Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes influenza naik, namun tiada petunjuk lebih teruk daripada biasa
Jumlah kes influenza yang dikesan di Singapura meningkat, namun tiada petunjuk jangkitan kali ini lebih teruk daripada biasa, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada 1 September.
Kadar positif dalam kalangan sampel berkaitan influenza dalam masyarakat meningkat kepada 36.6 peratus pada minggu 16 Ogos hingga 22 Ogos, daripada 24 peratus minggu sebelumnya, menurut CDA dalam satu kenyataan media.
Namun, kadar itu masih di bawah paras tertinggi sebanyak 43.9 peratus pada Januari 2025.
Tahap positif influenza merujuk kepada peratusan sampel swab masyarakat yang diuji positif bagi virus influenza.
Virus influenza bermusim berlaku secara pusingan sepanjang tahun, dengan tempoh kemuncak lazimnya dari Mei hingga Ogos dan dari Disember hingga Mac, menurut CDA yang memetik data pemantauan kebangsaan.
Simptom yang lazim termasuk demam, sakit kepala, batuk, sakit tekak, menggigil atau keletihan secara umum.
Menurut CDA, influenza merebak terutamanya melalui titisan pernafasan atau zarah halus yang dilepaskan apabila seseorang yang dijangkiti melepaskan batuk, bersin, bercakap atau menyanyi.
Orang lain boleh menyedut titisan dan zarah itu, atau terkena titisan dan zarah tersebut melalui mata, hidung atau mulut.
Mereka yang lebih mudah mengalami jangkitan influenza teruk perlu mendapatkan suntikan vaksin sekurang-kurangnya sekali setahun, menurut agensi itu.
Golongan itu termasuk mereka yang berusia 65 tahun ke atas, kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
Mereka yang mengalami simptom ringan jangkitan pernafasan perlu berada di rumah sehingga simptom itu hilang.
Sekiranya mereka perlu keluar, mereka harus mengurangkan pergaulan, memakai pelitup muka, mengelakkan tempat sesak atau bertemu mereka yang mudah terjejas kesihatannya.
