Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calon PAP nafi dakwaan ‘dicampak’ ke Mountbatten

Apr 22, 2025 | 3:57 PM
 Calon PAP SMC Mountbatten,  Cik Gho Sze Kee, di Jalan Tiga.
Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi SMC Mountbatten, Cik Gho Sze Kee, bersama seorang penduduk semasa lawatan rumah ke rumah di Jalan Tiga dekat Old Airport Road pada 21 April. - Foto ST

Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi SMC Mountbatten, Cik Gho Sze Kee, menafikan komen ahli politik pembangkang, Encik Lim Tean, yang mendakwa beliau ‘dicampakkan’ ke kawasan itu dan menegaskan beliau telah aktif di lapangan selama 10 bulan lalu.

“Gambar di Facebook tidak menipu. Saya telah dipaparkan di halaman Facebook Encik Lim Biow Chuan 10 bulan lalu,” kata Cik Gho pada 21 April.

Encik Lim Biow Chuan adalah Anggota Parlimen (AP) Mountbatten yang telah berundur selepas hampir dua dekad berkhidmat di kawasan itu.

Cik Gho, seorang peguam maritim, memberitahu The Straits Times (ST): “Sebenarnya, saya telah bermula pada Julai 2024. Mungkin (Encik Lim Tean) tidak perasan saya telah berada di lapangan sejak itu.

“Pastinya saya tidak dicampakkan... tambahan pula, saya telah berada di Bukit Timah selama 13 tahun. Jadi, saya rasa perkataan ‘dicampakkan’ tidak sesuai untuk saya.”

Cik Gho, 46 tahun, telah menjadi aktivis PAP sejak 2012 dan setiausaha cawangan parti itu di Bukit Timah sejak Disember 2020.

Beliau ditemui ST pada 21 April, ketika lawatan rumah ke rumah di Jalan Tiga, dekat Old Airport Road, dan memberi respons kepada komen Encik Lim Tean.

Encik Lim Tean, Setiausaha Agung Parti Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), berkata pada 20 April semasa lawatan di Pasar dan Pusat Makanan Jalan Batu, berhampiran Mountbatten Road, bahawa Cik Gho adalah seorang yang tidak dikenali.

“Beliau telah dicampakkan ke Mountbatten pada saat-saat akhir dan saya rasa beliau tidak benar-benar mengenali kawasan tersebut,” katanya.

PAR bercadang meletakkan calon di SMC Mountbatten dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Cik Gho diumumkan sebagai calon baru PAP pada 20 April oleh Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang akan mengetuai pasukan PAP bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights pada GE2025.

Dr Tan turut mengumumkan pengunduran Encik Lim Biow Chuan – yang telah menjadi AP selama empat penggal. .

Mengenai perancangannya menjelang Hari Penamaan Calon pada 23 April, Cik Gho berkata beliau akan berbincang dengan para aktivis cawangan, menyelaras rancangan, dan membuat persiapan untuk hari tersebut.

Cik Gho berkata beliau telah melakukan lawatan rumah secara mingguan, serta mengadakan parti blok dan taman untuk penduduk kondominium di Mountbatten.

Beliau menambah, usaha mendekati penduduk yang dijalankan pasukannya “agak menyeluruh”.

Apabila ditanya mengenai rancangan kempen selepas Hari Penamaan Calon, beliau berkata: “Kami di Mountbatten hanya percaya dalam kerja keras.

“Jadi anda akan melihat saya turun ke lapangan, mengetuk pintu, berkempen dan meminta penduduk memberi saya peluang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg