Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calon GE2025 kitar semula lebihan bahan kempen

Parti politik turut guna semula atau jual bahan kempen bagi kumpul dana
Jun 3, 2025 | 2:53 PM
bahan kempen, lebihan, pilihan raya, jual, kitar semula, guna semula
Bahan kempen fizikal seperti poster dan bendera kerap menjadi antara penyumbang utama kepada perbelanjaan sepanjang musim pilihan raya. - Foto fail

Dengan tamatnya Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), beberapa parti politik dan calon berkata mereka telah mengurangkan pembaziran bahan kempen dengan memanfaatkannya semula melalui kaedah kitar semula, penggunaan semula, malah ada yang menjualnya.

Mereka yang menjual bahan kempen fizikal seperti poster memberitahu The Straits Times (ST) bahawa langkah itu diambil bagi menampung kos kempen atau disumbangkan kepada badan kebajikan.

Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengeluarkan data awal pada 28 Mei yang menunjukkan purata perbelanjaan bagi pilihan raya bagi setiap calon adalah sebanyak $25,285.

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Marine Parade-Braddell Heights – yang menang tanpa bertanding dalam GE2025 – merupakan pasukan yang membelanjakan paling banyak, dalam kalangan 35 calon yang telah mengemukakan perbelanjaan mereka setakat ini.

Perbelanjaan terbesar pasukan itu adalah untuk bahan kempen fizikal, yang merangkumi sekitar 60 peratus daripada jumlah keseluruhan $388,756 yang dibelanjakan.

Bahan kempen fizikal seperti poster dan bendera – yang dikategorikan ELD sebagai iklan pilihan raya bukan dalam talian – selalunya menjadi antara penyumbang utama kepada perbelanjaan sepanjang musim pilihan raya.

Namun, tiada angka rasmi yang menunjukkan berapa banyak bahan tersebut berakhir di tapak pelupusan selepas tamat kempen.

Jurucakap PAP berkata parti itu mengasingkan bahan kempen mengikut kategori boleh kitar semula dan tidak boleh dikitar semula, kemudian melupuskannya dengan cara yang betul.

Beliau berkata: “Bahan kempen kami tidak dijual atau dilelong.”

Jurucakap itu memaklumkan bahawa parti tersebut juga menggunakan semula sebahagian bahan yang dihasilkan sebelum GE2025, seperti kain rentang dengan logo PAP.

Parti Demokratik Singapura (SDP) dan Perikatan Demokratik Singapura (SDA) turut mengitar semula sebahagian bahan kempen mereka.

Ketua SDA, Encik Desmond Lim, berkata parti itu telah menggunakan bahan mesra alam sejak 2020, dan berjaya mengumpul $8,000 hasil jualan poster mereka pada 2025, meningkat daripada sekitar $5,000 selepas GE2020.

“Inisiatif ini bukan sekadar satu amalan, tetapi mencerminkan komitmen kami untuk mengurangkan sisa dan menyokong kemampanan dalam masyarakat. 

“Kami mahu membawa kesan positif bukan sahaja kepada penyokong kami di GRC Pasir Ris-Changi, bahkan juga kepada semua rakyat Singapura,” kata Encik Lim.

Sementara itu, jurucakap SDP berkata lebihan bahan kempen mereka sama ada dikitar semula atau digunakan untuk kutipan dana.

Bekalan cenderamata seperti payung dan patung mainan pula disimpan di ibu pejabat parti untuk kegunaan akan datang.

Jurucakap Parti Kuasa Rakyat (PPP) pula berkata bahan kempen mereka telah diagihkan atau dijual kepada sukarelawan dan penyokong bagi menampung sebahagian kos yang ditanggung.

Calon bebas, Encik Jeremy Tan dan Encik Darryl Lo, turut menjalankan kempen mesra alam dengan menggunakan kertas mampan, mengitar semula poster, serta memanfaatkan bahan terpakai.

Mereka mengelak pembaziran, menyalurkan sumbangan kepada badan kebajikan dan merancang menjual lebihan bahan kempen bagi tujuan amal.

ST turut menghubungi Parti Pekerja (WP), satu-satunya parti pembangkang di Parlimen dengan 12 Anggota Parlimen, serta parti lain termasuk Parti Kemajuan Singapura (PSP).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg