Menyusuli peningkatan semula kes Covid-19 di Singapura, satu kiriman teks mula tersebar dalam talian mendakwa varian itu tidak mencetuskan demam dan sukar dikesan, lantas menjadikannya lebih berbahaya.

Kededua Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dan pakar penyakit berjangkit menafikan dakwaan tersebut.

Mereka menegaskan, gejala varian terbaharu tetap sama seperti sebelumnya – daripada jangkitan pernafasan yang ringan hingga radang paru-paru yang serius.

Pengarah Kumpulan Program Penyakit Berjangkit di CDA, Profesor Madya Lim Poh Lian, menjelaskan varian utama yang menular ialah NB.1.8.1, yang merangkumi lebih separuh daripada kes yang dikesan di peringkat tempatan.

“Bukti semasa menunjukkan bahawa gejala yang dikaitkan dengan NB.1.8.1 sebahagian besarnya adalah serupa dengan gejala yang dilihat semasa gelombang terdahulu atau strain awal, yang merangkumi penyakit pernafasan yang ringan sehinggalah kepada penyakit parah seperti radang paru-paru.

“Gejala yang biasa dilaporkan termasuk demam, menggigil, batuk, sakit tekak, selesema, sakit kepala, keletihan, sakit otot, dan dalam sesetengah kes, gejala gastrousus seperti loya, muntah atau cirit-birit.

“Tiada sebarang petunjuk bahawa NB.1.8.1 atau varian lain yang sedang menular ketika ini adalah lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit yang lebih parah berbanding varian yang menular sebelum ini,” tambah Profesor Lim.

Mantan presiden Persatuan Mikrobiologi Klinikal dan Jangkitan Asia-Pasifik, Profesor Paul Tambyah, memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa kiriman teks itu “kelihatan seperti mesej lama memandangkan Covid-19 pertama kali muncul enam tahun lalu dan bukannya tiga tahun”, seperti yang dinyatakan dalam mesej berkenaan.

“Namun begitu, beberapa perkara dalam mesej tersebut adalah betul.

“Sesetengah orang tidak mengalami demam apabila terkena Covid-19. Kita sudah tahu tentang perkara itu sejak enam tahun lalu.

“Kita juga sedia maklum bahawa gejalanya boleh termasuk sakit tekak, hilang deria rasa, sakit badan dan gejala gastrousus serta pening kepala, terutama apabila berdiri, malah beberapa ketika selepas pulih daripada jangkitan SARS-CoV-2,” kata Profesor Tambyah.

Profesor Lim menambah dengan Covid-19 kini menjadi penyakit endemik di Singapura, seperti penyakit pernafasan endemik yang lain, gelombang jangkitan berkala dijangka berlaku sepanjang tahun.

Bilangan kes Covid-19 meningkat kepada 12,700 kes pada minggu 10 hingga 16 Mei, iaitu peningkatan kira-kira 59 peratus berbanding 8,000 kes pada minggu sebelumnya, ujar kenyataan CDA pada 21 Mei.