Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hong Tat: Pasaran bersaing cara berkesan penuhi keperluan insurans rakyat

Aug 6, 2024 | 7:47 PM
Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat, berkata mempunyai pasaran yang bersaing akan membolehkan rakyat Singapura mengakses pilihan insurans mampu milik dan perkhidmatan yang baik untuk jangka masa yang lebih panjang.
Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat, berkata mempunyai pasaran yang bersaing akan membolehkan rakyat Singapura mengakses pilihan insurans mampu milik dan perkhidmatan yang baik untuk jangka masa yang lebih panjang. - Foto fail

Syarikat insurans setempat, Income Insurance Limited, tidak selalunya menawarkan harga terendah berbanding produk insurans lain.

Disebabkan itu, mempunyai pasaran yang bersaing adalah cara paling berkesan untuk memenuhi keperluan insurans rakyat Singapura, kata Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat, di sidang Parlimen pada 6 Ogos.

Beliau yang juga anggota lembaga pengarah Penguasa Kewangan Singapura (MAS), berkata mempunyai pasaran yang bersaing akan membolehkan rakyat Singapura mengakses pilihan insurans mampu milik dan perkhidmatan yang baik untuk jangka masa yang lebih panjang.

Encik Chee berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan beberapa Anggota Parlimen (AP) berhubung keprihatinan yang timbul berikutan cadangan pengambilalihan Income oleh syarikat khidmat kewangan Jerman, Allianz.

Pada 17 Julai lalu, Allianz, telah mengumumkan tawaran umum prasyarat untuk membeli 51 peratus saham Income pada harga $40.58 sesaham dalam satu perjanjian bernilai $2.2 bilion.

Tawaran tersebut telah mencetuskan sentimen bercampur-campur dalam pasaran, khususnya keprihatinan berhubung tanggungjawab sosial Income dan sama ada premium polisi insurans akan kekal dimampu milik selepas pemilikan majoriti syarikat itu bertukar tangan.

“Kami percaya bahawa pasaran yang kompetitif adalah cara paling berkesan untuk memenuhi keperluan insurans rakyat Singapura dan memudahkan akses kepada pilihan insurans mampu milik dan perkhidmatan yang baik dalam jangka panjang.

“Dalam kedua-dua insurans hayat dan am, Income mempunyai bahagian pasaran kurang daripada 10 peratus berdasarkan premium bertulis. Bagi kebanyakan produk insurans, Income tidak selalu memberikan harga terendah berbanding insurans lain.

“Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu Income juga bukan yang termurah dalam pasaran untuk kebanyakan kategori,” kata Encik Chee.

Encik Chee mendedahkan semakan di Compare First, portal dalam talian membolehkan pengguna membandingkan produk insurans hayat daripada pelbagai syarikat insurans, menunjukkan kadar paling kompetitif untuk jangka masa insurans pembelian langsung dan produk seumur hidup termasuk gabungan penanggung insurans tempatan dan asing.

Beliau menambah pasaran insurans di Singapura sangat bersaing dan pada masa ini, terdapat lebih daripada 50 insurans langsung untuk Singapura yang menawarkan rangkaian produk insurans yang luas untuk memenuhi keperluan insurans individu dan perniagaan.

Beliau berkata peraturan utama MAS sebagai pengawal selia adalah untuk menggalakkan sektor kewangan yang kukuh dan progresif.

“Bagi sektor insurans, kami mahu penanggung insurans menguruskan risiko mereka supaya pemegang polisi yakin bahawa polisi jangka panjang mereka selamat dan akan dilindungi secukupnya.

“Apabila MAS menilai permohonan untuk menukar pemegang saham yang besar dalam syarikat insurans, kami akan mempertimbangkan pelbagai kriteria, khususnya rekod prestasi pemohon, kekukuhan kewangan, reputasi, serta kesesuaian dan kewajaran,” kata Encik Chee.

Dalam kes Allianz, Encik Chee berkata MAS akan menilai sama ada Allianz mempunyai keupayaan kewangan untuk menyokong Income apabila diperlukan, dan kesediaan serta kemampuan untuk memastikan operasi insurans dijalankan dengan baik.

Sistem dan kawalan yang berkesan juga mesti ada untuk memenuhi kewajipannya kepada pemegang polisi untuk jangka panjang, tambahnya.

Beliau juga menambah peraturan dan panduan MAS memerlukan penanggung insurans mengekalkan rizab modal yang mencukupi dan melayan pelanggan polisi yang mengambil bahagian secara adil.

“Bagi polisi penyertaan yang mana pemegang polisi berkongsi keuntungan dana penyertaan, MAS melindungi kepentingan pemegang polisi dengan mengehadkan nisbah keuntungan yang diperuntukkan kepada pemegang saham dan jenis perbelanjaan yang boleh dikenakan oleh penanggung insurans kepada dana peserta,” kata Encik Chee.

Ketua Parti Pekerja (WP), yang juga Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied), bertanya sama ada MAS telah menyoal NTUC Enterprise atas dasar komitmennya untuk memastikan premium adalah mampu milik, memandangkan ia akan memegang bahagian minoriti dalam Income jika perjanjian berjalan lancar.

Dalam jawapannya, Encik Chee berkata ia juga merupakan bidang kuasa penanggung insurans lain di Singapura untuk menawarkan premium mampu milik kepada segmen pasaran yang berbeza.

“Kami percaya pasaran yang kompetitif dengan persaingan yang mencukupi dan bilangan penanggung insurans yang mencukupi akan membolehkan kami mempunyai lebih ramai penanggung insurans melangkah ke hadapan untuk menyediakan produk yang boleh memenuhi keperluan segmen yang berbeza dalam masyarakat, termasuk segmen gaji rendah dan segmen yang rentan,” kata Encik Chee.

“Kami percaya bahawa pasaran yang kompetitif adalah cara paling berkesan untuk memenuhi keperluan insurans rakyat Singapura dan memudahkan akses kepada pilihan insurans mampu milik dan perkhidmatan yang baik dalam jangka panjang. Dalam kedua-dua insurans hayat dan am, Income mempunyai bahagian pasaran kurang daripada 10 peratus berdasarkan premium bertulis. Bagi kebanyakan produk insurans, Income tidak selalu memberikan harga terendah berbanding insurans lain. Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu Income juga bukan yang termurah dalam pasaran untuk kebanyakan kategori.” 
Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg