Topik diikuti
Pergi ke BHkuCDC South East lancar usaha bina rangkaian, hubungan manusiawi
Perkenal inisiatif ‘Friends of South East’ bagi damping, bimbing serta hulur bantuan praktikal kepada penduduk
Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East ingin membina masyarakat yang bukan sahaja mempunyai akses kepada bantuan kewangan, sokongan sosial dan perkhidmatan penting apabila mereka memerlukannya.
Malah, ia juga ingin penduduk memiliki hubungan sesama mereka agar rasa disokong, dihargai dan tidak dipinggirkan.
Justeru, demi membina hubungan ini, CDC South East telah melancarkan inisiatif Friends of South East pada Khamis, 20 Ogos.
Friends of South East ialah rangkaian baharu dalam kalangan sukarelawan dan duta kebaikan yang akan memberikan pendampingan, bimbingan serta bantuan praktikal kepada penduduk di kawasan tersebut.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada gerakan sepanjang tahun – A Journey of Kindness – diterajui Mayor CDC South East, Encik Dinesh Vasu Dash yang juga merupakan Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia).
Menurut satu kenyataan media oleh CDC South East pada 20 Ogos, usaha tersebut menghimpunkan inisiatif masyarakat sedia ada dan baharu di bawah satu tujuan bersama, sekali gus menggalakkan lebih ramai orang untuk saling mengambil berat dan menyumbang dengan cara yang bermakna.
Pada peringkat kehidupan yang berbeza, keperluan masyarakat boleh wujud dalam pelbagai bentuk.
Justeru, program-program itu akan disasarkan secara menyeluruh buat pelbagai peringkat kehidupan termasuk kanak-kanak, belia, golongan dewasa, rakyat Singapura yang bekerja, keluarga dan warga emas, jelas kenyataan itu.
CDC tersebut akan menyediakan pelbagai peluang untuk orang ramai mengambil bahagian berdasarkan minat, kebolehan dan masa yang mereka ada.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi masyarakat yang ingin menyumbang, mereka boleh lakukan sedemikian melalui menjadi sukarelawan secara berkala, menjadi mentor ataupun dengan menganjurkan aktiviti di kawasan kejiranan mereka.
Perniagaan dan badan kemasyarakatan juga boleh menyediakan sumber, tajaan atau sukarelawan dalam kalangan pekerja mereka.
Bercakap tentang usaha Friends of South East itu, Encik Dinesh berkata:
“Singapura telah membangunkan sistem sokongan yang kukuh untuk membantu rakyat dalam aspek penjagaan kesihatan, perumahan, pendidikan, pekerjaan, persaraan dan bantuan sosial.
“Semua ini menyediakan asas penting untuk membantu individu pada pelbagai peringkat kehidupan.
“Namun, sistem-sistem ini tidak dapat menggantikan seorang sahabat yang menyedari anda sudah beberapa hari tidak keluar rumah, seorang yang sudi mendengar apabila anda hilang keyakinan diri, seorang mentor yang memberi galakan kepada kanak-kanak yang sedang menghadapi kesukaran, atau seorang jiran yang sekadar bertanya, ‘Awak baik-baik sahaja?’
“Itulah yang dimaksudkan dengan Friends. Kami mahu membina sebuah komuniti yang mempunyai orang yang sudi mengambil tahu, orang yang sudi mendengar dan yang paling penting, orang yang sudi bertindak.
“Sekiranya bantuan profesional diperlukan, Friends ini akan menghubungkan mereka dengan perkhidmatan yang bersesuaian.”

