Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cara juruterbang, lapangan terbang tangani serangan burung

Di S’pura, CAAS, CAG bekerja rapat ambil langkah sesuai kurangkan bahaya hidupan liar
Feb 17, 2025 | 4:36 PM
Anggota bomba memadamkan api pada pesawat Jeju Air yang tergelincir dari landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Wilayah Jeolla Selatan, Korea Selatan, pada 29 Disember.
Anggota bomba memadamkan api pada pesawat Jeju Air yang tergelincir dari landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Wilayah Jeolla Selatan, Korea Selatan, pada 29 Disember. - Foto AFP

Pada November 2024, seorang juruterbang Scoot dengan 13 tahun pengalaman berhadapan dengan serangan burung buat kali pertama dalam kerjayanya.

Pesawat itu sedang dalam perjalanan untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket di Thailand apabila kapten yang berpangkalan di Singapura itu berkata beliau terdengar dentuman kuat dan dapat rasakan sesuatu melanggar muncung pesawat.

Juruterbang yang berusia dalam lingkungan 40-an tahun itu memeriksa alat kawalan bagi memastikan tiada kerosakan pada pesawat.

Beliau memutuskan adalah lebih selamat untuk mendarat terlebih dahulu sebelum memastikan apakah yang berlaku.

“Sejujurnya, ia tidak begitu menakutkan,” kata juruterbang yang meminta agar namanya dirahsiakan kerana beliau tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Setelah memeriksa pesawat di darat, jurutera mendapati terdapat adanya calar pada muncung dan sayap pesawat.

Pesawat itu kemudian digantung operasi selama hampir seminggu untuk proses pembaikan, jelas juruterbang tersebut.

Serangan burung menarik perhatian susulan kejadian nahas Jeju Air di Korea Selatan pada Disember 2024.

Pesawat Boeing 737-800 itu terbakar selepas melanggar tembok semasa pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, yang mengorbankan 179 orang di dalam pesawat.

Salah seorang juruterbangnya telah melaporkan serangan burung sebelum nahas berlaku.

Penemuan awal menunjukkan enjin pesawat tersebut mengandungi DNA itik dan bulu burung, dan siasatan masih dijalankan.

Serangan burung adalah perlanggaran antara burung dengan pesawat yang sedang terbang, biasanya semasa berlepas atau mendarat di altitud rendah.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), sekitar 61 peratus serangan burung ke atas pesawat awam di negara itu berlaku semasa pendaratan, manakala 36 peratus pula berlaku semasa berlepas.

Selain itu, FAA menyatakan bahawa kira-kira 54 peratus serangan burung di Amerika berlaku antara Julai dengan Oktober, ketika burung muda meninggalkan sarang mereka dan penghijrahan musim luruh berlaku.

Di Singapura, tiada kejadian serius akibat serangan burung pernah berlaku di Lapangan Terbang Changi, kata timbalan ketua pengarah, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Encik Alan Foo, kepada The Straits Times (ST) pada 11 Februari.

Beliau berkata CAAS memantau trend keselamatan berkaitan hidupan liar dengan pengendali lapangan terbang, Changi Airport Group (CAG), dan bekerja rapat dengannya untuk memastikan langkah yang diambil sesuai dan berkesan dalam mengurangkan bahaya hidupan liar.

Sebelum ini, anggota Kelab Senjata Api Singapura terlibat dalam kegiatan menembak burung – terutama yang lebih besar – dan dianggap mengancam keselamatan penerbangan.

Ini telah menimbulkan kemarahan aktivis haiwan dan pakar zoologi.

Menurut kelab tersebut, kaedah pemburuan burung itu dihentikan sejak 2015.

Sejak November 2023, CAG telah menguji penggunaan teknologi analitik video untuk mengenal pasti dan memantau pergerakan hidupan liar di landasan.

CAG turut menggunakan pelbagai alat untuk menghalang burung daripada memasuki lapangan terbang, termasuk peranti akustik jarak jauh – menyerupai alat pembesar suara – yang memancarkan gelombang bunyi sejauh tiga kilometer untuk menakutkan burung.

Juruterbang syarikat penerbangan berdaftar Singapura dikehendaki melaporkan semua kejadian serangan burung di Singapura dan luar negara kepada CAAS, dan semua juruterbang yang terbang di atau sekitar lapangan terbang Changi dan Seletar perlu melaporkan serangan burung kepada pengawal trafik udara CAAS, kata Encik Foo.

Beliau menyatakan bahawa pegawai kawalan trafik udara CAAS dilatih untuk menangani serangan burung dengan cara yang serupa dengan kecemasan dan operasi luar biasa lain, dengan keselamatan diutamakan.

Mengenang kembali penerbangannya ke Changi sekitar 10 tahun lalu, Encik Logason Sinnatamby, bekas juruterbang Singapore Airlines yang berpengalaman selama 25 tahun, berkata pengawal trafik udara telah memaklumkan kepadanya tentang kemunculan burung di landasan dan bertanya sama ada beliau akan terbang berkeliling bagi mengelak burung itu.

Encik Logason meneruskan pendaratan kerana pesawat itu masih mempunyai baki bahan api yang sedikit.

Beliau kemudian mendapati burung di landasan itu sudah mati sebelum pendaratan, jadi “ia tidak penting”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg