Topik diikuti
Pergi ke BHkuCDA manfaat AI teraju usaha S’pura tangani penyakit berjangkit
CDA manfaat AI teraju usaha S’pura tangani penyakit berjangkit
Pemantauan, ramalan trend penyakit dipertingkat menerusi teknologi bagi tindakan lebih pantas
CDA manfaat AI teraju usaha S’pura tangani penyakit berjangkit
Dengan risiko ancaman pandemik lain sentiasa wujud, Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) sedang meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pemantauan penyakit, dedah Ketua Pegawai Eksekutif CDA, Profesor Vernon Lee.
Teknologi tersebut dapat melengkapkan strategi pemantauan sedia ada dengan menyemak laporan penyakit antarabangsa bagi membantu mengesan dan menilai potensi penularan wabak, jelas beliau.
Ia juga boleh mengusulkan langkah tindak balas bersesuaian terhadap wabak berkenaan, tambah Profesor Lee, yang juga profesor adjung di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Langkah CDA menerapkan keupayaan AI itu akan melengkapkan teknologi pemantauan sedia adanya, termasuk penjujukan genom (genomic sequencing) dan pemantauan air sisa.
CDA juga sedang meneroka penggunaan fungsi AI lain, seperti pengaturcaraan bahasa semula jadi (NLP) dan rangka kerja AI agentik, bagi memperkukuh keupayaan analisis data serta pemodelan penyakit berjangkit miliknya.
Langkah itu bertujuan memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan pemantauan dan ramalan trend penyakit, sekali gus menyediakan sokongan keputusan dasar berasaskan bukti yang lebih tepat pada masanya.
Profesor Lee menyatakan CDA juga telah menggunakan teknologi dalam bidang lain.
Ini termasuk platform baharu yang dibangunkan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menambah baik proses pemberitahuan data.
Ia selain makmal Kesihatan Awam Negara yang dilengkapi teknologi diagnostik terkini, penjujukan genom menyeluruh dan sistem untuk menyepadukan perkongsian data antara makmal.
Namun, beliau menegaskan tenaga manusia tetap penting dalam kerja CDA, dan AI dapat membantu meringankan beban tugas pekerja supaya mereka dapat menumpukan lebih perhatian kepada kegiatan analisis dan penggubalan dasar, dengan memanfaatkan data yang disediakan oleh teknologi tersebut.
“Kami lihat penggunaan teknologi ini sebenarnya boleh membantu memajukan keupayaan kami dengan jauh lebih pantas,” kata Profesor Lee, sambil menambah, langkah itu juga bermakna agensi tersebut perlu melatih pekerjanya dalam penggunaan teknologi berkenaan.
Kenyataan Profesor Lee itu dikeluarkan selepas sektor penjagaan kesihatan dikenal pasti sebagai salah satu daripada empat misi AI kebangsaan Singapura pada Februari lalu.
Beliau berkata demikian kepada The Straits Times (ST) di pejabat CDA yang terletak di Novena Square, dalam satu wawancara sempena ulang tahun pertama agensi tersebut beroperasi.
Diusulkan oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 2023 semasa perbahasan Parlimen mengenai Kertas Putih Covid-19, CDA ditubuhkan pada April 2025 untuk menyatukan usaha kesihatan awam dalam mengesan, mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.
Dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Profesor Kenneth Mak, agensi itu diketuai oleh Profesor Lee, yang sebelum ini merupakan Pengarah Eksekutif, Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) serta pernah terlibat dalam tindak balas Singapura terhadap pelbagai penyakit, termasuk wabak Zika pada 2016 dan pandemik Covid-19.
CDA merupakan lembaga berkanun terbaharu di Singapura sejak pelancaran Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) pada Disember 2019.
Agensi tersebut menggabungkan fungsi yang sebelum ini berada di bawah MOH, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan NCID.
Ia kini mempunyai lebih 400 kakitangan merangkumi pelbagai bidang seperti pemantauan, epidemiologi, siasatan kes dan pengesanan kontak serta penggubalan dasar.
Profesor Lee menyenaraikan beberapa daya usaha yang telah dijalankan CDA sepanjang 2025, seperti pengenalan rangka kerja kesediaan dan tindak balas pandemik pada Julai 2025.
CDA juga telah mengambil langkah untuk mempertingkatkan usaha pengambilan vaksin di Singapura, dengan menambah vaksin baharu bagi penyakit kayap dan pneumokokus ke dalam jadual imunisasi nasional, tambah beliau.
Ia turut melancarkan pelan induk One Health, satu usaha pelbagai agensi yang mengakui hubungan antara kesihatan manusia, haiwan dengan alam sekitar.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa penyakit berjangkit telah menjadi tajuk utama berita, di kededua peringkat setempat dan antarabangsa.
Ini termasuk penularan jangkitan hantavirus yang dikesan pada April lalu di atas kapal persiaran Belanda, MV Hondius, dengan dua penduduk Singapura merupakan antara penumpang di dalamnya.
Di Singapura, sebanyak 36 kes campak dilaporkan di sini setakat akhir Mei 2026, melebihi 27 kes yang dicatatkan sepanjang 2025.
Sementara itu, saringan besar-besaran bagi penyakit batuk kering atau tuberkulosis (TB) turut dijalankan di Bedok selepas tiga kelompok dikesan di kawasan berkenaan.
Apabila kejadian sedemikian berlaku, CDA akan cuba mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai penularan tersebut untuk membuat penilaian terhadap risiko ke atas Singapura, kata Profesor Lee.
“Berdasarkan penilaian itu, kami kemudian akan melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan untuk melindungi negara dan rakyatnya, serta memaklumkan kepada semua pihak tentang risiko yang dibawa oleh penyakit-penyakit ini,” katanya.
Di samping itu, beliau menegaskan bentuk perlindungan terbaik adalah dengan menyertai sistem pemantauan sejagat yang membolehkan amaran awal dikeluarkan apabila penyakit berjangkit sedemikian mula muncul.
Beliau menambah, CDA juga menjalinkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa untuk mempelajari cara mengesan tanda-tanda dengan lebih baik, serta memperoleh pemahaman lebih mendalam tentang bagaimana penyakit sebegitu muncul dan risiko yang dibawa olehnya.
