Topik diikuti
Pergi ke BHkuCawangan baru The Sports Arina di Jalan Kayu tawar gelanggang tertutup bagi pelbagai sukan
Cawangan baru The Sports Arina di Jalan Kayu tawar gelanggang tertutup bagi pelbagai sukan
Cawangan baru The Sports Arina di Jalan Kayu tawar gelanggang tertutup bagi pelbagai sukan
Sejak pembukaan awal The Sports Arina (TSA) @ Jalan Kayu pada Mei lalu, hampir setiap hari Encik Masri Abdul Rahman mengunjungi lokasi tersebut untuk bermain bola pikel, malah adakalanya beliau mengunjunginya sehingga dua kali sehari.
Oleh kerana kemudahan yang dilengkapi 10 gelanggang bola pikel berhawa dingin itu terletak berhadapan dengan rumahnya, ia kini menjadi lebih mudah bagi penjawat awam tersebut untuk meluangkan masa bermain sukan berkenaan.
Penduduk Jalan Kayu itu mula meminati sukan bola pikel sejak setahun lalu.
Beliau lazimnya akan bermain sebanyak tiga hingga empat kali seminggu, meskipun sesi permainannya sebelum ini sering bergantung kepada faktor cuaca dan juga kekosongan gelanggang.
Sebelum TSA dibuka, gelanggang terdekat bagi Encik Masri terletak di Pusat Sukan Sengkang, yang mengambil masa 15 minit berjalan kaki.
Namun, masa permainannya di sana agak terhad kerana gelanggang tersebut berada di kawasan terbuka yang membuatnya terdedah kepada keadaan cuaca – satu kebimbangan yang tidak perlu dihadapi lagi olehnya sekarang.
Di kemudahan baharu ini, penjawat awam berusia 47 tahun itu juga berpeluang untuk beramah mesra dan mengenali lebih ramai penduduk di kawasan kejiranan tersebut.
“Perkara paling baik tentang tempat ini adalah saya dapat mengenali jiran-jiran saya di gelanggang, bukannya di blok perumahan atau di lobi lif. Tempat ini sudah menjadi satu lagi ruang masyarakat untuk kami beramah mesra dan bermain sukan bersama,” cerita Encik Masri.
Kemudahan itu dibuka secara rasmi pada 12 Julai, sekali gus menjadi cawangan kedua TSA selain kemudahan sedia ada di Expo.
Selain 10 gelanggang bola pikel, kemudahan baharu seluas 80,000 kaki persegi ini turut menyediakan gelanggang bagi pelbagai sukan lain.
Ini termasuk satu dewan badminton dengan empat gelanggang berhawa dingin serta tiga gelanggang padel yang dilengkapi kamera bersistem kecerdasan buatan (AI) bagi merakam perlawanan.
Bagi pemain futsal, mereka boleh memilih antara gelanggang terbuka melibatkan tujuh atau sembilan pemain, di mana kedua-duanya dilengkapi bumbung berjaring sebagai teduhan.
Kemudahan tersebut juga mempunyai gelanggang berteduh serupa untuk sukan bola keranjang atau bola jaring.
Sebagai kemudahan sukan privet terbesar di kawasan berkenaan, ia turut menempatkan akademi dan sekolah bagi sukan tenis meja, renang, bola sepak, gimnastik, bola pikel dan padel.
Ini termasuk akademi tenis meja milik pemenang pingat Olimpik, Feng Tianwei, yang diberi nama Feng Tianwei International Table Tennis Academy (FTTA), serta Sports Schooling milik juara Olimpik, Joseph Schooling, yang menawarkan program akuatik seperti kelas renang dan kecergasan air di dalam kolam bersuhu suam.
Sekolah Bola Sepak Lion City Sailors – iaitu sayap bola sepak belia peringkat akar umbi dan riadah juara Liga Perdana Singapura (SPL) itu – turut mengendalikan program untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun di cawangan TSA Jalan Kayu.
Selain sukan, kemudahan itu juga menyediakan studio ‘pilates’, rumah mandi dengan kolam ais, kolam air panas magnesium dan sauna, serta pusat penjagaan siang hari kanak-kanak.
Kemudahan terbaharu TSA yang menelan kos pembinaan sekitar $5 juta itu mempunyai visi untuk menjadi satu kemudahan bermutu tinggi dengan harga mampu milik dan mudah diakses oleh semua, kata rakan kongsi dan pengarah syarikat berkenaan, Encik Alan Kwek.
“Kami mempunyai ramai penduduk yang tinggal di sekitar kawasan TSA, jadi kami mahu memenuhi keperluan keluarga di sini dengan mewujudkan keseimbangan supaya ada sesuatu untuk semua orang – bagi golongan muda, ibu bapa serta datuk nenek.”
Sejak pembukaan awal kemudahan tersebut, hampir 1,000 penduduk Jalan Kayu telah mendaftar untuk keahlian atau faedah penduduk.
Ini termasuk keutamaan tempahan dua hari lebih awal, serta diskaun tempahan sebanyak 10 peratus pada waktu sibuk dan 20 peratus di luar waktu sibuk.
Anggota Parlimen (AP) Jalan Kayu, Encik Ng Chee Meng, yang menyerikan majlis pembukaan rasmi tersebut, berkata:
“Saya berharap dapat melihat kemudahan ini menjadi ruang masyarakat yang meriah di mana keluarga, rakan dan jiran tetangga boleh berhubung, kekal aktif dan meluangkan masa yang bermakna bersama-sama.”
