Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RLAF kumpul lebih $15j bantu Gaza sejak 2023

Sumbangan terbaru bernilai $1j yang diserah kepada Bulan Sabit Merah Mesir pada 2 Sept
Sep 2, 2025 | 7:01 PM
RLAF, Gaza, bantuan
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), menyaksikan penyerahan cek bernilai $1 juta daripada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) kepada Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) pada 2 September. Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ERC, Dr Amal Emam (dua dari kiri); Pengerusi RLAF, Encik Abdul Razak Maricar (dua dari kanan); dan CEO RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid (kanan). - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebanyak $15 juta berjaya dikumpulkan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) melalui empat kempen bagi membantu penduduk Gaza, hasil usaha kolektif masyarakat serta rakan-rakan kerjasamanya sejak 2023. 

Ini termasuk sumbangan bernilai $1 juta yang telah diserahkan kepada Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) pada 2 September, sebagai sebahagian daripada inisiatif kutipan dana ‘Aid for Gaza 2025’. 

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang hadir sebagai tetamu terhormat di acara yang berlangsung di bangunan Muis itu, berkata sumbangan tersebut mencerminkan belas ihsan mendalam serta perpaduan rakyat Singapura terhadap rakyat Palestin.

Dr Faishal berkata: “Penyerahan cek hari ini adalah satu simbol penting yang mencerminkan harapan dan solidariti kita kepada rakyat Palestin.

“Ia menunjukkan keprihatinan rakyat Singapura termasuk masyarakat Melayu/Islam dan keazaman untuk menyokong mereka yang dilanda derita.”

Beliau turut menzahirkan rasa terharu terhadap kemurahan hati masyarakat Singapura, khususnya masyarakat Melayu/Islam.

Nilai $1 juta yang diserahkan itu merupakan baki daripada kempen ‘Aid for Gaza 2025’, yang berjaya mengumpulkan $2,423,995 hasil usaha RLAF bersama rakan kerjasamanya, Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), ERC dan badan amal tempatan Humanity Matters.

Kempen yang dijalankan dari 24 Februari hingga 6 April 2025 melibatkan kutipan di masjid semasa solat Jumaat, sumbangan masyarakat serta derma orang ramai.

Sumbangan pertama berjumlah $1 juta telah diserahkan kepada Unicef pada 27 Jun, manakala $400,000 pula telah disalurkan kepada Humanity Matters pada 9 Jun.

“Ini menunjukkan masyarakat kita sentiasa bersedia berganding bahu membantu rakyat Gaza yang amat memerlukan,” jelas Dr Faishal.

Beliau menambah bahawa kerjasama dengan ERC amat penting untuk memastikan bantuan seperti makanan, air, kit kebersihan serta bekalan perubatan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Di samping itu, Dr Faishal berkongsi bahawa sejak 2023, Singapura telah mengumpul lebih $22 juta – termasuk sumbangan lebih $15 juta oleh RLAF – membolehkan sembilan fasa bantuan dihantar setakat ini, termasuk bekalan perubatan, makanan serta keperluan segera. 

“Ini membuktikan bahawa walaupun kita jauh dari Gaza, mereka tidak dilupakan. Sokongan anda memberi impak positif kepada rakyat Gaza. 

“Kita akan terus komited untuk membantu dan saya berharap kita dapat bersatu hati dalam meringankan penderitaan mereka seberapa yang boleh,” ujar Dr Faishal.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ERC, Dr Amal Emam, turut menekankan kerjasama dengan RLAF sebagai satu bentuk sokongan yang amat penting dalam menghadapi krisis berterusan di Gaza.

Dr Amal berkata: “Sumbangan ini akan disalurkan kepada tiga perkara utama – bantuan makanan, sokongan tempat perlindungan, dan bantuan perubatan – memandangkan situasi kesihatan serta infrastruktur di Gaza amat terjejas.”

Beliau turut menambah bahawa ERC juga memberi perhatian kepada rakyat Palestin yang dipindahkan keluar dari Gaza ke Mesir bagi menerima rawatan, termasuk keluarga yang mengiringi mereka.

“Kami melihat kerjasama ini sebagai sangat penting kerana penderitaan di Gaza semakin meningkat setiap hari dan memerlukan sokongan yang berterusan.

“RLAF telah menunjukkan kesungguhan untuk memastikan setiap sumbangan digunakan sebaik mungkin demi memberi impak nyata kepada mereka yang menderita,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg