Jumlah kes Covid-19 meningkat kepada 12,700 dari 10 hingga 16 Mei, berbanding 8,000 pada minggu sebelumnya, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA).

Agensi itu berkata dalam satu kenyataan pada 21 Mei purata kemasukan harian ke hospital akibat Covid-19 meningkat daripada 56 kepada 73, dalam tempoh yang sama, dengan purata satu kes sehari di Unit Jagaan Rapi (ICU).

Hospital awam mampu menguruskan peningkatan kes tersebut, tambah agensi itu.

CDA berkata ia sedang memantau peningkatan jangkitan ini di Singapura.

“Seperti penyakit pernafasan endemik yang lain, gelombang Covid-19 dijangka berlaku sepanjang tahun dari semasa ke semasa,” kata agensi itu.

“Tiada petunjuk varian yang sedang menular di peringkat tempatan lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding varian sebelumnya,” jelas agensi itu lagi.

Peningkatan ini mungkin disebabkan beberapa faktor, termasuk penurunan ketahanan imun badan dalam kalangan penduduk, tambah agensi itu.

Varian NB.1.8.1 ialah varian utama yang sedang menular di sini, merangkumi lebih daripada separuh kes tempatan yang telah diuji secara genetik.

Vaksin semasa masih berkesan terhadap varian semasa, kata CDA.

CDA menasihatkan golongan berisiko tinggi mengalami Covid-19 teruk, termasuk mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, penghuni kemudahan penjagaan warga emas, dan individu mudah terjejas, yang berusia enam bulan dan ke atas, supaya mengambil vaksin terkini.

Petugas penjagaan kesihatan serta mereka yang tinggal bersama atau bekerja dengan individu yang mudah terjejas, juga digalakkan untuk menerima vaksin, kata CDA.

Orang lain yang berusia enam bulan dan ke atas yang ingin menerima vaksin Covid-19, juga boleh terus berbuat demikian.

CDA juga menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga, mengamalkan tanggungjawab peribadi serta sosial dengan menjaga kebersihan diri yang baik, mengurangkan pergaulan dan perjalanan yang tidak perlu ketika tidak sihat, serta memakai pelitup muka apabila mengalami gejala Covid-19.