Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeguam Firdaus Daud dikerah ke kawasan undi Kembangan
Beliau ambil alih tanggungjawab akar umbi Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Peguam, Encik Ahmad Firdaus Daud akan mengambil alih tanggungjawab akar umbi mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim di Kembangan, menurut The Straits Times.
Mulai 1 September, calon simpanan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) itu akan menjadi penasihat kedua bagi pertubuhan akar umbi Kembangan yang sebelum ini diselia Dr Faishal, menurut Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, pada 28 Ogos sebagai menjawab pertanyaan The Straits Times.
Encik Seah, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, berkata Encik Firdaus bukanlah orang baharu dalam kerja akar umbi dan penyertaannya “pasti akan mengukuhkan pasukan”.
Encik Firdaus juga sudah bertemu AP lain dalam GRC itu serta pemimpin akar umbi utama, tambahnya.
Menurut Encik Seah, Encik Firdaus juga akan memainkan peranan penting dalam perkara berkaitan masyarakat Melayu/Islam di Kembangan.
Para sukarelawan parti dimaklumkan dalam satu acara mendekati penduduk pada 23 Ogos bahawa Encik Firdaus akan mengambil alih tanggungjawab akar umbi Dr Faishal pada September, kata seorang sukarelawan yang enggan namanya didedahkan.
Dalam satu catatan Facebook pada 27 Ogos, Encik Seah memuat naik gambar Encik Firdaus bersama empat AP GRC berkenaan yang masih kekal, semasa acara tersebut – pengagihan baucar Hari Kebangsaan kepada penduduk Kembangan.
Dalam catatan itu, Encik Seah berkata beliau “gembira dapat turun padang bersama-sama sebagai satu pasukan GRC dan juga bersama para sukarelawan hujung minggu lalu, mengagihkan baucar Hari Kebangsaan kepada penduduk Kembangan”.
Beliau menambah bahawa acara tersebut merupakan peluang baik untuk mereka berkumpul, mengenali satu sama lain dengan lebih baik dan bekerja sebagai satu pasukan bagi menjaga kepentingan penduduk di Kembangan.
Encik Firdaus, 42 tahun, merupakan calon simpanan PAP pada Pilihan Raya Umum 2025. Selepas pilihan raya itu, beliau dilantik sebagai penasihat kedua bagi pertubuhan akar umbi di Punggol di bawah Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan terlibat dalam kerja akar umbi di kawasan tersebut.
Encik Seah memberitahu ST bahawa Encik Firdaus akan terus memegang jawatan sebagai penasihat akar umbi kedua di Punggol buat sementara waktu, tetapi akan melepaskan peranan itu untuk memberi tumpuan kepada Kembangan.
Encik Seah menambah bahawa beliau telah mencapai persetujuan mengenai aturan tersebut dengan Encik Gan.
Empat AP GRC itu – Encik Seah, Encik Goh Pei Ming, Cik Tin Pei Ling dan Cik Diana Pang – akan terus menyokong kerja di Kembangan dan menantikan pelantikan Encik Firdaus, katanya.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Encik Seah berkata beliau gembira Encik Firdaus dapat turut serta supaya penduduk masyarakat Melayu/Islam kawasan tersebut dapat dijaga dengan lebih baik.
Sebagai penasihat kedua, beliau berkata peranan Encik Firdaus di Kembangan tidak berbeza dengan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini di Punggol.
Malah, beliau menjangkakan Encik Firdaus “akan sangat aktif di Kembangan”.
“Lama-kelamaan, peranan (Encik Firdaus) akan berkembang,” kata Encik Seah.
“Sebagai ketua bagi keseluruhan GRC ini, saya akan terus memberi lebih perhatian dan bekerjasama dengan Firdaus dan pemimpin akar umbi untuk berkhidmat kepada penduduk sebaik mungkin.”
Beliau menambah penasihat akar umbi yang lain akan terus menyokong Encik Firdaus, pemimpin akar umbi Kembangan serta penduduk di sana.
Perkembangan itu berlaku kira-kira sebulan selepas Dr Faishal meletakkan jawatan daripada jawatan politik, Parlimen dan PAP pada 20 Julai berhubung interaksi tidak wajar dengan seorang wanita.
Dr Faishal turut meninggalkan jawatannya sebagai penasihat akar umbi di Kembangan, peranan yang biasanya disandang oleh AP PAP yang sedang berkhidmat.
Sejak peletakan jawatan Dr Faishal, empat AP GRC Marine Parade-Braddell Heights yang masih kekal telah membahagikan tanggungjawab bagi kawasan Kembangan dalam GRC tersebut sementara menantikan pelantikan penasihat akar umbi baharu.
Encik Seah memberitahu media pada awal Ogos bahawa ketiadaan penasihat akar umbi Melayu/Islam adalah sesuatu yang “tidak diingini” dan beliau berharap peranan itu dapat diisi.
