Langkah menyediakan perlindungan kepada pekerja platform seperti keperluan caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan pampasan kewangan sekiranya mengalami cedera semasa bekerja akan membawa kepada kenaikan kos perniagaan.
Namun masyarakat harus bersedia membayar lebih sedikit supaya masa depan golongan kerja itu terjamin, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon.
Dalam bacaan kedua Rang Undang-Undang Pekerja Platform di Parlimen pada 9 September, Dr Koh berkata pemerintah menyedari terdapat keprihatinan tentang kenaikan kos akibat langkah-langkah perlindungan yang akan dilaksanakan untuk pekerja platform.
Namun, beliau berkata pemerintah akan melaksanakan langkah-langkah untuk menangani kesannya ke atas pihak berkepentingan.
“Pengenalan perlindungan CPF dan pampasan kecederaan semasa bekerja (WIC) secara tidak dapat dielakkan akan membawa kepada beberapa kenaikan kos perniagaan, tetapi saya fikir sebagai masyarakat, jika kita percaya bahawa kita harus menyediakan beberapa perlindungan teras untuk pekerja platform kita, kita harus bersedia untuk membayar lebih sedikit untuk membantu pekerja platform menjamin masa depan mereka.
“Malah, tinjauan kami menunjukkan bahawa ramai pengguna sememangnya bersedia berbuat demikian, dan saya gembira dengan gambaran kompak sosial kita yang kukuh ini,” kata beliau.
Lebih 10 Anggota Parlimen (AP) menyertai perbahasan mengenai rang undang-undang itu pada 9 September, dengan Parti Pekerja (WP) berkata mereka menyokong rang tersebut.
Namun, keadaan dalam Dewan berubah tegang selepas AP pembangkang, Encik Gerald Giam (Aljunied), mempersoalkan hubungan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dengan Parti Tindakan Pekerja (PAP) sebagai parti pemerintah dan sama ada hubungan simbiotik ini akan berterusan jika PAP tidak lagi membentuk pemerintah.
Hujah itu mencetuskan bantahan oleh beberapa AP PAP, termasuk Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, Encik Christopher de Souza (Holland-Bukit Timah), dan Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Encik Heng Chee How (Jalan Besar), yang berkata usaha Gerakan Pekerja untuk melindungi pekerja harus diiktiraf.
Dalam hujahnya, Cik Indranee mengingatkan WP dan Dewan bahawa tujuan utama perbahasan adalah untuk meluluskan undang-undang baru untuk melindungi pekerja platform dan bukan meraih kelebihan politik.
Terdapat sekitar 70,000 pekerja platform di Singapura sehingga 2023, yang membentuk sekitar 3 peratus tenaga kerja.
Jika Rang Undang-Undang Pekerja Platform tersebut diluluskan, langkah-langkah yang memastikan pekerja platform mendapat perlindungan dan perwakilan sewajarnya sebagaimana yang dinikmati pekerja biasa hari ini akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2025.
Ini termasuk memerlukan syarikat dan pekerja platform membuat caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) demi memastikan golongan pekerja itu mempunyai simpanan mencukupi bagi perumahan dan persaraan.
Langkah ini mandatori bagi pekerja platform yang lahir pada 1995 dan selepasnya, manakala mereka yang lahir sebelum 1995 boleh memilih untuk menyumbang kepada CPF pada bila-bila masa melalui laman web CPF mulai November.
Namun, keputusan ini tidak boleh diubah.
Kadar caruman CPF akan dinaikkan secara bertahap, dengan kenaikan kadar sumbangan purata 2.5 peratus bagi pekerja platform dan 3.5 peratus bagi syarikat platform setiap tahun sehingga ia mencapai kadar semasa yang disumbang pekerja biasa hari ini menjelang 2029.
Dalam usaha mengurangkan kebimbangan pekerja platform tentang gaji yang dibawa pulang, pemerintah sebelum ini telah mengumumkan mereka akan membiayai sepenuhnya caruman tambahan yang perlu dibuat pekerja platform bergaji rendah dalam tahun pertama apabila langkah caruman CPF itu dilaksanakan pada 2025.
Setelah tahun pertama, sokongan itu akan dikurangkan sepanjang tempoh tiga tahun – 75 peratus kadar kenaikan pada 2026; 50 peratus pada 2027; dan 25 peratus pada 2028.
Dr Koh berkata tanggungjawabnya terletak pada syarikat platform untuk membayar kedua-dua bahagian caruman CPF syarikat dan pekerja kepada Lembaga CPF setiap bulan.
Selain itu, syarikat platform juga akan perlu menyediakan insurans WIC pada tahap liputan yang sama seperti pekerja biasa di bawah Akta Pampasan Kecederaan di Tempat Kerja (Wica).
Pekerja layak mendapatkan WIC jika mereka cedera hanya ketika sedang menjalankan tugas platform, iaitu mengambil dan menghantar barangan atau penumpang.
Jika mereka mengalami kecederaan semasa sedang menanti tugas masuk, mereka tidak akan layak mendapat pampasan memandangkan pekerja platform mempunyai pilihan melakukan kegiatan sendiri semasa tempoh itu, kata Dr Koh.
“Adalah tidak adil melanjutkan liabiliti syarikat platform kepada kegiatan yang tidak berkaitan dengan kerja,” kata beliau.
Rang tersebut juga menyediakan rangka kerja perwakilan undang-undang, dengan Persatuan Kerja Platform (PWA) boleh mewakili golongan pekerja itu dalam rundingan bersama syarikat platform, serupa dengan cara kesatuan sekerja mewakili pekerja.
Dr Koh berkata Singapura merupakan antara negara pertama di dunia yang menyediakan perlindungan berkanun buat pekerja platform sebagai kumpulan pekerja yang berbeza daripada pekerja biasa dan individu yang bekerja sendiri.
“Pendekatan ini mengekalkan fleksibiliti kerja platform yang diinginkan kedua-dua pihak, dan mencapai matlamat kami untuk melindungi pekerja platform dengan lebih baik,” kata beliau.
Perbahasan diteruskan pada 10 September.
“
Sebulan lalu, semasa ‘Encik T’ (seorang pekerja platform) melakukan kerja penghantaran, beliau telah dilanggar oleh sebuah kenderaan dalam insiden langgar lari. Dia mengalami kecederaan serius dan dimasukkan ke hospital selama dua minggu. Malangnya, insuransnya terhad kepada pihak ketiga, yang menyebabkan dia tidak mempunyai sebarang pampasan untuk kecederaan atau kerosakan pada kenderaannya...Oleh itu, rang undang-undang ini merupakan satu langkah baik untuk memberi pekerja platform kita perlindungan kewangan, meliputi kecederaan kerja, perumahan dan kecukupan persaraan.“
Jelas bahawa sekiranya kita mengiktiraf pekerja platform sebagai seperti pekerja, adalah adil pekerja platform kita dilindungi oleh CPF. Syarikat platform...perlu menyediakan bahagian CPF mereka sebagai sebahagian daripada kos perniagaan mereka. Ini akan menjadi kritikal dalam memastikan pekerja platform dibayar dengan adil untuk mata pencarian yang mampan dan akhirnya setanding dengan tenaga kerja yang lain untuk kerja yang mereka lakukan.“
Seperti yang dibangkitkan di Dewan ini pada 2017, satu bentuk perlindungan adalah untuk membenarkan mereka mempunyai perwakilan kolektif demi memastikan suara mereka didengari. Walaupun NTUC telah mewujudkan beberapa persatuan untuk pekerja platform didengar secara kolektif, persatuan ini tidak mempunyai hak untuk mewakili ahli mereka secara rasmi dalam sebarang pertikaian dengan syarikat platform. Rang undang-undang ini akan membolehkan pekerja platform bersatu secara kolektif untuk mewakili pandangan mereka dan berunding dengan syarikat platform.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg