Topik diikuti
Pergi ke BHkuBina terowong MRT bawah Jejambat Keppel mencabar dan rumit
Bina terowong MRT bawah Jejambat Keppel mencabar dan rumit
LTA kongsi cabaran bina projek Laluan Circle 6; tuntut ketelitian tinggi bagi bina laluan bawah tanah di kawasan padat tanpa jejas aliran trafik harian
Bina terowong MRT bawah Jejambat Keppel mencabar dan rumit
Kenderaan meluncur seperti biasa di Jejambat Keppel meskipun kerja-kerja kejuruteraan rumit giat dijalankan jauh di bawah asas struktur tersebut demi menjayakan Laluan Circle 6 (CCL6).
Di Kawasan Pusat Bandar (CBD) yang padat dengan bangunan dan prasarana sedia ada, terowong perlu dikorek dalam ruang amat terhad, dengan jarak antara struktur sedia ada hanya sekitar tiga hingga empat meter.
Cabaran teknikal itu antara yang dikongsi oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam taklimat media di ibu pejabat LTA di Hampshire Road pada 17 Jun.
Laluan sepanjang empat kilometer itu bakal menghubungkan stesen HarbourFront dengan Marina Bay melalui tiga stesen baharu – Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road – mulai 12 Julai 2026.
Penyiapan laluan itu akan melengkapkan lingkaran penuh Laluan Circle (CCL) merentasi 39 kilometer dengan 33 stesen di Singapura.
Salah satu cabaran kejuruteraan paling rumit melibatkan pengorekan terowong di bawah Jejambat Keppel yang masih beroperasi.
Mesin pengorek terowong (TBM) perlu merentasi tiang asas jejambat itu tanpa menjejas struktur atau kelancaran trafik di atasnya.
LTA menjelaskan bahawa cerucuk mikro dipasang di sekeliling asas sedia ada untuk menampung beban, sebelum sebahagian cerucuk asal dipotong bagi memberi laluan pada TBM.
“Selepas proses pemindahan beban selesai dilaksanakan, cerucuk asal yang berada dalam jajaran terowong dipotong dan dipisahkan daripada tiang sokongan, sekali gus tidak lagi menanggung sebarang beban struktur.
“TBM kemudian meneruskan pengorekan merentasi cerucuk tersebut menggunakan alat pemotong khas yang direka untuk memotong konkrit bertetulang, sekali gus membolehkan kerja pengorekan dijalankan dengan selamat tanpa menjejas Jejambat Keppel di atasnya,” kata LTA.
Setiap cerucuk mikro berdiameter 400 milimeter (mm) dengan ketinggian sekitar 30 meter, disesuaikan mengikut keadaan tanah serta keperluan struktur setempat.
Walaupun jauh lebih kecil berbanding cerucuk asal yang dengan diameter 900mm, lebih daripada enam cerucuk mikro dipasang bagi memastikan kestabilan dan pengukuhan asas yang kukuh.
Pelbagai alat pemantauan canggih dipasang pada tiang sedia ada untuk mengesan setiap pergerakan struktur dengan ketepatan tinggi.
Proses itu turut melibatkan pemasangan rasuk sokongan baharu serta penggunaan jek hidraulik bagi memindahkan beban secara selamat.
Menurut LTA, keseluruhan proses tersebut mengambil masa antara lapan bulan dengan setahun.
“Ini menyediakan laluan alternatif bagi pemindahan beban, di mana beban Jejambat Keppel kemudian dipindahkan dari cerucuk asal kepada asas baharu yang dibina.
“Beban jejambat itu kemudian dipindahkan secara berperingkat kepada asas baharu menggunakan jek hidraulik, dengan sebarang pergerakan dipantau secara rapi sepanjang proses tersebut,” kata jurucakap LTA
Di stesen MRT Prince Edward Road, sebahagian terowong dibina hanya 3.9 meter dari asas bangunan komersial berhampiran.
Kekangan ruang bawah tanah dan kepadatan bangunan di sekeliling memaksa terowong serta platform stesen dibina secara bertingkat.
Selain cabaran fizikal, LTA menyifatkan CCL6 sebagai projek paling rumit dari segi penyepaduan sistem kerana ia menyempurnakan laluan bulatan penuh Circle Line.
Ini di samping usaha untuk menghubungkan sistem rangkaian sedia ada CCL, yang telah beroperasi sejak 2009, dengan peralatan dan perisian baharu yang diperkenalkan di CCL6 serta peluasan Depoh Kim Chuan (KCDe).
Penyepaduan itu menuntut pertukaran perkakasan serta naik taraf perisian demi memastikan keserasian antara laluan sedia ada, CCL6 dan KCDe.
“Apabila seluruh laluan beroperasi sebagai rangkaian bersepadu, pelbagai senario perlu disahkan, termasuk ketepatan paparan maklumat penumpang,” kongsi jurucakap LTA.
Sekiranya berlaku kerosakan di mana-mana stesen, LTA menjelaskan bahawa perkhidmatan separa masih mampu diteruskan selama tren boleh melakukan pusingan balik.
Ujian penyepaduan sistem merentasi rangkaian asal, stesen baharu, dan KCDe telah dijalankan secara berfasa antara September dengan Disember 2025 serta April hingga Mei 2026.
Setiap pusingan ujian menuntut penutupan laluan selama 10 jam, termasuk tempoh peralihan sistem operasi kepada mod ujian dan sebaliknya.
Lebih 100 kakitangan terlibat setiap malam untuk menyelaraskan ujian kritikal dari stesen, pusat kawalan operasi dan depoh.
Bagi memastikan peluasan depoh siap menjelang Disember 2025, sebahagian dinding depoh asal terpaksa dirobohkan untuk menghubungkan struktur lama dengan bahagian baharu.
Menyiapkan CCL6 menuntut penyepaduan depoh KCDe baharu dengan prasarana sedia ada tanpa mengganggu kelancaran operasi rangkaian Circle Line.
“Proses ini menuntut pengubahsuaian besar, termasuk penjajaran semula landasan serta penyepaduan sistem dan perkhidmatan,” jelas jurucakap LTA.
Asalnya disasarkan siap pada 2025, pembukaan laluan itu ditangguhkan ke pertengahan 2026 akibat kesan pandemik Covid-19.
