Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mindef: Dentuman misteri di Perth mungkin dari jet latihan RSAF

Aug 22, 2024 | 5:25 PM
Mindef berkata empat jet pejuang F-15 RSAF menjalankan latihan di  Pangkalan Pearce Angkatan Udara Diraja Australia di Perth sejak 13 Ogos. Latihan itu dijadual tamat pada 6 September.
Mindef berkata empat jet pejuang F-15 RSAF menjalankan latihan di Pangkalan Pearce Angkatan Udara Diraja Australia di Perth sejak 13 Ogos. Latihan itu dijadual tamat pada 6 September. - Foto MINDEF

Satu bunyi dentuman kuat yang didengar dan dirasakan di beberapa kawasan di serata Perth di Australia Barat pada 21 Ogos telah dikesan datang dari jet pejuang Singapura yang sedang berlatih di kawasan itu.

Menjawab pertanyaan media berkenaan dentuman misteri itu, Kementerian Pertahanan (Mindef) Singapura pada 22 Ogos menyatakan dapatan awal mendapati bunyi tersebut mungkin berpunca dari pesawat yang sedang berlatih di kawasan tersebut, lapor The Straits Times.

Pesawat terbabit sedang terbang sekitar 70 kilometer dari pesisiran pada ketinggian 7,315 meter di atas paras laut di kawasan yang diperuntukkan bagi latihan.

“Bunyi kuat tersebut tidak dijangka sebab pesawat F-15 itu berada jauh di laut,” kata Mindef.

Ia berkata empat jet pejuang F-15 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) menjalankan latihan di Pangkalan Pearce, sebuah pangkalan udara, Angkatan Udara Diraja Australia (RAAF) di kawasan utara Perth sejak 13 Ogos.

Latihan itu dijadual tamat pada 6 September.

Mindef menambah: “RSAF sangat menghargai sokongan yang terus diberi oleh RAAF dan masyarakat tempatan bagi latihan kami di Pangkalan Pearce RAAF.

“RSAF ingin meminta maaf atas sebarang kejutan yang berlaku yang mungkin disebabkan kegiatan latihan itu.”

Media tempatan melaporkan pada 21 Ogos bahawa bunyi dentuman itu dapat dirasakan ramai penduduk di serata selatan Perth dan mengaitkannya dengan pesawat Singapura.

Menurut rangkaian televisyen, ABC news, ribuan orang memuat naik kiriman di media sosial sebelum tengah hari di Australia Barat untuk melaporkan bunyi dentuman tersebut.

Ia dikatakan menggegarkan jendela di beberapa tempat dari Mandurah hingga ke Fremantle serta di kawasan dalaman seperti Byford.

Cik Hazel Williams, seorang penduduk di sebuah kawasan kejiranan selatan Perth berkata: “Ia satu dentuman besar. Sangat, sangat kuat. Sangat dahsyat. Berlaku dengan sangat pantas.

“Saya mengangkat kucing saya dan berfikir, ‘lebih baik saya keluar dari sini’.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg