentuk sekitar 5 peratus daripada Belanjawan.
Sementara itu, sebahagian besar Belanjawan diperuntukkan bagi program jangka panjang, seperti melengkapi rakyat melalui pendidikan, peningkatan kemahiran dan latihan kerja, supaya mereka dapat merebut peluang lebih baik dan berkembang maju dalam dunia yang pesat berubah.
Encik Wong bagaimanapun mengakui bahawa meskipun dengan ekonomi yang kukuh dan berkembang, realiti kehidupan seharian rakyat Singapura mungkin berbeza, dan itu sebabnya negara ini memperkukuhkan sistem sokongan sosial, termasuk dengan langkah-langkah di bawah gerakan Forward SG atau Melakar Hala Tuju Singapura.
Berdiri memberi penjelasan, Encik Pritam berkata kenyataannya bahawa kenaikan GST telah memburukkan inflasi mengambil rujukan daripada jawapan oleh pemerintah pada 2024 di mana Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menganggarkan bahawa kenaikan GST itu akan menyumbang kurang sedikit daripada 1 mata peratusan kepada inflasi teras.
Membalas, Encik Wong berkata jika dibaca kenyataan MAS, ia turut jelas menyatakan bahawa kesan GST ke atas harga adalah sekali sahaja dan bahawa kesan inflasi adalah sementara.
Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) PSP, Encik Leong Mun Wai, pula kemudian berkata maklumat berkenaan inflasi yang diberi Encik Wong tidak mencukupi untuk menggambarkan situasi kerana inflasi sebenar lebih tinggi daripada apa yang tertera dalam statistik.
Menjawab, Encik Wong berkata statistik adalah perangkaan yang ditunjukkan, “melainkan Encik Leong menuduh Jabatan Statistik tidak mengumpul data CPI dengan betul”.
“Kami mempunyai sistem yang betul untuk mengumpulkan data CPI, mengemaskini bakul inflasi, dan datanya adalah yang sebenar. Dan saya menyokong data itu.
“(Inflasi) Ia telah turun. Tiada asas untuk mengatakan bahawa kenaikan GST telah memburukkan inflasi dan malah, MAS dalam penilaian mereka mencerminkannya dalam kenyataan dasar kewangannya,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg