Dua inisiatif baru akan dilancarkan oleh Pusat Penjagaan Pelajar Big Heart untuk membina daya tahan, keyakinan dan rasa ingin tahu dalam kalangan pelajar agar mereka dapat maju dalam sekolah dan kehidupan.
Inisiatif pertama adalah program baru, Project PlayQuest yang akan dirintis di tujuh pusat penjagaan Big Heart pada 2025, dan akan diperluaskan secara berperingkat ke semua 30 pusatnya menjelang 2026.
Ini diumumkan Pengerusi Self Help Groups Student Care Limited (SHGSCL), Cik Low Yen Ling pada 14 September semasa acara hari keluarga sempena ulang tahun ke-10 Big Heart di D’Marquee @ Downtown East.
Cik Low yang juga Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia) menjelaskan, ia merupakan program pembelajaran berasaskan permainan yang memupuk rasa ingin tahu, keyakinan dan imaginasi melalui penerokaan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (Steam), zon kreatif, dan sokongan literasi dan numerasi amali.
Big Heart juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk merintis satu program baru untuk pelajar berkeperluan lebih tinggi di mana pelajar akan digandingkan dengan mentor dan berpeluang meneroka minat mereka dalam bidang seperti seni, muzik, tarian dan sukan, tambah beliau.
Big Heart ialah jenama penjagaan pelajar yang dikendalikan SHGSCL, iaitu usaha sama empat badan bantu diri - Yayasan Mendaki, Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda), dengan Persatuan Serani (EA) - yang ditubuhkan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) pada 2015.
“Dengan menyesuaikan pendekatan bimbingan dan pengayaan yang terbukti daripada Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), dan dengan sokongan kumpulan bantu diri, kami yakin program ini dapat melengkapkan pelajar dengan daya tahan emosi dan jati diri yang sihat,” kata Cik Low.
Menurut Big Heart, lebih 17,000 pelajar telah meraih manfaat daripada programnya sejak sedekad lalu, dengan lebih daripada satu pertiga menerima sokongan melalui skim Bantuan Yuran Penjagaan Pelajar (SCFA) Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Badan-badan bantu diri juga telah memberikan sokongan tambahan kepada lebih 5,000 pelajar sepanjang tahun melalui pelbagai inisiatif.
Ini termasuk skim Subsidi Yuran Program (PFS) yang membantu menampung perbelanjaan seperti yuran program sehari penuh, bengkel pengayaan percutian, dan perjalanan pembelajaran yang menyediakan keluarga dengan subsidi tambahan sehingga $471 setahun.
Sokongan ini membolehkan lebih ramai pelajar menghadiri program semasa cuti sekolah – memastikan mereka tidak kehilangan pengalaman pengayaan yang berharga, kata Big Heart.
“Semangat ‘kita-dahulu’ ini, di mana semua bersatu meningkatkan prestasi setiap kanak-kanak, akan terus menjadi kompas kami pada tahun-tahun mendatang.
“Kami akan mengembangkan rangkaian pusat Big Heart kami di seluruh Singapura untuk memberi perkhidmatan kepada lebih ramai keluarga dan memastikan wadah persaingan yang saksama,” ujar Cik Low.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg