Parti Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR) merancang untuk ketengahkan 14 calon di lima kerusi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan dua kerusi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dalam Pilihan Raya 2025 (GE2025), kata setiausaha agungnya, Encik Lim Tean pada 18 April.
Kerusi-kerusi tersebut termasuk SMC Potong Pasir, Mountbatten, Radin Mas, Queenstown dan Yio Chu Kang, serta GRC Jalan Besar dan GRC Tanjong Pagar.
PAR tidak akan bertanding di SMC Marymount, Kebun Baru dan Jalan Kayu sebagai pertimbangan terhadap “kepentingan parti-parti lain dan gerakan mereka,” kata Encik Lim.
Bercakap kepada wartawan di Pasar dan Pusat Makanan Pek Kio, yang terletak di sempadan GRC Jalan Besar dan Tanjong Pagar, beliau berkata: “Ini adalah keputusan yang tidak akan kami tarik balik.”
Encik Lim merujuk kepada kerusi-kerusi yang telah diputuskan untuk ditandingi oleh PAR, lapor The Straits Times (ST).
Ini bermakna kerusi SMC Potong Pasir berpotensi menyaksikan pertandingan tiga penjuru, dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Rakyat Singapura (SPP) turut bertanding. Peguam, Encik Alex Yeo, akan bertanding di bawah bendera PAP, menggantikan Anggota Parlimen (AP) tiga penggal, Encik Sitoh Yih Pin.
SPP belum mengumumkan calon mereka untuk Potong Pasir, tetapi parti tersebut telah merancang untuk menampilkan calon.
Mantan ketua SPP, Encik Chiam See Tong, telah memegang kerusi tersebut selama 27 tahun sejak 1984, sebelum Encik Sitoh memenanginya pada 2011.
Senarai calon PAR untuk Jalan Besar dan Tanjong Pagar masih belum muktamad.
Kedua-dua GRC ini berkemungkinan akan menyaksikan persaingan langsung dengan PAP yang memenangi kededuanya dengan selesa dalam pilihan raya lepas.
GE2025 akan diadakan pada 3 Mei – pilihan raya umum ke-14 sejak kemerdekaan – dengan semua kawasan dipertandingkan untuk kali ketiga sejak 2015. Terdapat 15 SMC dan 18 GRC yang akan dipertandingkan.
PAR adalah gabungan tiga parti iaitu Parti Suara Rakyat (PV), Parti Pembaharuan (RP) dan Parti Progresif Demokratik (DPP). Parti Kuasa Rakyat (PPP) menarik diri pada Februari disebabkan perbezaan strategi.
Pada 18 April, Encik Lim memperkenalkan dua calon baru: Cik Vigneswari Ramachandran, pendidik awal kanak-kanak, yang akan bertanding di GRC Jalan Besar dan Encik Mahaboob Batcha, pengarah syarikat minyak dan gas, yang akan bertanding di Queenstown.
Ini penambahan dari empat calon yang telah diumumkan sebelum ini: Encik Lim, Encik Mohamad Hamim, Encik Chiu Shin Kong, dan Encik Michael Fang yang akan bertanding di Yio Chu Kang.
Manifesto PAR akan diterbitkan sebelum Hari Penamaan Calon pada 23 April, dengan fokus kepada lima isu utama: kos sara hidup, perumahan awam, ketidakpastian pekerjaan, imigresen, dan reformasi institusi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg