Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calon PAR: Utamakan warga emas, pendidikan percuma

Apr 26, 2025 | 10:57 PM
Calon Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Cik Sarina Abu Hassan.
Calon Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Cik Sarina Abu Hassan. - Foto ST

Tumpuan utama harus diberikan kepada golongan warga emas di GRC Jalan Besar, kemampuan memiliki perumahan awam dan peluang pekerjaan. 

Berkata demikian di rapat Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR) di Sekolah Northlight pada 26 April, calon PAR yang akan bertanding di GRC itu, Encik Mohamad Hamim Aliyas, 62 tahun, bercadang untuk menyokong golongan masyarakat yang dikatakannya sudah ditinggalkan Parti Tindakan Rakyat (PAP). 

“Sejak 2023, kami telah melawat rumah ke rumah untuk memahami masalah yang dihadapi penduduk. Tetapi saya rasa amat sedih apabila dapat tahu ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu mencari makanan,” kata Encik Hamim. 

Menyentuh tentang usaha mereka mendekati masyarakat di GRC Jalan Besar melalui Projek Beras, atau ‘Project Rice’, beliau berkata pihaknya telah menderma beras kepada sekitar 10 hingga 20 isi rumah yang memerlukan. 

Beliau juga menjelaskan harga perumahan yang semakin meningkat dengan mendadak, dan menjadi kebimbangan bagi generasi muda yang mungkin tidak akan mampu beli rumah pada masa depan. 

Calon PAR yang akan bertanding di GRC Jalan Besar, Cik Sarina Abu Hassan, 54 tahun, turut menghuraikan cadangan PAR untuk memastikan makanan, khidmat kesihatan, dan yuran sekolah percuma bagi setiap warga Singapura yang masih bersekolah.

Menurutnya, pemakanan yang sihat harus dipupuk dari awal lagi, untuk memastikan pembesaran kanak-kanak yang lengkap. 

“Jika dilantik, saya akan berusaha untuk mencari jalan untuk meluangkan masa bersama penduduk yang menganggur, keseorangan, dan pencari nafkah tunggal,” kata Cik Sarina. 

Di samping itu, dua cadangan yang disarankan Cik Sarina adalah untuk menyoal tujuan adanya kod warna mengikuti taraf isi rumah, dan memastikan tambang pengangkutan awam adalah percuma bagi warga emas. 

Keempat-empat isu yang dikemukakan PAR pada rapat mereka adalah kos sara hidup, perumahan awam, keadaan pekerjaan yang tidak terjamin, dan jumlah pekerja asing yang semakin meningkat, kata Setiausaha Agung PAR, Encik Lim Tean. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg