Seorang bekas tukang masak di sebuah prasekolah di Singapura dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun, empat bulan dan tujuh minggu pada 10 November.
Pihak pendakwaan menyifatkan kes itu sebagai salah satu perbuatan penderaan seksual paling keji yang pernah berlaku di prasekolah tempatan.
Warga Malaysia, Teo Guan Huat, 61 tahun, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan pencabulan pada 27 Oktober.
Lima pertuduhan pencabulan lain turut diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Pada 10 November, Hakim Daerah Vince Gui menyifatkan perbuatan Teo amat keji.
Beliau menegaskan bahawa kesalahan itu merupakan salah guna kepercayaan, sambil menekankan mangsa adalah kanak-kanak kecil yang tidak berdaya.
Teo, seorang penduduk tetap Singapura, telah mencabul kehormatan tiga kanak-kanak perempuan, berumur dari satu hingga dua tahun, ketika mangsa di dalam bilik tidur di prasekolah tersebut.
Dia melakukan perbuatan tersebut dengan memasukkan tangannya di dalam lampin mangsa.
Perbuatan itu dilakukan beberapa kali seminggu, dari Mei 2023 hingga November 2023, apabila guru-guru lain tidak melihat.
Teo, yang bekerja di prasekolah itu selama kira-kira setahun, meletakkan jawatan pada November 2023 apabila perbuatannya terbongkar, lapor The Straits Times (ST).
Mahkamah dimaklumkan meskipun Teo diambil bekerja sebagai tukang masak, dia sering mengiringi kanak-kanak untuk mandi, serta menyiapkan tilam dan menepuk mereka sehingga tidur.
Dalam prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan menyatakan tugas-tugas itu tidak termasuk dalam peranannya, dan kes ini melibatkan salah satu perbuatan penderaan seksual paling keji yang pernah berlaku di prasekolah di Singapura.
Ketika membuat pengakuan terhadap perbuatannya, Teo berkata dia mengalami masalah mati pucuk dan tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan.
Teo mengaku dia menyasarkan kanak-kanak kerana mereka tidak mampu bersuara.
Laporan daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) menunjukkan Teo didiagnosis dengan gangguan pedofilia.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Quek Lu Yi, berkata gangguan itu tidak mempunyai kaitan langsung dengan perbuatan jenayahnya, sambil menambah ia tidak menjejas pertimbangan atau kawalan perbuatan Teo pada masa itu.
Perbuatan keji itu terdedah pada 16 November 2023, apabila seorang pekerja sekolah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Teo mencabul salah seorang mangsa.
Ahli jawatankuasa pengurusan sekolah kemudian bersemuka dengannya, dan Teo diminta meninggalkan prasekolah pada 23 November 2023.
Laporan polis dibuat pada 2 Disember 2023.
Mahkamah tidak memperincikan individu yang membuat laporan polis itu dan sebab kelewatannya.
DPP Quek berkata antara masa perbuatan Teo didedahkan pada November dan ketika polis dimaklumkan, sistem CCTV telah diformat semula dan rakaman terdahulu terpadam.
Dokumen mahkamah tidak menyatakan individu yang memadam rakaman tersebut.
Teo ditangkap pada 4 Disember 2023 selepas penyiasat polis mengembalikan rakaman tersebut dan didakwa di mahkamah dua hari kemudian.
Bagi setiap pertuduhan, pesalah yang disabit kesalahan mencabul kanak-kanak bawah 14 tahun boleh dipenjara sehingga lima tahun, dikenakan denda, dirotan, atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.
Teo tidak boleh disebat kerana usianya melebihi 50 tahun.
Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda) akan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menambah baik cara rakaman CCTV disemak semasa siasatan terhadap salah laku yang disyaki di prasekolah, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli, di Parlimen, pada 6 November.
Ecda sedang bekerjasama dengan penyedia analitik video untuk membangunkan penyelesaian AI yang boleh mengesan bahaya keselamatan dan salah laku yang disyaki di prasekolah, tambah Encik Masagos.
Kamera CCTV telah diwajibkan di semua prasekolah dan pusat campur tangan awal yang dibiayai pemerintah sejak Julai 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg