Campur tangan awal adalah langkah penting untuk menangani kesan negatif akibat radikalisme, kata Presiden Taman Bacaan, Encik Abdul Halim Kader.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada 16 Julai susulan Arahan Sekatan (RO) yang dikenakan ke atas dua warga Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 15 Julai, kedua-dua individu itu – pelajar Menengah Tiga berusia 14 tahun dan bekas penjawat awam berusia 33 tahun – menjadi radikal sendiri melalui wadah dalam talian susulan konflik Israel-Hamas yang masih berlarutan.
Encik Halim berkata: “Kami amat bimbang dengan RO yang dikenakan baru-baru ini kepada seorang dewasa warga Singapura yang telah diberi amaran pada 2021 tentang ancaman keselamatannya.
“Walaupun amaran ini telah diberikan, dia terus terlibat dalam aktiviti radikal di media sosial, sekali gus menyerlahkan keperluan untuk sentiasa berwaspada.
“Tambahan juga, radikalisasi remaja berusia 14 tahun, individu paling muda yang menerima RO, adalah peringatan jelas bahawa ibu bapa, waris dan penjaga mesti proaktif dalam mencegah penyebaran ideologi ekstremis.”
Beliau juga menggesa agar ibu bapa, waris dan penjaga berwaspada dan peka terhadap kegiatan anak-anak, termasuk libatkan diri secara aktif melalui interaksi untuk mengesan tanda-tanda awal radikalisasi, di samping melaporkan sebarang perilaku atau kegiatan ekstremis kepada pihak berkuasa dengan serta-merta.
“
“Kami amat bimbang dengan RO (Arahan Sekatan) yang dikenakan baru-baru ini kepada seorang dewasa warga Singapura yang telah diberi amaran pada 2021 tentang ancaman keselamatannya... (tetapi) dia terus terlibat dalam aktiviti radikal di media sosial...”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg