Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cabul kehormatan: Bekas pengadil S’pore Idol, Ken Lim, dijel 13 bulan

Nov 18, 2025 | 3:55 PM
singapore idol, ken lim, molest, jailed
Penerbit muzik dan bekas pengadil Singapore Idol, Ken Lim, 61 tahun, dijatuhi hukuman penjara 13 bulan pada 18 November kerana mencabul kehormatan seorang wanita berumur 25 tahun. - Foto ST

Penerbit muzik dan bekas pengadil Singapore Idol, Ken Lim, 61 tahun, dijatuhi hukuman penjara 13 bulan pada 18 November kerana mencabul kehormatan seorang wanita berumur 25 tahun.

Kejadian tersebut berlaku di pejabat Hype Records di Henderson Road pada 23 November 2021, ketika Lim merupakan pengarah eksekutif syarikat rakaman itu.

Selepas perbicaraan pada September, Hakim Daerah Utama Lee Lit Cheng, mendapati Lim bersalah atas tuduhan mencabul.

Butiran mangsa tidak dapat didedahkan kerana perintah sekatan untuk melindungi identiti mangsa.

Pada 18 November, pihak pendakwaan, tanpa mendedahkan sebarang butiran, memohon supaya baki lima pertuduhan terhadap Lim ditarik balik, lapor The Straits Times (ST).

Lima pertuduhan itu berkaitan dengan dakwaan salah laku terhadap tiga wanita lain.

Hakim Lee kemudian membenarkan Lim dibebaskan daripada lima pertuduhan tersebut.

Ini bermakna Lim tidak boleh dituduh semula atas kesalahan yang sama.

Insiden pencabulan itu berlaku semasa temu duga berkaitan kerja di pejabat Lim.

Mangsa berkata beliau bertemu Lim sebanyak tiga kali, dan Lim membuat komen tidak senonoh pada pertemuan kedua dan ketiga mereka.

Menurut beliau, Lim turut bertanya jika wanita tersebut akan melakukan seks dengan seorang pengarah dan dengan seseorang untuk “membawa satu perubahan”.

Wanita tersebut menambah bahawa Lim mencabul beliau ketika pertemuan ketiga mereka, dan ia berlaku selepas Lim menyuruh beliau menciumnya. 

Beliau berbuat demikian, namun berasa jijik selepas melakukannya.

Wanita itu memberitahu mahkamah bahawa Lim kemudian menyuruh beliau menciumnya sekali lagi, dan ketika mereka berciuman, Lim memegang dadanya.

Wanita itu kemudian menceritakan butiran kejadian kepada teman lelakinya pada masa itu dan seorang rakan wanita, dan kedua-duanya memberi keterangan di mahkamah.

Rakan itu berkata mangsa menggambarkan sesi temu duga bersama Lim sebagai “agak traumatik”.

Rakan itu juga berkata beliau diberitahu bahawa Lim memaksa mangsa menciumnya.

Dalam prosiding sebelum ini, rakan tersebut memberitahu Hakim Lee: 

“Lim juga kata dia mahu mengikatnya… Mangsa kelihatan amat trauma dengan apa yang berlaku dan sangat jijik kerana dipaksa melakukan perkara yang beliau tidak rela.”

Lim, yang diwakili pasukan peguam diketuai Peguam Kanan (SC) Tan Chee Meng, menafikan telah mencabul wanita itu.

SC Tan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya akan membuat rayuan terhadap sabitan dan hukumannya.

Pada 2024, Lim berdepan dengan tuduhan melibatkan seorang wanita lain dalam perbicaraan berasingan.

Wanita itu mendakwa beliau membuat komen berunsur seksual semasa berada di premis Hype Records pada 25 Julai 2012.

Selepas perbicaraan, Hakim Daerah Wong Peck membebaskan Lim daripada pertuduhan itu pada Disember 2024.

Bagi kesalahan mencabul kehormatan, pesalah boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun, dikenakan denda, sebat, atau gabungan hukuman tersebut. 

Namun, Lim tidak boleh disebat kerana usianya melebihi 50 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg