Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlindungan insurans pampasan bagi pekerja platform cedera di tempat kerja

Sep 9, 2024 | 10:12 PM
Pembentangan Rang Undang-Undang Pekerja Platform oleh Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, telah diluluskan dewan yang bersidang pada 10 September.
Pembentangan Rang Undang-Undang Pekerja Platform oleh Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, telah diluluskan dewan yang bersidang pada 10 September. - Foto fail

Untuk memberikan pampasan kepada pekerja platform semasa pemulihan mereka daripada kecederaan yang dialami semasa bertugas, pengendali platform mesti memberikan pekerja mereka insurans pampasan kecederaan (WIC) di tempat kerja pada tahap perlindungan yang sama seperti pekerja di bawah Akta Pampasan Kecederaan di Tempat Kerja (Wica).

Pekerja platform mempunyai pilihan mengenai aktiviti mereka semasa menunggu pekerjaan, tetapi mereka tidak akan dilindungi untuk WIC dalam tempoh ini.

Pengendali platform perlu menggunakan Jumlah Potongan Perbelanjaan Tetap (Feda) pada pendapatan pekerja platform mereka untuk menyelaraskan proses bagi pampasan kecederaan di tempat kerja dan caruman CPF.

Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, semasa bacaan kedua Rang Undang-Undang Pekerja Platform di Parlimen pada 9 September berkata disebabkan fleksibiliti kerja platform, liabiliti untuk pampasan kecederaan yang dialami semasa bekerja harus dilakar berdasarkan risiko yang boleh diatasi oleh pihak berkepentingan secara praktikal.

Memandangkan pekerja platform mempunyai autonomi untuk memilih kenderaan yang digunakan dalam
melaksanakan tugas, di bawah Wica yang dipinda, terdapat dua situasi yang mana pekerja platform tidak akan layak mendapat pampasan kecederaan kerja.

Pertama, jika kecederaan itu disebabkan oleh penggunaan kenderaan yang diubah suai secara haram, atau kedua, jika pekerja platform tidak mempunyai lesen untuk mengendalikan kenderaan yang digunakan.

Dalam pada itu, Dr Koh berkata untuk pekerja platform yang cedera semasa menjalankan tugas untuk pengendali platform yang berbeza pada masa yang sama, liabiliti akan terhad kepada satu pengendali platform jika boleh, untuk memudahkan pemprosesan tuntutan.

Beliau menambah, jika pekerja platform cedera semasa melakukan tugas dalam perkhidmatan platform tertentu, pampasan akan berdasarkan pendapatan masa lalu pekerja, daripada semua pengendali platform dalam perkhidmatan platform itu.

Ini bermakna jika pekerja platform melakukan tugas ‘pengambilan’ dan ‘penghantaran’ untuk pengendali platform berbeza pada masa yang sama, hanya pengendali platform tugas ‘penghantaran’ akan bertanggungjawab.

Ini kerana pekerja platform masih boleh memilih untuk menolak pekerjaan semasa peringkat ‘pengambilan’ tetapi komited untuk memenuhi tugas di peringkat kerja ‘penghantaran’ apabila penumpang atau barang berada bersama mereka, kata Dr Koh.

Beliau menambah, jika terdapat berbilang pengendali platform yang bertanggungjawab, liabiliti akan dibahagikan berdasarkan pendapatan pekerja platform daripada setiap pengendali platform yang bertanggungjawab.

“Sekiranya pekerja platform sedang melakukan ‘penghantaran’ untuk dua pengendali platform A dan B,
liabiliti pampasan akan dibahagikan kepada kededua pengendali platform berdasarkan pendapatan pekerja platform dengan setiap pengendali platform sepanjang 90 hari yang lalu.

“Pampasan pekerja platform akan merujuk kepada pendapatannya dalam tempoh 90 hari sebelum tarikh kemalangan.

“Pekerja platform yang cedera semasa menyelesaikan kerja-kerja ‘pengambilan’ dan ‘penghantaran’ pada masa yang sama, iaitu kededua perkhidmatan platform secara serentak, akan menerima pampasan berdasarkan pendapatan daripada perkhidmatan yang lebih tinggi,” tambah beliau.

Walaupun pekerja platform akan dilindungi sekiranya berlaku kecederaan di tempat kerja, Dr Koh menambah bahawa pengendali platform dan pekerja harus bekerjasama untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya kecederaan di tempat kerja dan mengambil tindakan pemulihan jika perlu.

Rang Undang-Undang Pekerja Platform yang telah dibahaskan di Parlimen telah diluluskan dewan yang bersidang pada 10 September.

“Pampasan pekerja platform akan merujuk kepada pendapatannya dalam tempoh 90 hari sebelum tarikh kemalangan. Pekerja platform yang cedera semasa menyelesaikan kerja-kerja ‘pengambilan’ dan ‘penghantaran’ pada masa yang sama, iaitu kededua perkhidmatan platform secara serentak, akan menerima pampasan berdasarkan pendapatan daripada perkhidmatan yang lebih tinggi.”
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg