Kadar perceraian dekad pertama pasangan Islam mencatat penurunan terbesar, walaupun kekal tertinggi berbanding perkahwinan sivil yang lain.

Bagi kohort perkahwinan 2005, kadar perceraian adalah 24.8 peratus.

Angka itu menyusut kepada 17 peratus bagi kohort yang bernikah pada 2014.

Laporan Trend Keluarga 2026 yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 10 Julai, mendedahkan kadar perceraian pasangan Islam dalam tempoh 10 tahun pertama perkahwinan telah berkurangan secara ketara.

Menurut MSF, antara lima dengan 10 tahun pertama perkahwinan disifatkan sebagai tempoh paling rapuh.

Berdasarkan perangkaan terkini, tempoh paling rapuh itu tampak kian utuh.

“Peningkatan paling ketara dapat dilihat pada berkurangnya kadar perceraian bagi perkahwinan Islam.

“Walaupun kadar bagi perkahwinan Islam kekal lebih tinggi berbanding perkahwinan sivil merentasi kesemua kohort, jurang perbezaan tersebut telah mengecil dengan amat ketara bagi kohort perkahwinan yang lebih baharu,” kata MSF dalam laporan tahunan setebal 43 muka surat itu.

Secara keseluruhan, kadar perceraian bagi kedua-dua perkahwinan sivil dan Islam turun daripada 17 peratus (kohort 2005) kepada 13.5 peratus (kohort 2014).

Bagi perkahwinan sivil, ia turun daripada 15.3 peratus kepada 12.6 peratus bagi kohort yang sama.

Butiran penting Laporan Trend Keluarga 2026 itu dibentangkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada acara Penghargaan Pesta Keluarga Nasional (NFF) 2026, di Hotel Grand Copthorne Waterfront, pada hari yang sama (10 Julai).

Selain mengetengahkan data perceraian, laporan itu turut membentangkan perangkaan berkaitan fasa kehidupan berkeluarga seperti perkahwinan, fasa awal kanak-kanak, daya ketahanan keluarga, dan penjagaan dalam keluarga.

Bagi masyarakat Melayu/Islam, buat masa ini, terdapat beberapa usaha yang dilaksana sejak beberapa tahun lalu untuk memperkukuh perkahwinan Islam, antaranya program, Bersamamu.

Dilancarkan sejak Julai 2019, program Bersamamu bertujuan menyokong pasangan Islam dengan memberi bimbingan sebelum pernikahan dan dilanjutkan hingga dua tahun selepas pernikahan mempelai.

Sejak dilancarkan, Bersamamu telah menyokong lebih 36,000 pasangan.

Malah, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) 2026, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengumumkan bahawa program Bersamamu akan diperluas bagi memperkukuh sokongan dalam perkahwinan.

Ia termasuk menambah jumlah Kadi dan Naib Kadi kepada 62 orang, bermula April lalu.

Menurut MSF, selepas 10 tahun pertama perkahwinan, kadar perceraian pada setiap lima tahun berikutnya didapati semakin mengecil.

Justeri, adalah penting untuk menyediakan sokongan tepat pada masanya semasa tahun-tahun awal perkahwinan bagi membantu pasangan membina asas yang kukuh bagi mengharungi cabaran masa depan, kata MSF dalam kenyataannya.

Data menunjukkan bahawa 7 peratus daripada kohort pasangan yang berkahwin pada 2004 berakhir dengan perceraian sebelum ulang tahun kelima.

Angka itu kemudian melonjak kepada 16.3 peratus secara keseluruhan sebelum ulang tahun ke-10.

Kadar perceraian selepas fasa itu didapati lebih kecil, yang mana jumlah terkumpul perceraian mencatatkan 21.5 peratus sebelum ulang tahun ke-15; dan akhirnya mencecah 24.7 peratus sebelum ulang tahun perkahwinan ke-20.

Dalam pada itu, di acara NFF, Encik Masagos turut mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) baharu antara MSF dengan rakan korporat utama untuk perkukuh aspek kekeluargaan di sini.

Mereka ialah Mandai Wildlife Group, McDonald’s Singapore, NTUC Women and Family, SBS Transit dan Standard Chartered Singapore.

“Rakan-rakan korporat ini akan menyumbang dalam pelbagai cara – daripada mempromosikan budaya tempat kerja yang mesra keluarga dalam kalangan pekerja mereka sendiri, hinggalah kepada memberikan impak di peringkat nasional melalui kerjasama dalam kempen Keluarga Sepanjang Hayat.

“Bersama-sama, mereka akan memanfaatkan kekuatan masing-masing demi meluaskan akses sepanjang tahun kepada program-program yang bertumpukan keluarga,” kata Encik Masagos.