Satu lagi lonjakan monsun dijangka melanda Singapura dari 17 hingga 19 Januari, selepas lonjakan pertama dari 10 hingga 13 Januari menyaksikan banjir kilat, pokok tumbang dan suhu jatuh serendah 21.6 darjah Celsius di Newton.
Sebahagian jalan di Mountbatten turut dilanda banjir sehingga pejalan kaki dan kenderaan terpaksa meredah air yang mencapai paras buku lali, lapor The Straits Times (ST).
Rencana ini menyusun panduan daripada pakar tentang bagaimana pengguna jalan raya boleh memastikan keselamatan mereka semasa banjir.
Para pakar menasihatkan pemandu dan penunggang motosikal untuk mengelakkan daripada berada di jalan raya semasa banjir kilat demi keselamatan mereka.
Agensi air negara, PUB, menyarankan agar pemandu tidak memandu apabila paras air sudah mencapai ketinggian bebendul jalan atau apabila garisan jalan tidak lagi kelihatan.
Air banjir boleh merosakkan sistem elektrik kenderaan, serta mengganggu fungsi brek dan stereng, kata Encik Jackson Lin, pemilik bengkel kereta, TT Motorsport.
Enjin kereta juga boleh mengalami ‘hydrolock’ – keadaan di mana cecair memasuki silinder enjin – yang boleh menyebabkan enjin kereta mati, kata Encik Gilbert Ng, pengarah bengkel kereta, Accord Auto Services.
Menurut Encik Bernard Tay, pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura, memandu ketika banjir juga boleh meningkatkan risiko penyatahan air, atau aquaplaning – di mana tayar tidak mencecah permukaan jalan kerana terdapat lapisan air.
PUB menyarankan supaya kenderaan mengambil lorong tengah kerana air selalunya berkumpul di bahagian sisi jalan.
Dalam situasi enjin kereta mati, elakkan daripada menghidupkannya semula, sebaliknya, nyalakan lampu kecemasan, hubungi bantuan dan tuju ke kawasan lebih tinggi, tambah PUB.
Pemandu dinasihatkan mengekalkan kelajuan yang stabil dan elak menekan brek untuk mengurangkan kemungkinan enjin kereta mati, tambah Encik Ng.
Encik Tay pula menasihatkan supaya pemandu memastikan jarak yang mencukupi antara kenderaan mereka dengan kenderaan di hadapan, kerana dalam keadaan basah, fungsi brek mungkin terjejas.
Jika hujan lebat dijangka berlaku, pemandu dinasihatkan untuk memastikan tayar kenderaan mereka berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, jelas pakar.
Pemandu juga perlu memastikan pengelap cermin depan berfungsi dengan baik, tambah Encik Tay.
Penunggang motosikal pula disarankan untuk memakai pakaian kalis cuaca, serta memeriksa fungsi lampu motosikal, kata Encik Hakim Zainol Abidin, pemilik bengkel motosikal, Bear’s Garage.
PUB turut menggesa pemandu agar merancang laluan mereka dengan mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui aplikasi mudah alih, myENV, dan saluran Telegram Amaran Banjir PUB (PUB Flood Alerts).
Dalam keadaan banjir teruk, pengendali bas SBS Transit dan Go Ahead berkata pemandu mereka akan memberhentikan bas dan menghubungi pusat kawalan operasi masing-masing untuk mendapatkan panduan.
Pusat kawalan SBS Transit akan mengarahkan kapten bas untuk mengambil laluan alternatif jika laluan asal tidak dapat dilalui akibat banjir, kata jurucakap SBS Transit, Cik Grace Wu.
Pemandu bas juga akan menasihatkan penumpang supaya tidak turun di perhentian bas yang dilanda banjir demi keselamatan mereka, tambahnya.
Pusat kawalan Go Ahead pula akan memberikan panduan kepada kapten bas untuk memberhentikan bas di lokasi selamat sekiranya banjir teruk, atau meneruskan perjalanan dengan berhati-hati jika keadaan banjir masih terkawal.
Mereka yang melalui kawasan banjir disarankan untuk berpatah balik dan bergerak ke tempat yang lebih tinggi kerana paras air boleh meningkat dengan cepat, kata PUB.
Pejalan kaki juga harus mengelakkan berjalan melalui air yang melebihi paras buku lali dan, jika perlu, berjalan di kawasan di mana air tidak mengalir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg