Sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran dan usaha Singapura dalam memperkukuh pencegahan jangkitan, Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) telah dilantik sebagai Pusat Kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Pencegahan dan Kawalan Jangkitan (IPC).

Ia merupakan pusat pertama seumpamanya di dunia yang khusus memperkukuh sistem kesihatan melalui IPC.

Langkah itu akan memperkukuh usaha melindungi pesakit dan petugas kesihatan, mengurangkan jangkitan yang boleh dicegah serta mengukuhkan kesediaan menghadapi ancaman penyakit berjangkit pada masa depan, kata CDA.

Menangani penyakit berjangkit memerlukan kerjasama antarabangsa dan pembelajaran sesama sendiri bagi memperkukuh pertahanan kolektif serta memastikan keselamatan semua, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

“Perlumbaan menentang kemunculan patogen maut yang baharu sudah bermula,” katanya, ketika berucap sempena perasmian Persidangan Penjagaan Kesihatan IPC Kebangsaan yang diadakan buat julung kalinya di Max Atria pada 16 November. 

Beliau menambah: “Pertahanan kita akan diperkukuh melalui kerjasama antarabangsa, saling belajar sesama sendiri, dan membina aset global bersama yang memastikan keselamatan kita semua.” 

Dasar dan langkah IPC amat diperlukan untuk mencegah dan mengawal penularan jangkitan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit di kemudahan penjagaan kesihatan.

Encik Ong berkata Singapura telah melabur dalam memperkukuh keupayaan IPC negara melalui penambahbaikan sistem pengawasan, pembangunan garis panduan berasaskan bukti serta kerjasama lebih erat dalam sektor penjagaan kesihatan. 

Singapura turut berkongsi pengalamannya dalam pencegahan dan pengurusan penyakit berjangkit.

Ini termasuk menyediakan bantuan teknikal dan pembinaan keupayaan kepada lebih 3,100 pegawai pemerintah dari negara lain menerusi kursus kesihatan awam di bawah Program Kerjasama Singapura (SCP).

“Penyakit berjangkit telah membentuk sejarah manusia, dan ia akan terus membentuk masa depan kita. Mikrob akan terus berevolusi; begitu juga kita,” kata Encik Ong.

“Sebahagian besar daripada perjuangan ini dimenangi bukan di makmal atau kertas dasar, tetapi di wad, klinik dan rumah jagaan – melalui kebersihan tangan, penggunaan antibiotik secara berhemat, pengesanan awal dan amalan berdisiplin, setiap hari.”

Beliau berkata terdapat sekurang-kurangnya empat cabaran yang bakal dihadapi dalam perjuangan berterusan menentang penyakit berjangkit.

Pertama ialah rintangan antimikrob (antimicrobial resistance) yang secara langsung menyebabkan 1.14 juta kematian pada 2021.

Angka itu dijangka meningkat kepada hampir 2 juta setiap tahun menjelang 2050, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam The Lancet.

“Kita perlu memperketatkan disiplin dalam penggunaan antibiotik serta mewujudkan insentif bagi syarikat farmaseutikal melabur dalam pembangunan antibiotik baharu yang berkesan, yang kini menawarkan pulangan komersial yang rendah,” kata Encik Ong.

Pemanasan global turut menyebabkan penyakit tropika merebak ke rantau lain. Nyamuk harimau Asia, misalnya, yang menyebarkan denggi dan chikungunya, kini telah bertapak di 16 negara Eropah. 

Cabaran ketiga iaitu sikap skeptikal terhadap vaksin diibaratkan seperti “lubang dalam perisai kita”, yang berpotensi menghalang negara daripada mencapai imuniti kolektif, terutamanya bagi penyakit yang sangat mudah merebak seperti campak.

Cabaran keempat ialah bagaimana untuk bersedia menangani pandemik seterusnya, termasuk usaha dalam pembangunan dan pembuatan vaksin.

Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata negara-negara kini sedang memperkukuh keupayaan pengeluaran vaksin bagi mengelakkan ketidakseimbangan pengagihan seperti yang berlaku semasa pandemik Covid-19.