Kes jenayah fizikal seperti kes berkaitan pisau, rogol, pencabulan kehormatan dan kecurian, meningkat pada separuh pertama 2025, berbanding tempoh sama pada 2024.
Dalam laporan jenayah separuh tahun yang dikeluarkan pada 26 Ogos, polis memaklumkan sebanyak 10,341 kes jenayah fizikal dicatat antara Januari dengan Jun 2025.
Ia meningkat 5.4 peratus berbanding 9,809 kes yang terjadi dalam tempoh sama pada 2024, dengan kecurian dan pencabulan kehormatan menjadi antara jenayah utama yang membimbangkan.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), polis memaklumkan 75 kes berkaitan pisau dilaporkan pada separuh pertama 2025, meningkat daripada 59 kes pada separuh pertama 2024.
Sepanjang 2024, terdapat 131 kes berkaitan pisau dilaporkan.
Selain itu, dua kes pembunuhan dilapor dalam separuh pertama 2025, berbanding tiga kes pada separuh pertama 2024.
“Sepanjang tiga tahun lalu, bilangan kes jenayah berkaitan pisau kekal agak stabil. Kebanyakan kes melibatkan pesalah yang dikenali mangsa,” kata polis dalam kenyataan pada 26 Ogos.
Bilangan kes rogol juga meningkat dalam separuh pertama 2025 kepada 233 kes, berbanding 188 kes pada separuh pertama 2024.
Sepanjang 2024, sebanyak 401 kes rogol dilaporkan.
Namun, polis menyatakan bahawa tiada “trend jelas yang menunjukkan keadaan undang-undang dan ketenteraman awam semakin merosot”.
Laporan itu turut tertumpu pada kes kecurian dan pencabulan kehormatan, yang kekal sebagai jenayah utama yang membimbangkan.
Kes kecurian di kedai kekal sebagai antara kesalahan utama yang dilakukan golongan belia, dengan 2,097 kes dilaporkan – iaitu sekitar satu daripada setiap lima kes jenayah fizikal.
Jumlah itu meningkat 4.2 peratus berbanding 2,013 kes kecurian di kedai pada tempoh sama pada 2024.
Kebanyakan kes melibatkan belia berlaku di pasar raya, kedai serbaneka, kedai runcit, serta kedai menjual barangan penjagaan diri dan kesihatan.
Menurut polis, barangan yang biasanya dicuri termasuk makanan, minuman, alkohol dan produk penjagaan diri, dengan lebih separuh kes melibatkan kerugian kurang daripada $50.
Berbanding pasar raya besar lain, Cold Storage dan Sheng Siong, mencatat purata kes kecurian kedai yang lebih tinggi di setiap cawangan.
Bagi tempoh separuh pertama 2025, terdapat 788 kes kecurian dalam bangunan.
Ia naik 5.9 peratus berbanding 744 kes pada separuh pertama 2024, dan kebanyakannya berlaku di premis komersial dan asrama.
Bilangan kes pecah rumah susut 20 peratus dalam separuh pertama 2025, dengan 52 kes dicatat, berbanding 65 kes dalam separuh pertama 2024.
Namun, polis menggesa supaya kawalan keselamatan terus dipertingkat di kawasan kediaman berhalaman, kerana sindiket asing dilapor menyasarkan kawasan tersebut sejak kebelakangan ini.
Sementara itu, kes pencabulan kehormatan naik 21.2 peratus kepada 807 kes dalam separuh pertama 2025, berbanding 666 kes dalam tempoh sama pada 2024.
Gangguan tersebut dilihat kerap berlaku di tiga lokasi utama iaitu premis kediaman (189 kes); pengangkutan awam (90 kes); dan kompleks membeli-belah (57 kes).
Bilangan kes perbuatan intai, atau voyeurisme, menurun sedikit kepada 252 kes dalam separuh pertama 2025, berbanding 258 kes dalam tempoh sama pada 2024.
Daripada jumlah itu, 81 kes berlaku di premis kediaman, dengan kebanyakan pesalah terdiri daripada pasangan, bekas pasangan, anggota keluarga atau rakan.
Kompleks beli-belah dan rangkaian pengangkutan awam masing-masing mencatat 42 dan 27 kes, kebanyakannya dilakukan oleh individu tidak dikenali.
Pengarah Jabatan Operasi Polis, Penolong Pesuruhjaya Kanan Leon Chan, berkata setiap orang boleh memainkan peranan dalam memastikan keselamatan Singapura dengan sentiasa berwaspada dan peka terhadap kegiatan mencurigakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg