Dekad pertama dalam alam perkahwinan sering kali menjadi lembaran yang indah dan penuh makna dalam membina kehidupan bersama.

Namun di sebalik keindahan itu, ia juga merupakan tempoh yang menguji ketabahan dan kekuatan pasangan suami isteri.

Pasangan suami isteri baru biasanya perlu membuat pelbagai penyesuaian besar dalam 10 tahun pertama perkahwinan, termasuk mengemudi selok-belok hubungan dengan keluarga mentua, membahagikan tuntutan kerja dengan komitmen pada keluarga serta mencapai kestabilan kewangan – kesemua ini cabaran yang bertali arus perlu dihadapi.

Apabila pasangan melangkah ke fasa keibubapaan, tanggungjawab baharu itu menuntut pengorbanan besar terhadap masa, tenaga dan emosi mereka, menurut beberapa pakar rumah tangga, peguam Syariah dan pihak berkepentingan lain yang dihubungi Berita Minggu (BM).

Cabaran ini kian meruncing bagi pasangan yang lebih muda dan bagi sesetengah kes, boleh menyebabkan keruntuhan rumah tangga.

Dapatan Laporan Trend Keluarga 2026 yang dikemukakan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menunjukkan kadar perceraian pasangan Islam dalam tempoh sepuluh tahun pertama perkahwinan turun daripada 24.8 peratus bagi kohort yang berkahwin pada 2005, kepada 17 peratus bagi mereka yang membina mahligai pada 2014.

Namun, laporan yang sama menunjukkan kumpulan pasangan paling muda – yang berusia antara 20 hingga 24 tahun – mengalami kadar perceraian tertinggi berbanding pasangan dalam lingkungan usia lain.

Laporan itu tidak memberikan kadar perceraian mengikut usia bagi pasangan Islam, tetapi secara anekdotal, beberapa pihak yang selalu berurusan dengan pasangan yang menghadapi masalah perkahwinan, seperti peguam dan kaunselor rumah tangga berkata pengalaman mereka adalah serupa.

Keadaan ini turut menyumbang kepada statistik yang kurang diingini iaitu kadar perceraian dekad pertama bagi pasangan Islam masih yang tertinggi berbanding perkahwinan lain.

Sebab kadar perceraian pasangan Islam masih tinggi

Antara sebab yang mendorong kadar tinggi dalam perceraian bagi pasangan Islam berbanding kategori perkahwinan lain dapat dirujuk semula kepada kecenderungan pasangan Islam untuk bernikah pada usia yang awal, kata Kaunselor Utama Hab Perkahwinan AMP, Shaikh Loqman Shaikh Hasan.

“Pasangan Muslim secara tradisinya cenderung mendirikan rumah tangga pada usia yang lebih muda berbanding pasangan yang berkahwin di bawah perkahwinan sivil.

“Walaupun ramai pasangan muda berjaya membina perkahwinan yang bahagia dan berkekalan, usia yang lebih muda ketika berkahwin secara konsisten dikenal pasti dalam pelbagai kajian, sebagai salah satu faktor yang dikaitkan dengan risiko perceraian yang lebih tinggi,” ujar Shaikh Loqman ketika dihubungi BM.

Trend perkahwinan yang lebih rapuh dalam 10 tahun pertama apabila ia melibatkan pasangan lebih mudah dicerminkan melalui Laporan Trend Keluarga 2026.

Sebagai contoh, 28.7 peratus daripada kumpulan pengantin lelaki berusia 20 hingga 24 tahun yang berkahwin pada 2014, bercerai sebelum menyambut ulang tahun perkahwinan ke-10.

Sebagai perbandingan, kadar perceraian bagi lelaki berusia 25 hingga 29 tahun ialah 12.5 peratus, manakala kadar perceraian bagi lelaki berusia 30 hingga 34 tahun pula ialah 11.7 peratus.

Trend yang serupa turut dikesan bagi golongan pengantin wanita.

Sebanyak 23.1 peratus wanita berusia 20 hingga 24 tahun yang berkahwin pada 2014, tidak berjaya mempertahankan perkahwinan mereka hingga ulang tahun ke-10.

Kadar perceraian ini merosot apabila ia melibat wanita berusia lebih 24 tahun.

Shaikh Loqman menambah isu seperti harga rumah dimampui, corak pekerjaan dan fasa keibubapaan, adalah antara faktor yang boleh memberi pengaruh besar terhadap kestabilan rumah tangga sepanjang dekad pertama perkahwinan.

“Cabaran membeli rumah boleh menyumbang kepada tekanan kewangan, manakala pekerjaan pula memberi kesan terhadap pendapatan isi rumah, serta keseimbangan antara tuntutan kerjaya dengan kehidupan peribadi.

“Fasa keibubapaan pula membawa tanggungjawab tambahan yang menuntut lebih banyak masa, tenaga dan sumber emosi daripada pasangan.

“Apabila kesemua tekanan ini (kewangan, tuntutan kerjaya dan keibubapaan) berlaku secara serentak, ia boleh meningkatkan risiko berlakunya ketegangan dalam rumah tangga, serta menguji kekuatan hubungan sesebuah pasangan,” kata beliau.

Sentimen itu turut dikongsi oleh peguam dan pengarah firma Assameur LLC, Cik Hawa Zinat Jailani.

Berdasarkan pengalaman 22 tahun menguruskan perceraian, kebanyakan pasangan muda masih dalam proses membina kerjaya dan sedang belajar mengemudi cabaran antara tuntutan pekerjaan dengan rumah tangga.

Cik Hawa menambah bahawa pasangan muda pada zaman dahulu lebih terdedah kepada tuntutan perkahwinan oleh ahli keluarga.

“Generasi muda masa kini menghabiskan masa lebih lama menuntut ilmu sebelum melangkah ke dunia pekerjaan, dan perlu mengharungi landskap sosial serta ekonomi yang jauh berbeza.

“Kesannya, ruang untuk mereka menjadi lebih matang dari segi emosi dan praktikal demi membina perkahwinan yang utuh menjadi semakin terhad.

“Lantas, majoriti pasangan hanya mendapat bimbingan rumah tangga sebelum bergelar suami isteri, melalui kursus persiapan perkahwinan yang wajib.

“Pada fasa tersebut, corak pemikiran dan pemahaman masing-masing terhadap perkahwinan sudah pun dicipta,” kongsi Cik Hawa.

Namun, mungkin trend pasangan lebih muda yang bercerai dalam tahun-tahun awal perkahwinan akan berubah selaras dengan trend yang menunjukkan jumlah lelaki dan perempuan beragama Islam yang mendirikan rumah tangga telah berkurangan.

Data daripada Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat), menunjukkan seramai 524 lelaki beragama Islam berusia 20 dengan 24 tahun mendirikan rumah tangga pada 2025, berbanding 591 pengantin lelaki Islam pada 2014.

Bagi perempuan beragama Islam berusia antara 20 dengan 24 tahun pula, jumlah mereka berkurangan kepada 975 pada 2025 daripada 1,384 pada 2014.

Perceraian pasangan Islam turun ketara

Pada masa yang sama, terdapat jaringan sokongan yang semakin lengkap dan menyeluruh untuk pasangan Islam di Singapura bagi setiap lapisan usia, semuanya dengan tujuan memperkukuh perkahwinan Islam.

Antaranya ialah program Bersamamu yang diasaskan oleh Kadi dan Naib Kadi setempat, dengan sokongan Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM).

Dilancarkan pada Julai 2019, program Bersamamu bertujuan menyokong pasangan Islam dengan memberi bimbingan sebelum pernikahan, dan dilanjutkan hingga dua tahun selepas pernikahan mempelai.

Pasangan yang ingin berkahwin memulakan perjalanan mereka dengan pertemuan bersemuka dengan Kadi atau Naib Kadi pilihan, sebelum menjalani akad nikah.

Antara lain, pasangan ini disokong dengan bimbingan agama dan disediakan dengan ruang selamat untuk berbincang mengenai topik yang sensitif.

Mereka juga digalakkan menjalani program persediaan perkahwinan, serta sokongan pascaperkahwinan menerusi program perkahwinan dan keibubapaan.

Sejak dilancarkan, Bersamamu telah menyokong lebih 36,000 pasangan dan telah diperluas untuk menyokong lebih banyak pasangan sejak April lalu, dengan menambah jumlah Kadi dan Naib Kadi kepada 62 orang.

Ustaz Pasuni Maulan, 81 tahun, yang berkhidmat sebagai kadi lebih lima dekad berkata usaha agensi pemerintah, badan Melayu/Islam, masjid dan pertubuhan lain yang sentiasa bersedia dalam menghulurkan bantuan kepada pasangan yang memerlukan, telah membantu menyediakan ekosistem sokongan yang memperkukuh perkahwinan.

“Terdapat banyak program yang diatur badan Melayu/Islam dan juga pihak masjid, yang meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab serta peranan wanita dan lelaki dalam membentuk generasi masa depan.

“Saya percaya ini salah satu sebab kesedaran pasangan untuk mengekalkan rumah tangga bertambah baik,” kata beliau.

Antara sokongan yang disediakan bagi pasangan Islam ialah program persiapan perkahwinan, seperti kursus dua hari yang dinamakan Cinta Abadi, dikendalikan firma seperti APKIM Resources dan beberapa firma lain.

Antara lain, program ini bertujuan membantu pasangan muda membina asas perkahwinan yang kukuh dengan meningkatkan kefahaman tentang tanggungjawab suami isteri, komunikasi, pengurusan konflik dan cabaran kehidupan berumah tangga.

Ia merupakan salah satu program yang disokong oleh MSF, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan ROMM; dan dikendalikan oleh penyedia yang dilantik MSF, seperti APKIM Resources.

Jurucakap APKIM berkata sokongan agensi pemerintah telah menyumbang kepada kemerosotan dalam kadar perceraian pasangan Islam.

Ini selain kerjasama rapat antara kaunselor yang dilantik oleh Mahkamah Syariah dengan golongan asatizah.

“Semakan berkala kandungan persediaan perkahwinan, geran untuk program pengayaan perkahwinan dan strategi campur tangan perceraian banyak membantu.

“Melalui penglibatan asatizah dalam menekankan pendirian Islam mengenai kepentingan mempertahankan perkahwinan, pasangan menjadi lebih sedar tentang keperluan untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh demi menyelamatkan rumah tangga mereka,” ujar jurucakap tersebut.

Lebih terbuka mohon bantuan

Beliau juga berkata pasangan kini rela meminta bimbingan, mencerminkan trend sejagat yang lebih terbuka untuk mendapatkan bantuan, di luar masyarakat Melayu/Islam.

Jurucakap APKIM mengaitkan peningkatan pengetahuan dan kesedaran mengenai perkahwinan, serta tuntutan yang diperlukan oleh pasangan dari segi kesediaan dan persiapan mental mahupun praktikal, sebagai satu lagi sebab utama yang mendorong kemerosotan kadar perceraian Islam.

“Dahulu, amalan mendapatkan khidmat kaunseling atau bantuan rumah tangga secara sukarela bukanlah satu budaya lumrah dalam kalangan pasangan di Singapura, biarpun mereka mungkin berdepan dengan pelbagai cabaran dalam perkahwinan.”

Bersependapat, Cik Angela Tan Yee Jin, seorang pakar hubungan yang bekerjasama dengan MSF untuk menyediakan program persiapan perkahwinan sivil berkata kian ramai melihat persediaan perkahwinan bukan sekadar sebagai satu langkah tambahan, tetapi sebagai asas penting untuk membina rumah tangga yang lebih kukuh.

“Persediaan sebelum berkahwin kini dilihat sebagai sesuatu yang lebih lazim, kata Cik Tan, yang mengendalikan bengkel persediaan perkahwinan ‘From Promise to Practice’ dan menerajui program persiapan perkahwinan ‘Almost Peaceful’.

Jurucakap Perkhidmatan Kebajikan Methodist (MWS), yang menyediakan bantuan perkahwinan seperti Program Memperkukuhkan Keluarga (FAM), menambah bahawa sikap lebih terbuka itu didorong oleh ekosistem undang-undang, kaunseling dan program persiapan perkahwinan yang luas.

“Faktor-faktor ini saling melengkapi dan bersama-sama menyumbang kepada pembentukan daya tahan keluarga yang lebih utuh, stabil dan mapan,” jelas jurucakap MWS.

MWS dilantik oleh MSF sebagai penyedia perkhidmatan rasmi untuk program Keluarga Sepanjang Hayat Kejiranan bagi kawasan Hougang, Sengkang, dan Serangoon.

Usaha menyeluruh untuk menyokong perkahwinan ini membuahkan hasil. Kadar perceraian perkahwinan sivil menyusut daripada 15.3 peratus kepada 12.6 peratus apabila membandingkan kohort perkahwinan 2005 dengan kohort perkahwinan 2014.

Secara keseluruhan, kadar perceraian bagi kedua-dua perkahwinan sivil dan Islam turun daripada 17 peratus (kohort 2005) kepada 13.5 peratus (kohort 2014).

Pengaruh media sosial

Dalam pada itu, sebahagian pemerhati yang dihubungi BM menampilkan pengaruh media sosial sebagai antara cabaran baru yang dihadapi pasangan, terutama yang lebih muda, untuk memelihara rumah tangga masing-masing.

Malah, ada yang seperti Cik Hawa, berkata media sosial berperanan menjejas keutuhan perkahwinan pasangan muda.

“Sebahagian daripada persepsi kita tentang perkahwinan dibentuk oleh televisyen, filem, dan media sosial – yang sering kali menampilkan gambaran kehidupan berumah tangga idaman atau tidak realistik – berbanding perkahwinan yang berpandukan ajaran agama.

“Faktor-faktor ini, sedikit sebanyak, mungkin menjelaskan mengapa sesetengah generasi muda mendapati ia lebih mencabar untuk mengemudi realiti kehidupan perkahwinan.”

Bagaimanapun, pada masa yang sama, media sosial juga boleh mendatangkan kesan positif kepada rumah tangga yang dibina pasangan muda, kata Cik Tan, berkongsi pendapat.

Menurut beliau, ada kandungan dalam talian yang mengemukakan panduan atau bimbingan bernas, dan berperanan untuk membiasakan budaya sifat terbuka dalam kalangan pasangan meminta bimbingan, dalam persiapan rumah tangga.

Ini termasuk mendapatkan sokongan keluarga lebih besar untuk menghadapi cabaran dari hari ke hari.

Shaikh Loqman berkata dorongan orang tua, saudara-mara, sahabat dan badan keagamaan dan pertubuhan komuniti, berupaya menyediakan sokongan emosi, bantuan am, serta bimbingan untuk pasangan menghadapi cabaran rumah tangga.

“Apabila kesemua tekanan ini (kewangan, tuntutan kerjaya dan keibubapaan) berlaku secara serentak, ia boleh meningkatkan risiko berlakunya ketegangan dalam rumah tangga, serta menguji kekuatan hubungan sesebuah pasangan.”
Shaikh Loqman Shaikh Hasan, Kaunselor Utama Hab Perkahwinan AMP.

“Terdapat banyak program yang diatur badan Melayu/Islam dan juga pihak masjid, yang meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab serta peranan wanita dan lelaki dalam membentuk generasi masa depan. Saya percaya ini salah satu sebab kesedaran pasangan untuk mengekalkan rumah tangga bertambah baik.”
Ustaz Pasuni Maulan, yang berkhidmat sebagai kadi lebih lima dekad.

“Dahulu, amalan mendapatkan khidmat kaunseling atau bantuan rumah tangga secara sukarela bukanlah satu budaya lumrah dalam kalangan pasangan di Singapura, biarpun mereka mungkin berdepan dengan pelbagai cabaran dalam perkahwinan.”
Jurucakap firma APKIM Resources, yang mengendalikan program persiapan perkahwinan.