Selama tujuh bulan, seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah prasekolah akan memasukkan tangannya ke dalam lampin tiga kanak-kanak perempuan berumur satu hingga dua tahun dan menyerang mereka secara seksual.
Pada 27 Oktober, Teo Guan Huat, 61 tahun, disabitkan kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan kanak-kanak itu dari Mei hingga November 2023, lapor The Straits Times.
Menyifatkan perbuatan itu sebagai salah satu penderaan seksual paling dahsyat dilakukan di prasekolah di Singapura, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara 10 tahun terhadap Teo.
Dalam mengakui jenayahnya itu, Teo memberitahu mahkamah meskipun dia mengalami masalah mati pucuk, dia tidak pernah menjalin sebarang hubungan serta “ingin melihat dan ingin menyentuh”.
Dia mengaku melakukan perbuatan itu kerana mereka tidak boleh bercakap tentang apa yang telah dilakukannya terhadap mereka dan dia fikir dia tidak akan ditangkap.
Mangsa dan pihak prasekolah tidak boleh dinamakan untuk melindungi identiti kanak-kanak tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Quek Lu Yi berkata Teo, yang merupakan warga Malaysia dan penduduk tetap Singapura, telah bekerja selama setahun di prasekolah itu sebelum dia meletak jawatan pada November 2023 apabila perbuatannya terbongkar.
Teo juga membantu mengiringi kanak-kanak mandi, menyediakan tilam dan menepuk mereka sehingga mereka tidur.
Dia tidak sepatutnya berbuat demikian kerana itu bukan tugasnya, kata DPP Quek.
Teo ditangkap apabila seorang pekerja sekolah melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan dia melakukan perbuatan itu.
Walaupun perbuatannya didedahkan pada November, laporan polis hanya dibuat pada 2 Disember 2023.
DPP Quek berkata sejak perbuatannya terbongkar dan sehingga polis dimaklumkan, CCTV telah diformat semula supaya rakaman terdahulu dipadamkan.
Penyiasat berjaya mendapatkannya semula, dan Teo telah ditangkap pada 4 Disember 2023.
Empat wanita berusia 48, 58, 61 dan 66 tahun telah didakwa atas peranan mereka cuba menutup kejadian itu.
Pada Februari, setiap seorang daripada mereka telah dikenakan satu pertuduhan sengaja menghapuskan maklumat mengenai serangan seksual tersebut.
Hakim menangguhkan hukuman sehingga 10 November.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg