Pakatan pembangkang Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR) telah memperkenalkan dua calon berpotensi yang akan bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Jalan Besar dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Mereka terdiri daripada usahawan, Encik Mohamad Hamim Aliyas, 62 tahun; dan pengasas pusat kelas tambahan, Encik Chiu Shin Kong, 51 tahun.
Bercakap semasa lawatan parti itu di Pusat Penjaja Woodleigh pada 13 April, setiausaha agung PAR, Encik Lim Tean, berkata calon-calon PAR dipilih berdasarkan “keupayaan mereka untuk berhubung dengan rakyat biasa di Singapura”.
“Calon-calon PAR perlu melalui cabaran yang sama seperti rakyat Singapura biasa.
“Anggota Parlimen (AP) telah lama dikuasai oleh golongan elit, dan itulah sebabnya kebimbangan ramai rakyat Singapura sering diketepikan,” ujar Encik Lim.
PAR dianggotai Suara Rakyat (PV), Parti Pembaharuan (RP) dan Parti Progresif Demokratik (DPP).
Encik Mohamad Hamim, menyandang jawatan sebagai setiausaha agung DPP dan juga bendahari PAR.
Beliau merupakan pemilik, Hamim Express Pte Ltd, sebuah syarikat yang menjual air madu lebah sejak 2018. Perniagaannya dihentikan akibat pandemik Covid-19, namun kembali beroperasi pada 2023.
Setakat ini, PAR belum bersedia mengumumkan barisan calon lain yang akan melengkapkan pasukan PAR bagi GRC Jalan Besar.
Berita Harian (BH) difahamkan PAR masih menunggu pengumuman calon daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebelum mengambil langkah persiapan yang sewajarnya.
Sementara itu, Encik Lim turut berkongsi rancangan PAR dan tawaran mereka kepada rakyat Singapura jika diberi mandat untuk ke Parlimen.
Menurutnya, pelan itu dihasilkan dengan tujuan membantu meningkatkan jumlah kadar kesuburan di Singapura.
Encik Lim menambah, kadar tersebut telah merosot ke paras “membimbangkan”.
Pelan tersebut memberi tumpuan kepada tiga bidang utama – penjagaan kesihatan, pendidikan dan kos makanan.
Di bawah pelan itu, semua kanak-kanak warga Singapura akan menerima pendidikan percuma daripada peringkat prasekolah sehingga universiti.
PAR berhujah bahawa kos penjagaan kanak-kanak dan pendidikan tinggi masih membebankan banyak keluarga, walaupun dengan subsidi sedia ada.
“Pendidikan seharusnya menjadi satu hak, bukan beban.
“Kami akan anggap setiap anak sebagai aset bernilai untuk negara,” katanya.
PAR juga mahu makanan sekolah diberi secara percuma kepada semua pelajar, mengambil kira kebimbangan ibu bapa terhadap cara pemakanan kanak-kanak dan kesannya terhadap pembelajaran.
Menurutnya, pemberian makanan percuma di sekolah adalah “satu pelaburan penting” terhadap tenaga kerja masa depan dan kesihatan negara secara keseluruhan.
Selain itu, PAR turut memperjuangkan penjagaan kesihatan percuma bagi semua kanak-kanak warga Singapura sejak lahir.
Menyifatkan dasar itu sebagai lambang masyarakat penuh keihsanan, PAR menyatakan ia akan memastikan tiada kanak-kanak dinafikan rawatan kerana kos yang tinggi.
Menurut Encik Lim, ketiga-tiga dasar itu merupakan pelaburan jangka panjang untuk masa depan Singapura.
Ia bertujuan mengurangkan ketidaksamaan dan menyokong generasi akan datang sejak dari awal kehidupan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg