Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CDC akan perkukuh peranan sokong penduduk cari kerja, galak kesukarelawanan 

Oct 11, 2025 | 11:54 PM
Di bawah program ‘Jobs Nearby @ CDC’, individu yang mencari pekerjaan akan dipadankan dengan temu duga secara fizikal atau dalam talian.
Di bawah program ‘Jobs Nearby @ CDC’, individu yang mencari pekerjaan akan dipadankan dengan temu duga secara fizikal atau dalam talian. - Foto CDC SOUTH WEST

Kesemua lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) akan meningkatkan usaha untuk menyokong penduduk yang mencari pekerjaan serta menggalak semangat kesukarelawanan dalam masyarakat.

CDC akan memperkukuh peranan mereka dalam membantu membina masyarakat yang lebih inklusif dan bersatu, terutamanya dalam dua bidang tersebut, kata Timbalan Pengerusi Persatuan Rakyat (PA), Encik Edwin Tong, yang juga Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, semasa Seminar Masyarakat PA pada 11 Oktober.

Sebagai contoh, program ‘Jobs Nearby @ CDC’, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan 2025, bertujuan membawa peluang pekerjaan lebih dekat ke kawasan perumahan penduduk sambil membantu perusahaan di kawasan kejiranan menangani cabaran mendapatkan tenaga kerja.

“CDC South West… melancarkan skim perintis ini pada 31 Ogos 2025, dan kesemua lima CDC akan melaksanakan program bantuan pekerjaan yang dipertingkat menjelang Oktober 2025,” kata PA dalam satu kenyataan pada 11 Oktober.

Selain itu, CDC akan meningkatkan usaha untuk menggalakkan semangat kesukarelawanan di setiap daerah masing-masing.

“Melalui rangkaian luas mereka di peringkat akar umbi, CDC akan mendorong pihak berkepentingan di setiap daerah untuk mengumpulkan peluang kerja sukarela, menggalak individu dan pertubuhan tampil menyumbang masa serta bakat, selain membantu pelbagai badan membina keupayaan pengurusan sukarelawan,” tambah PA.

CDC juga akan bekerjasama dengan pertubuhan akar umbi tempatan untuk menggalak pembentukan masyarakat kecil yang saling membantu, di mana jiran saling mengambil berat dan membantu antara satu sama lain.

PA berkata butiran lanjut akan diumumkan pada masa akan datang.

Pada 11 Oktober, PA turut mengumumkan bahawa sempadan CDC akan disesuaikan untuk mencapai keseimbangan lebih baik dari segi jumlah penduduk di setiap CDC.

Buat masa ini, CDC South East mempunyai jumlah penduduk terkecil, dengan keseluruhan penduduk seramai 474,359 orang, manakala CDC North East mempunyai jumlah penduduk seramai 1,044,826 orang.

Dengan penyesuaian ini, CDC South East akan menyediakan khidmat buat penduduk GRC Aljunied dan SMC Hougang, yang sebelum ini berada di bawah CDC North East.

Penduduk yang kini menerima sokongan atau menyertai program CDC North East akan terus mendapat sokongan yang sama di bawah CDC South East, jelas PA.

Perubahan ini akan dilaksana pada 13 Oktober.

Mayor CDC South East, Encik Dinesh Vasu Dash, mengalu-alukan kemasukan penduduk GRC Aljunied dan SMC Hougang ke dalam CDC tersebut.

“Saya dan pasukan komited untuk meneruskan usaha baik yang telah dilakukan dan menantikan maklum balas mengenai keperluan serta aspirasi anda bagi daerah ini.

“Kami akan terus bekerjasama dengan anda serta rangkaian rakan kerja kami untuk membina dan memperkukuh inisiatif masyarakat yang penting bagi anda,” katanya.

Sementara itu, Mayor CDC North East, Encik Baey Yam Keng, berkata daerahnya akan bekerjasama rapat dengan CDC South East untuk memastikan peralihan yang lancar bagi penduduk.

“CDC North East komited menyokong proses ini supaya penduduk terus mendapat perhatian dan sokongan,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg