Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki didakwa cabul pramugari dalam penerbangan SIA

Apr 22, 2025 | 4:14 PM
kes cabul, warga India
Warga India, Rajat, 20 tahun, didakwa mencabul seorang pramugari dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA), pada pagi 28 Februari. - Foto PIXABAY

Seorang lelaki 20 tahun didakwa menolak masuk seorang pramugari bersamanya ke dalam tandas dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) telah didakwa pada 22 April atas kesalahan mencabul.

Warga India, Rajat, yang hanya dikenali dengan nama itu, didakwa melakukan kesalahan tersebut sekitar 11.20 pagi pada 28 Februari.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan dari mana pesawat itu berlepas, lapor The Straits Times (ST).

Polis pada 21 April berkata pramugari berusia 28 tahun itu sedang mengiringi seorang penumpang wanita ke tandas apabila beliau ternampak sehelai tisu di lantai.

“Ketika kru wanita itu membongkok untuk mengambil tisu tersebut, lelaki itu dipercayai muncul dari arah belakangnya, mencengkamnya dan menolaknya masuk ke dalam tandas bersamanya,” kata jurucakap polis dalam satu kenyataan.

“Penumpang wanita yang menyaksikan kejadian itu segera membantu (kru wanita) berkenaan keluar dari tandas. Insiden itu kemudian dilaporkan kepada penyelia kabin.”

Pegawai daripada Divisyen Polis Lapangan Terbang memberkas Rajat sejurus pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Changi.

Rajat dijangka mengaku bersalah pada 14 Mei.

Ini merupakan kes kedua yang dilaporkan oleh ST pada April melibatkan insiden mencabul kehormatan di dalam pesawat.

Pada 2 April, pesara warga India, Balasubramanian Ramesh, 73 tahun, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah terhadap empat tuduhan mencabul, yang melibatkan pramugari SIA.

Tiga lagi tuduhan serupa melibatkan salah seorang daripada empat mangsa, yang dicabuli Balasubramanian dalam empat kejadian berasingan, turut diambil kira semasa menentukan hukumannya.

Dia mencabul empat anggota kru kabin dalam penerbangan dari San Francisco ke Singapura pada November 2024.

Menurut keterangan mahkamah, Balasubramanian, yang pernah bekerja sebagai pengurus di sebuah bank di India, tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika melakukan kesalahan itu.

Bagi setiap tuduhan mencabul kehormatan, pesalah boleh dihukum penjara hingga tiga tahun, didenda, disebat, atau menerima mana-mana gabungan hukuman tersebut.

Namun, dalam kes ini, Balasubramanian tidak boleh disebat kerana berusia lebih 50 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg