Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Catat kejayaan besar walau lapan tahun buru diploma

Tercicir dari Institut Millenia tidak patah semangat, bakal sertai Pasukan Polis Singapura yang tampung yuran pengajian
May 19, 2025 | 5:30 AM
 Radin Andika Radin K
Encik Radin Andika Radin K merupakan antara pelajar Politeknik Ngee Ann yang tamat pengajian pada 7 Mei. Beliau meraih Diploma Kejuruteraan Mekanikal dengan Gred Mata Purata (GPA) 3.9 daripada mata penuh 4.0. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Walaupun latar belakang mereka berbeza, dengan ada yang mengharungi cabaran peribadi, dan ada yang meneroka peluang dalam bidang baru yang pesat berkembang, semua lulusan politeknik ini bertekad membawa perubahan dan memberi kesan dalam kehidupan lain.

Sepanjang pengajian mereka di politeknik, semangat itu menyerlah, dan mereka kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan.

Ketika rakan sebayanya sedang melangkah ke universiti, memulakan kerjaya dan membangunkan keluarga, Encik Radin Andika Radin K, 26 tahun, baru sahaja menamatkan pengajian diploma di Politeknik Ngee Ann (NP) pada 7 Mei.

Menurutnya, ia satu pencapaian besar selepas menelusuri pelbagai liku kehidupan sejak tercicir dari Institut Millenia (MI) pada Disember 2018.

“Saya ambil masa lapan tahun untuk tamatkan pengajian peringkat tertiari. Tetapi akhirnya, saya sampai juga ke garisan penamat.

“Ia seolah-olah semua kesukaran yang saya lalui telah membawa saya ke detik ini,” ujar Encik Radin yang meraih Diploma Kejuruteraan Mekanikal dengan Gred Mata Purata (GPA) 3.9 daripada mata penuh 4.0.

Encik Radin turut dianugerahkan Pingat Perak daripada The Singapore Mint kerana meraih prestasi kedua paling cemerlang dalam kohortnya.

Sebelum ini, beliau terkial-kial selama tiga tahun di MI, sehingga tercicir dari sekolah itu.

Beliau kemudian menjalani Perkhidmatan Negara (NS) pada Ogos 2019.

Menurut anak bongsu dua beradik itu, NS adalah fasa kehidupan yang mengubah perspektif dan kematangannya, lebih-lebih lagi selepas bapanya diserang angin ahmar ringan.

“Apabila ayah jatuh sakit, saya tersedar saya perlu melangkah ke fasa hidup yang seterusnya.

“Saya mahu bantu ringankan beban kewangan keluarga, terutamanya bantu kakak saya yang sudah bekerja sepenuh masa, dan ibu yang pada masa itu berhenti kerja sementara,” jelas Encik Radin.

Selepas tamat NS pada Ogos 2021, Encik Radin bekerja sambilan selama lapan bulan sebelum memulakan pengajian di NP pada April 2022.

Sepanjang tahun pertamanya di NP, beliau bekerja sambilan di kedai barangan sukan Decathlon, menjadualkan syif kerjanya pada waktu pagi jika beliau ada kelas di sebelah petang, dan sebaliknya.

Namun, titik perubahan besar hadir apabila beliau menerima Tajaan Diploma Home Team pada tahun kedua di NP, yang bukan sahaja menampung yuran pengajiannya, bahkan memberinya peluang bekerja dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) selepas tamat pengajian.

“Sejak NS, saya memang minat bidang polis, tapi kelayakan tertinggi saya ketika itu hanya Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’. Saya sedar bahawa untuk maju, saya perlukan sekurang-kurangnya diploma,” kata Encik Radin.

Semangat untuk memberi kembali kepada masyarakat bukan sesuatu yang baru dalam hidupnya. Sejak sekolah menengah lagi, konsep itu telah disemai dalam dirinya.

Pelibatannya dalam misi khidmat masyarakat di Kemboja dan sokongan terhadap pekerja migran melalui inisiatif pertubuhan bukan pemerintah (NGO), ItsRainingRaincoats, telah memperkukuh nilai empati dan tanggungjawab sosialnya.

“Bapa saya dulu bekerja sebagai jurutera dalam sektor pembinaan. Saya lihat bagaimana beliau layan pekerja migran dengan penuh hormat. Itu pengajaran hidup yang saya bawa hingga kini,” kongsi Encik Radin.

Kini, selepas menempuh jalan berliku dan penuh cabaran, Encik Radin bukan hanya lulusan politeknik, beliau bahkan juga seseorang yang sedia memimpin orang lain.

Di NP, beliau melihat dirinya sebagai ‘abang’ kepada rakan sekelas yang lebih muda, dan sering memberi mereka nasihat agar tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilaluinya.

“Setiap orang ada garis masa mereka sendiri. Dulu saya selalu bandingkan diri dengan orang lain.

“Tapi sekarang saya tahu, yang penting adalah kita tidak berputus asa dan terus mencari makna dalam kehidupan,” jelasnya.

Encik Radin kini bersiap sedia untuk melangkah ke fasa seterusnya sebagai pegawai polis, dan turut berharap beliau akan dapat melanjutkan pengajiannya ke peringkat universiti satu hari nanti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg